Soalan: Adakah terdapat perbezaan antara solat sunat fajar dan solat sunat subuh?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, tiada perbezaan antara solat sunat fajar dan solat sunat subuh melainkan pada nama sahaja. Perkataan fajar dan subuh digunakan oleh Nabi SAW sebagaimana di dalam hadith-hadith Baginda SAW. Waktu bermulanya waktu fajar atau subuh adalah setelah terbitnya fajar yang benar (fajar sodiq) dan berakhir apabila terbitnya matahari.
Tambahan pula, solat sunat yang paling dituntut antara solat-solat sunat rawatib yang lain adalah dua rakaat solat sunat fajar. Ini kerana, padanya terdapat banyak kelebihan-kelebihan bagi sesiapa yang melaziminya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith:
- Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَمْ يَكُنِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيِ الفَجْرِ
Maksudnya: “Tidak pernah dilihat Nabi SAW begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana Baginda SAW mengambil berat tentang dua rakaat fajar”. [Riwayat al-Bukhari (1116)]
- Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”. [Riwayat Muslim (725)]
Imam al-Nawawi berkata yang dimaksudkan dengan “وَمَا فِيهَا” adalah kesenangan dunia. Selain itu juga, antara surah atau ayat yang disunatkan untuk kita membaca ketika solat sunat al-Fajar adalah surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua. Di dalam riwayat yang lain pula, disunatkan kita membaca ayat “قُولُوا آمَنَّا بِاللَّـهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا” [al-Baqarah:136] pada rakaat pertama dan pada rakaat kedua “قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ” [ali-Imran:64]. Ini merupakan dalil bagi mazhab kami (al-Syafie) dan juga mazhab jumhur bahawa digalakkan membaca surah pada kedua rakaat selepas daripada surah al-Fatihah. Digalakkan juga untuk menjadikan dua surah atau ayat ini (sebagai bacaan selepas daripada al-Fatihah) kerana ia adalah sunnah. Adapun Imam Malik dan juga ashabnya mengatakan tidak dibaca di dalam solat sunat al-Fajar melainkan al-Fatihah sahaja. Begitu juga sebahagian salaf mengatakan tidak dibacakan sesuatu sebagaimana yang telah lalu. Akan tetapi keduanya adalah khilaf (percanggahan) bagi sunnah sahih yang tidak mempunyai tentangan padanya. [Lihat: al-Minhaj, 6/6]
Penutup
Kesimpulannya, solat sunat fajar atau subuh mempunyai banyak kelebihan serta amat rugi bagi sesiapa yang tidak berusaha untuk mengamalkannya. Untuk itu, kita sebagai umat Baginda SAW seharusnya mencontohi setiap yang dilakukan oleh Baginda SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai dan mengikuti Nabi SAW. Amin.
Wallahua’lam