اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI 17: PERBEZAAN PENENTUAN HARI ARAFAH DAN JUGA PUASA PADA HARI TERSEBUT

Soalan:

Adakah terdapat perbezaan dalam penentuan Hari Arafah yang mana boleh juga menyebabkan berbezanya puasa pada hari tersebut bagi mereka yang tidak berwukuf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Penentuan hari Arafah adalah bertitik tolak dari penentuan bilakah jatuhnya 1 Zulhijjah itu sendiri. Disebabkan itu, terdapat perbezaan yang nyata bagi tempat-tempat yang berlainan kerana berbezanya matholi’ iaitu terbitnya anak bulan.

Dalam isu melihat anak bulan pada tempat yang berlainan, ianya telah menjadi khilaf di kalangan ulama. Perbezaan pendapat ini telah menyebabkan timbulnya pendapat-pendapat berikut:

  • Pertama: Mazhab Syafie, Ishak Bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak dan Ibn Abbas R.A. berpendapat: Setiap tempat yang berjauhan, mengikut ijtihad masing-masing dengan melihat anak bulan dan hisab.

Ini juga adalah pendapat Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah dan juga Syeikh Ibn ‘Uthaymeen Rahimahullah. Ianya berdasarkan sebuah hadith:

عَنْ كُرَيْبٍ، أَنَّ أُمَّ الْفَضْلِ بِنْتَ الْحَارِثِ، بَعَثَتْهُ إِلَى مُعَاوِيَةَ بِالشَّامِ، قَالَ: فَقَدِمْتُ الشَّامَ، فَقَضَيْتُ حَاجَتَهَا، وَاسْتُهِلَّ عَلَيَّ رَمَضَانُ وَأَنَا بِالشَّامِ، فَرَأَيْتُ الْهِلَالَ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، ثُمَّ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فِي آخِرِ الشَّهْرِ، فَسَأَلَنِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا، ثُمَّ ذَكَرَ الْهِلَالَ فَقَالَ: مَتَى رَأَيْتُمُ الْهِلَالَ؟ فَقُلْتُ: رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ، فَقَالَ: أَنْتَ رَأَيْتَهُ؟ فَقُلْتُ: نَعَمْ، وَرَآهُ النَّاسُ، وَصَامُوا وَصَامَ مُعَاوِيَةُ، فَقَالَ: " لَكِنَّا رَأَيْنَاهُ لَيْلَةَ السَّبْتِ، فَلَا نَزَالُ نَصُومُ حَتَّى نُكْمِلَ ثَلَاثِينَ، أَوْ نَرَاهُ، فَقُلْتُ: أَوَ لَا تَكْتَفِي بِرُؤْيَةِ مُعَاوِيَةَ وَصِيَامِهِ؟ فَقَالَ: لَا، هَكَذَا أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " وَشَكَّ يَحْيَى بْنُ يَحْيَى فِي نَكْتَفِي أَوْ تَكْتَفِي

Maksudnya: “Dari Kuraib bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami….

Riwayat Muslim (1087)

  • Kedua: Jumhur ulama, Hanafi, Maliki dan Hambali termasuk Majlis Fiqh Antarabangsa, Hai'ah Kibar Ulama Saudi dan Dar Ifta Mesir pula berpendapat: "Tiada perbezaan, sepatutnya mana-mana negara yang telah melihat anak bulan dahulu, semua negara lain jauh atau dekat perlu mengikutnya. Perbezaan tempat naiknya bulan (Matla' al-Qamar) tidak diambil kira dalam hal ini."

Kami cenderung kepada pendapat pertama kerana asas hujahannya juga sabit berdasarkan wajah istidlal dalil-dalil tersebut. Begitu juga berdasarkan satu kaedah yang masyhur:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf”.

Ini menunjukkan keputusan pemerintah hendaklah dipatuhi kerana boleh mententeramkan masyarakat dan mengharmonikan rakyat serta dapat menunjukkan perasaan kesatuan sesama umat ketika pelaksanaan ibadat.

Oleh itu, berdasarkan cerapan hilal Zulhijjah yang dilakukan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 1 September 2016 baru-baru ini melaporkan bahawa 1 Zulhijjah jatuh pada 3 September 2016 dan ini menjadikan tarikh 9 Zulhijjah itu jatuh pada hari Ahad bersamaan 11 September 2016.

Puasa Hari Arafah di Malaysia

Berdasarkan penetapan 1 Zulhijjah yang telah dilakukan, maka Hari Arafah (wukuf) bersamaan 9 Zulhijjah akan jatuh pada hari Ahad, 11 September 2016. Pada tarikh tersebut, disunatkan bagi mereka yang tidak berwukuf untuk berpuasa dan padanya juga terdapat ganjaran berdasarkan hadith Nabi SAW yang menyebutkan:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: “Puasa pada hari Arafah aku berharap kepada Allah mengampunkan dosa pada tahun lalu dan tahun yang akan datang.”

Riwayat Muslim (1162) & Ibn Majah (1730)

Al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (Cet.2, 2/51), ketika mensyarahkan hadith ini mengatakan bahawa pengampunan dosa bagi dua tahun pada siapa yang berpuasa pada hari Arafah dan pengampunan dosa yang dimaksudkan di sini adalah dosa kecil dan bukannya dosa besar.

Isu Menunggalkan Puasa Arafah Pada Hari Ahad

Dibolehkan untuk berpuasa pada hari Ahad walaupun tidak diiringi dengan puasa pada hari sebelum atau selepasnya kerana ianya puasa yang bersebab iaitu berdasarkan nas galakan berpuasa pada hari Arafah yang kebetulan jatuh pada hari Ahad di Malaysia.

 

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

9 September 2016 bersamaan 7 Zulhijjah 1437 H.