اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-185: PAHALA MEMBERI SEDEKAH KEPADA ISTERI

 

Soalan: Apakah benar terdapat hadith yang mengatakan bahawa sedekah kepada isteri pahalanya lebih besar berbanding bersedekah kepada orang lain?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, seorang suami yang bersedekah kepada isterinya atau ahli keluarganya merupakan satu perbuatan yang terpuji dan mendapat pahala. Walaubagimanapun, sudah menjadi tanggungjawab seorang suami atau ayah untuk memberi nafkah kepada orang yang berada di bawah tanggungannya. Ini difahami berdasarkan firman Allah SWT:

 

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan kewajipan suami pula ialah memberi makan dan pakaian kepada isteri itu menurut cara yang sepatutnya”. [al-Baqarah:233]

 

Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat ini bahawa wajib ke atas ayah kepada anak untuk memberi nafkah kepada ibu-ibu dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 479/1]

 

Kembali kepada soalan di atas, nafkah dan sedekah adalah dua perkara yang berbeza. Ini kerana, nafkah bersifat wajib manakala sedekah bersifat sunat. Untuk itu, jika seorang suami itu tidak memberi nafkah kepada isterinya maka suami tersebut telah melakukan dosa. Selain itu, jika seorang suami itu tidak memberi sedekah kepada isterinya maka dia tidak berdosa kerana perbuatan memberi sedekah itu bukannya wajib. Adapun ganjaran atau pahala bagi seorang suami yang memberi sedekah kepada isteri atau keluarganya ada dinyatakan di dalam sebuah hadith yang sahih:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”. [Riwayat Muslim (995)]

 

Imam al-Nawawi RA berkata bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Nabi SAW memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7. [Lihat: al-Minhaj, 86/7]

  

Walaupun begitu, ini tidak bermaksud memberi kita juga dituntut untuk memberi sedekah kepada selain daripada ahli keluarga melainkan jika ahli keluarga itu amat memerlukannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

 

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. [al-Baqarah:261]

 

Ayat ini jelas menunjukkan akan kelebihan seseorang itu apabila dia menyedekahkan sebahagian hartanya di jalan Allah SWT. Di samping itu juga, keikhlasan amat penting agar apa yang kita sedekahkan atau belanjakan diterima oleh Allah SWT dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain supaya kita dikenali atau digelar sebagai seorang yang kuat bersedekah.

 

Penutup

Kesimpulannya, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan dan sedekah ini tidak hanya tertumpu kepada ahli keluarga terdekat atau jauh sahaja, bahkan ia melibatkan orang-orang yang berada di sekeliling kita. Akhirnya, marilah sama-sama kita menanam sifat gemar bersedekah walaupan apa yang disedekahkan itu sedikit tetapi moga-moga dengan yang sedikit itu mampu membantu kita untuk masuk ke syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT menjadikan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa menginfaqkan atau menyedekahkan harta di jalan Allah SWT. Amin.

 

Wallahua’lam