اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-537 : BULU DALAM HIDUNG MENYELAMATKAN DIRI DARI PENYAKIT KUSTA

ih537

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya tentang satu hadis ini. Saya ada dengar seorang penceramah menyebut Nabi SAW pernah bersabda : ‘Bulu dalam hidung menyelamatkan daripada penyakit kusta’. Adakah ada hadis ini? Mohon penjelasan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Tabarani di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat, Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan Ibn ‘Adiy dalam Al-Kamil fi Dhu’afa Al-Rijal. Walaupun hadis ini diriwayatkan dengan pelbagai jalan periwayatan, namun ianya tidak terlepas daripada kritikan para ulama hadis.

Sebahagian ulama hadis menilai hadis ini palsu. Pandangan ini dikemukakan oleh tokoh besar dalam ilmu hadis seperti Imam Yahya bin Ma’in, Imam Ibn Hibban, al-Hafiz al-Zahabi, al-Hafiz al-Suyuti dan lain-lain lagi. Sebahagian para ulama hadis tidak menilai hadis ini sebagai hadis palsu, akan tetapi hadis yang terlalu lemah kerana perawi yang bernama Abu Rabi’ al-Samman yang mana beliau adalah seorang perawi yang sering dikritik para ulama hadis terutamanya dari sudut kredibiliti beliau dalam periwayatan hadis. Semoga Allah memberikan petunjuk kepada kita semua. Wallahu’alam.

Huraian jawapan :

Asal matan hadis tersebut ialah :

 الشعر في الأنف أمان من الجذام 

Maksudnya : “Bulu di hidung adalah keselamatan daripada penyakit kusta.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Tabarani dalam Al-Mu’jam Al-Awsat[1]. Beliau menukilkan hadis tersebut dengan sanad berikut :

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ قَالَ: نا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ عَائِشَةَ التَّيْمِيُّ قَالَ: نا أَبُو الرَّبِيعِ السَّمَّانُ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيه عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: نَبَاتُ ‌الشَّعْرِ ‌فِي ‌الْأَنْفِ ‌أَمَانٌ ‌مِنَ ‌الْجُذَامِ

“Ahmad telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Ubaidullah bin Muhammad bin ‘Aisyah Al-Tamimi telah memberitahu kami. Beliau berkata : Abu Al-Rabi’ al-Samman telah memberitahu kami. Beliau meriwayatkan daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada ayah beliau (‘Urwah bin Zubair) daripada ‘Aisyah. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Bulu di hidung adalah keselamatan daripada penyakit kusta.”

Al-Khatib al-Baghdadi juga turut meriwayatkan hadis ini dalam kitab Tarikh Baghdad[2]. Beliau meriwayatkan hadis ini melalui riwayat ‘Aisyah RA. Ibn ‘Asakir juga meriwayatkan hadis ini di dalam kitab beliau Tarikh Dimasyq[3].

Ibn Adiy meriwayatkan hadis ini dengan beberapa sanad yang berbeza dalam kitab beliau Al-Kamil fi Al-Dhu’afa[4]. Beliau meriwayatkan hadis tersebut melalui riwayat ‘Aisyah RA, Jabir RA, Abu Hurairah RA dan Ibn ‘Abbas RA. Berikut adalah sanad yang dinukilkan oleh beliau:

  • حَدَّثَنَا عَبد اللَّهِ بْنُ مُحَمد بْنِ عَبد الْعَزِيزِ حَدَّثَنا كَامِلُ بْنُ طَلْحَةَ وَشَيْبَانُ وَأَخْبَرَنَا مُحَمد بْنُ يَحْيى الْعَمِّيُّ الْبَصْرِيُّ، حَدَّثَنا عَبد اللَّهِ بْنُ مُعَاوِيَةَ قَالُوا، حَدَّثَنا أَبُو الرَّبِيعِ السَّمَّانُ، حَدَّثَنا هِشَامُ بْنُ عُرْوَةَ، عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسلَّمَ نَبَاتُ ‌الشَّعْرِ ‌فِي ‌الأَنْفِ ‌أَمَانٌ ‌مِنَ ‌الْجُذَامِ

“Abdullah bin Muhammad bin Abdul ‘Aziz telah menceritakan kepada kami, Beliau berkata : Kamil bin Talhah dan Syaiban telah menceritakan kepada kami. Muhammad bin Yahya al-‘Ammi Al-Basri juga telah memberitahu kami. Beliau berkata : Abdullah Bin Muawiyah telah menceritakan kepada kami. Mereka semua berkata : Abu al-Rabi’ Al-Samman telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Hisyam Bin Urwah telah menceritakan kepada kami daripada ayah beliau daripada ‘Aisyah. Beliau berkata : Nabi SAW bersabda : Bulu di hidung adalah keselamatan daripada penyakit kusta.”

  • حَدَّثَنَا عُمَر بْنُ الْحَسَنِ الْحَلَبِيُّ، حَدَّثَنا عامر بن سيار، حَدَّثَنا عَلِيُّ بْنُ ثَابِتٍ عَنْ حَمْزَةَ النَّصِيبِيِّ عَن أَبِي الزُّبَيْرِ عَنْ جَابِرٍ قَال: قَال رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَبَاتُ ‌الشَّعْرِ ‌فِي ‌الأَنْفِ ‌أَمَانٌ ‌من ‌الجذام

“Umar bin al-Hasan al-Halabi telah menceritakan keada kami. Beliau berkata : ‘Amir Bin Sayyar telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Ali Bin Thabit telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Hamzah al-Nasibi daripada Abu al-Zubair daripada Jabir. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Bulu di hidung adalah keselamatan daripada penyakit kusta.”

  • حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الْحَسَنِ بْنِ هَارُونَ الْبَلَدِيُّ حَدَّثَنا إِسْحَاقُ بْنُ سيار حَدَّثَنا أَبُو صَالِحٍ حَدَّثني رِشْدِينٌ عَنْ عُقَيْلٍ، عنِ ابْنِ شِهَابٍ عَن أَبِي سَلَمَةَ عَن أَبِي هُرَيْرَةَ عن النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيه وسَلَّم قَال: الشَّعْرُ فِي الأَنْفِ أَمَانٌ مِنَ الْجُذَامِ

“Ali Bin al-Hasan Bin Harun al-Baladi telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Ishak Bin Sayyar telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Abu Salih telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Risydin telah menceritakan kepada saya. Beliau meriwayatkan daripada ‘Uqail daripada Ibn Syihab daripada Abu Salamah daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW. Baginda bersabda : Bulu di hidung adalah keselamatan daripada penyakit kusta.”

  • حَدَّثَنا وقار بن الحسين، حَدَّثَنا أيوب الوزان حَدَّثَنا فهر بن بشر حَدَّثَنا عُمَر يَعني ابْنَ مُوسَى عنِ الزُّهْريّ عن الأعمى، عنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَال: قَال رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‌الشَّعْرُ ‌فِي ‌الأَنْفِ ‌أَمَانٌ ‌من ‌الجذام

“Wiqar Bin al-Husain telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Ayyub al-Wazar telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Fihr Bin Bisyr telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Umar Bin Musa telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada al-Zuhri daripada al-‘Ama daripada Ibn Abbas RA. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Bulu di hidung adalah keselamatan daripada penyakit kusta.”

Walaupun hadis ini diriwayatkan dengan pelbagai jalan periwayatan, namun ianya tidak terlepas daripada kritikan para ulama hadis. Ada di antara para ulama hadis yang menilai hadis ini sebagai palsu. Antara yang menilai hadis ini palsu adalah tokoh hadis yang terkenal iaitu Yahya Bin Ma’in, Beliau menjelaskan :

هَذَا حديثٌ كَذِبٌ

“Hadis ini adalah satu pendustaan.”[5]

Perkara ini juga dijelaskan oleh Ibn Hibban. Beliau menyebut :

وَهَذَا مَتْنٌ بَاطِلٌ لَا أَصْلَ لَهُ

“Matan (teks) hadis ini adalah batil. Tiada asalnya.”[6]

Penilaian tersebut disokong oleh beberapa ulama hadis yang lain. Antaranya Al-Hafiz Al-Zahabi[7], Imam Ibn Muflih[8], Al-Hafiz Al-Suyuti[9] dan lain-lain. Di samping itu, terdapat beberapa perawi yang dipertikaikan antaranya Abu Rabi’ Al-Samman yang pernah dikritik hebat oleh Syu’bah Bin Hajjaj, seorang tokoh besar dalam ilmu hadis kerana melakukan pemalsuan terhadap hadis ini[10]. Bahkan Yahya Bin Ma’in menilai beliau sebagai perawi yang tidak boleh dipercayai.[11]

Imam Ahmad juga mengkritik kredbiliti Abu Rabi’ al-Samman, beliau menyebut :

حديثه مضطرب

“Hadis yang diriwayaAtkan oleh beliau berkeceramuk.”[12]

Al-Daruqutni menilai beliau sebagai perawi yang ditinggalkan periwayatannya (matruk)[13]. Abu Hatim juga turut mengkritik Abu Rabi’, beliau menjelaskan :

ضعيف الحديث منكر الحديث سيئ الحفظ يروى المناكير عن الثقات

“ Beliau merupakan perawi yang lemah dalam periwayatan, banyak melakukan kesalahan, buruk hafalan dan meriwayatkan hadis-hadis yang salah yang disandarkan daripada perawi-perawi yang thiqah (dipercayai).”[14]

Kesimpulannya, Sebahagian ulama hadis menilai hadis ini palsu. Pandangan ini dikemukakan oleh tokoh besar dalam ilmu hadis seperti Imam Yahya bin Ma’in, Imam Ibn Hibban, al-Hafiz al-Zahabi, al-Hafiz al-Suyuti dan lain-lain lagi. Sebahagian para ulama hadis tidak menilai hadis ini sebagai hadis palsu, akan tetapi hadis yang terlalu lemah kerana perawi yang bernama Abu Rabi’ al-Samman.

NOTA HUJUNG :

[1] Al-Tabarani, Sulaiman Bin Ahmad, Al-Mu’jam Al-Awsat, Dar Al-Haramain, Kaherah, j.1 h.208 no 672.

[2] Al-Khatib Al-Baghdadi, Abu Bakar Ahmad Bin Ali, Tarikh Baghdad (2002), Dar Al-Gharb Al-Islamiy, Beirut, j.14 h.439 ; j.15 h.180

[3] Ibn ‘Asakir, Ali Bin Al-Husain, Tarikh Dimasyq (1995), Dar Al-Fikr, j.5 h.386 ; j.56 h.334.

[4] Ibn ‘Adiy, Abu Ahmad Bin ‘Adiy, Al-Kamil fi Dhu’afa Al-Rijal (1997), Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Beirut, j.3 h. 262 ; j.4 h.72 ; j.5 h.74 ; j.6 h.16 ;

[5] Ibn Abi Hatim, Abdurrahman Bin Muhammad, Al-‘Ilal (2006), Matabi’ Al-Humaidi, Riyadh, j.6 h.326.

[6] Ibn Hibban, Muhammad Bin Hibban, Al-Majruhin min Al-Muhaddithin wa Al-Dhu’afa wa Al-Matrukin (1976), Dar Al-Wa’I, Aleppo,j.1 h.172.

[7] Al-Zahabi, Syamsuddin Muhammad Bin Ahmad, Mizan Al-‘Itidal fi Naqd Al-Rijal (1963), Dar Al-Ma’rifah, Beirut,1/263.

[8] Ibn Muflih Al-Maqdisi, Muhammad Bin Muflih, Al-Furu’ (2003), Muassash Al-Risalah,Beirut, j.1 h.152

[9] Jalaluddin Al-Suyuti,Abdurrahman Bin Abu Bakar, Al-Laali Al-Masnu’ah fi Al-Ahadith Al-Maudhu’ah (1996), Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, Beirut, j.1 h.113.

[10] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban, al-Majruhin min al-Muhaddithin waal-Dhu’afa wa al-Matrukin (1976), Dar al-Wa’i, Aleppo, j.1 h.172-173

[11] Ibid. Yahya berkata :  فَأَشْعَثُ السَّمَّانُ فَقَالَ لَيْسَ بِثِقَةٍ

[12] Ibn Abi Hatim, Abdurrahman Bin Muhammad, al-Jarh wa al-Ta’dil (1952), Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyah, India, j.2 h.272.

[13] Al-Daruqutni, Ali bin Umar, al-Dhu’afa wa al-Matrukin (1984), Majjalah al-Jami’ah al-Islamiyah, Madinah Munawwarah,  j.1 h.258

[14] Ibid.