اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 153: BOLEHKAH ANAK DALAM TANGGUNGAN BAPA MEMBAYAR SENDIRI ZAKAT FITRAH?

anak bayar sendiri zakat.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah seorang anak boleh bayar zakat fitrah sendiri walaupun masih dalam tanggungan bapa? Dan adakah bapa sememangnya wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anak-anaknya. Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif zakat fitrah iaitu kadar yang tertentu daripada harta yang wajib dikeluarkan oleh setiap mukallaf bagi dirinya dan orang yang di bawah tanggungannya setelah matahari terbenam pada hari terakhir bulan Ramadhan, dengan syarat-syarat tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/553)

Antara peranan dan fungsi zakat fitrah disebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ ، مَنْ أَدَّاهَا قَبْلَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ زَكَاةٌ مَقْبُولَةٌ ، وَمَنْ أَدَّاهَا بَعْدَ الصَّلاَةِ ، فَهِيَ صَدَقَةٌ مِنَ الصَّدَقَاتِ.

Maksudnya: Rasulullah SAW telah fardhukan zakat fitrah sebagai menyuci untuk orang berpuasa dari sebarang lagha serta keji di samping memberi makan kepada golongan miskin. Siapa yang menunaikannya sebelum solat raya maka dia dianggap zakat yang diterima. Dan sebaliknya, siapa yang menunaikannya selepas solat hari raya maka dia dianggap sebagai sedekah.

Riwayat Abu Daud (1609)

Zakat fitrah merupakan salah satu ibadah daripada ibadah-ibadah yang wajib ditunaikan sendiri oleh seorang Muslim atau melalui wakilnya. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar R.A, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mewajibkan Zakat Fitrah, iaitu segantang tamar atau segantang gandum (pada bulan Ramadhan) atas setiap orang Islam, sama ada yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan.”

Riwayat al-Bukhari (1433) dan Muslim (984)

Terdapat tiga syarat wajib zakat fitrah iaitu:

  • Islam
  • Waktu, iaitu selepas Maghrib hari terakhir Ramadhan dan bermulanya malam raya.
  • Berkemampuan (al-yasar). (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/97-98)

Pada asasnya, adakah bapa wajib membayar zakat fitrah untuk anak-anaknya? Dalam isu ini, jika anak-anak belum baligh dan mereka mempunyai harta, maka zakat fitrahnya diambil dari harta mereka. Namun, jika mereka tidak mempunyai harta, maka zakat fitrahnya ditanggung oleh bapa mereka.

Imam Nawawi berkata: Jika seorang kanak-kanak tidak mempunyai harta, maka zakat fitrahnya dibayar oleh bapanya. Bapanya wajib membayarkannya berdasarkan ijma’ oleh para ulama’ sepertimana dinukilkan oleh Ibn al-Munzir dan lain-lain. Namun, jika anak tersebut mempunyai harta, maka zakat fitrahnya diambil daripada hartanya. Demikian juga pendapat Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Abu Thaur. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/141)

Imam Nawawi turut menyebut: Sekiranya seorang kanak-kanak itu kaya, maka nafkah dan zakat fitrahnya diambil daripada hartanya, tidak daripada ayah atau datuknya. Demikian juga pendapat Abu Hanifah, Muhammad, Ahmad dan Ishaq. (Lihat al-Majmu’, 6/120)

Satu kaedah menyebut:

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib juga menunaikan zakat fitrahnya.

Oleh itu, jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib juga seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 419)

 

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, dapat disimpulkan seperti berikut:

  • Pada asasnya, bapa hendaklah mengeluarkan zakat fitrah kepada anak-anak yang masih di bawah tanggungannya. Ini melainkan kanak-kanak tersebut memiliki harta, maka boleh diambil daripada harta tersebut.
  • Dalam isu di atas, jika anak tersebut ingin membayar sendiri, maka boleh untuknya membayar sendiri zakat fitrah tersebut sekiranya memiliki harta dan berkemampuan. Bagi mengelakkan berlaku pembayaran dua kali, maklumkan juga kepada bapanya terlebih dahulu.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.