Soalan: Apakah maksud dan kelebihan hari Tarwiyah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kita masih berada pada 10 hari terawal bulan Zul al-Hijjah dan umum mengetahui akan kelebihan 10 hari terawal ini, yang mana ia merupakan di antara hari-hari yang paling disukai serta dicintai oleh Allah SWT bagi orang yang melakukan amal soleh padanya. Ini merujuk kepada sebuah hadith yang sahih:
- Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ
Maksudnya: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun."
[Riwayat Abu Daud (2082)] [Sanad hadith ini adalah sahih mengikut penilaian Syeikh Syu’aib al-Arna’outh]
Tambahan pula, hari ini merupakan hari yang kelapan di dalam bulan tersebut dan ia juga dinamakan sebagai hari Tarwiyah. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan hari Tarwiyah serta kelebihan yang ada padanya.
Makna Tarwiyah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya mempunyai dua sebab penamaan hari tersebut dengan hari Tarwiyah.
- Para jemaah haji setelah berihram akan menuju ke Mina untuk bermalam. Ini kerana, pada keesokan harinya, mereka akan menuju ke Arafah. Ketika di Mina, para jemaah ini mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah. Mempersiapkan air ini diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون).
- Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi buatkali yang pertama daripada Allah SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Seharian Baginda AS berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada Allah SWT atau daripada syaitan. Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zul al-Hijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. [Lihat: al-Mughni, 3/249]
Untuk itu, hari Tarwiyah ini mempunyai dua maksud menurut Imam Ibn Qudamah iaitu hari di mana para jemaah haji mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah dan yang kedua adalah hari di mana Nabi Ibrahim AS mendapat wahyu daripada Allah SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail AS. Mimpi tersebut telah membuatkan Nabi Ibrahim AS tertanya-tanya pada dirinya.
Adapun berkaitan kelebihan hari ini, di sana terdapat sebuah hadith yang menyatakan bahawa berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa selama setahun. Manakala berpuasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan dosa selama dua tahun.
- Dikatakan bahawa Rasululah SAW telah bersabda,
صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ
Maksudnya: “Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun.”
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam al-Dailami di dalam kitabnya Musnad al-Firdaus [2/248]. Para ulama berbeza pandangan dalam menilai hadith ini. Sebahagian mereka menilai status hadith ini adalah dhaif sebagaimana yang dinilai oleh Imam al-Suyuthi dan juga Imam al-Busiri. Tambahan pula, terdapat perawi di dalam sanad hadith ini dianggap sebagai pendusta. Sementara itu juga, terdapat perawi yang dinilai sebagai majhul (tidak dikenali). Ini kerana, Imam Ibn al-Jauzi menilai hadith ini sebagai palsu dan begitu juga Imam al-Syaukani serta Imam Ibn 'Arraq al-Kinani.
Oleh itu, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith ini tidak sahih kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang dinilai sebagai pendusta serta terdat juga perawi yang majhul.
Walaupun begitu, sebahagian ulama yang menilai hadith ini sebagai dhaif telah menjadikannya (hadith ini) sebagai dalil terhadap kelebihan berpuasa pada hari Tarwiyah. Ini kerana, sebahagian ulama membenarkan seseorang untuk beramal dengan hadith yang dha’if (lemah) di dalam bab fadhail al-A’mal selagimana ia tidak berkaitan dengan permasalahan aqidah atau hukum.
Justeru, tidak terdapat hadith yang sahih menceritakan amalan tertentu yang boleh dilakukan pada hari Tarwiyah melainkan ia termasuk di dalam umum hadith yang menceritakan akan kelebihan melakukan amal soleh pada 10 hari terawal bulan Zul al-Hijjah dan ia juga termasuk di dalam kelebihan beramal pada bulan-bulan Haram. Berpuasa atau ibadat-ibadat yang lain merupakan salah satu daripada bentuk amal soleh maka ia termasuk di dalam umum hadith.
Penutup
Kesimpulannya, hari Tarwiyah merupakan hari yang kelapan di dalam bulan Zul al-Hijjah dan tidak ada dinyatakan kelebihan yang khusus atau amalan yang khusus untuk dilakukan pada hari tersebut berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima segala amal soleh yang kita lakukan pada hari-hari yang dicintai oleh Allah SWT ini. Amin.
Wallahua'lam