Soalan:
Adakah rawatan IV Drip ketika siang Ramadan membatalkan puasa? mohon penjelasan.
Ringkasan Jawapan:
Berdasarkan penelitian hujah yang dikemukakan, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan cenderung kepada pandangan kedua iaitu hukum suntikan di siang Ramadan sama ada melalui otot mahupun saluran darah tidak membatalkan puasa. Begitu juga hukum mengambil rawatan IV Drip bagi rawatan dehidrasi atau apa-apa suntikan yang bukan melalui saluran terbuka tidak membatalkan puasa sama ada suntikan tersebut memberi tenaga ataupun tidak. Namun seharusnya ia tidak dijadikan helah untuk menghilangkan lapar ketika siang Ramadan.
Huraian Jawapan
Terdapat beberapa jenis suntikan perubatan di hospital sama ada secara intradermal (suntikan ke dalam dermis), subkuteneus (suntikan ke dalam lapisan tisu adipos di bawah epidermis dan dermis), intramuskular (suntikan ke dalam tisu otot), atau intravena (suntikan ke dalam saluran darah)[1] bergantung kepada jenis rawatan yang diperlukan.
Antara keadaan yang memerlukan rawatan cecair intravena seperti rawatan dehidrasi yang teruk.[2]
Hukum Suntikan Ketika Berpuasa
Hukum suntikan ketika siang Ramadan adalah harus dalam keadaan darurat namun para ulama berbeza pandangan dalam hal adakah ia membatalkan puasa:
Pandangan pertama: Batal puasa secara mutlak sama ada melalui saluran urat darah atau suntikan pada otot.
Pandangan ini dipilih oleh ramai ulama daripada kalangan ulama Yaman. Berkenaan hal ini, Syeikh Salim Sa‘id Bukair ada menulis sebuah buku yang bertajuk: Wuduh al-Butlan bi al-Hukm bi Adami al-Fitr bi al-Ibrati bi al-Huqni fi Nahar Ramadan. Dalam buku tersebut, beliau mengkritik pandangan yang mengatakan bahawa suntikan di siang Ramadan tidak membatalkan puasa. Ini juga merupakan pandangan Syeikh Muhammad ‘Iwadh, Syeikh Muhammad Sa‘id al-Suyuti dan Syeikh Muhammad Najib al-Muti’i dalam kitab beliau Takmilah al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab. Antara hujah yang digunakan ialah bahawa apa sahaja yang masuk ke dalam rongga, sama ada rongga tersebut terbuka secara semula jadi atau tidak, akan membatalkan puasa. Dengan asas ini jugalah, suntikan dikira turut membatalkan puasa oleh kerana prosesnya itu yang menyebabkan hasil suntikan memasuki rongga seterusnya mengalir ke seluruh tubuh melalui peredaran darah[3].
Dalam hal ini, Syeikh Muhammad ‘Iwadh bin Tohir berkata:
وبهذا يتضح: أن الدواء المعطى للصائم بواسطة الإبرة مفسدة للصوم على المذاهب الأربعة سواء كان في العضلات أو الوريد أو تحت الجلد أو قناة النخاع، وسواء كان للتغذية أو للتقوية وإكثار الدم أو لتخدير الأعصاب أو لعلاج مرض
Maksudnya: “Dengan ini jelaslah bahawa ubat yang diberikan kepada orang yang berpuasa melalui proses suntikan adalah membatalkan puasa menurut empat mazhab, sama ada ia disuntik ke dalam otot, salur darah, di bawah kulit atau saluran sumsum tulang. Begitu juga sama ada suntikan itu dibuat bertujuan mengenyangkan, menguatkan badan, menambah darah, membius saraf atau merawat penyakit[4]."
Pandangan Kedua: Tidak batal secara mutlak, sama ada suntikan melalui saluran darah mahupun otot.
Ini merupakan pandangan sebahagian daripada ulama kontemporari seperti Syeikh Hassan Hito[5], Syeikh Bakhit al-Muti’e[6], Syeikh Muhammad al-Zuhaili[7] dan Syeikh Yusuf al-Qaradawi[8]. Menurut Syeikh al-Qaradawi, meskipun suntikan itu boleh memberikan tenaga, namun ia tetap tidak membatalkan puasa kerana ia bukan masuk melalui rongga yang terbuka. Pandangan ini juga dipilih oleh Syeikh Sauqi ‘Allam iaitu mantan Mufti Badan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah). Beliau dalam penjelasannya menyebut:
أما بالنسبة إلى حُقَن الوريد سواء كانت تحتوي على مادة الجلوكوز أو غيرها من المواد المغذية والأدوية الطبية فلا حرج إذا أخذها الصائم، فهي لا تفسد الصوم؛ وذلك لأنها لا تدخل الجوف عن طريق منفذ طبعي معتاد مفتوحٍ ظاهر حِسًّا -كالفم والأنف-، وهو ما نص عليه الفقهاء من كون ما دخل من المسام أو الجلد ولم يصل إلى الجوف فهو غير مفطر.
Maksudnya: “Berkaitan dengan suntikan ke dalam salur darah, sama ada ia mengandungi bahan glukosa atau bahan-bahan pemakanan mahupun ubat-ubatan yang lain, maka tidaklah menjadi suatu kesalahan jika ia diambil oleh orang yang berpuasa oleh kerana ia tidak membatalkan puasa. Hal yang demikian kerana suntikan itu tidak memasuki rongga badan melalui saluran terbuka semula jadi dan zahir kepada pancaindera seperti mulut dan hidung. Inilah yang dinyatakan oleh para fuqaha bahawa apa yang masuk melalui liang roma atau kulit tetapi tidak sampai ke dalam rongga badan (jauf), maka ia tidak membatalkan puasa[9].”
Jelas di sini bahawa para fuqaha telah bersepakat bahawa ‘ain (jirim) yang masuk melalui liang-liang kulit adalah tidak membatalkan puasa. Dalam menjelaskan perkara ini, Imam al-Nawawi berkata:
لو أوصل الدواء إلى داخل لحم الساق، أو غرز فيه السكين فوصلت مخه، لم يفطر، لأنه لم يُعدَّ عضوًا مجوفًا. ولو طلى رأسه أو بطنه بالدهن فوصل جوفه بشرب المسام، لم يفطر، لأنه لم يصل من منفذ مفتوح، كما لا يفطر بالاغتسال والانغماس في الماء وإن وجد له أثرًا في باطنه
Maksudnya: “Jika ubat dimasukkan ke dalam daging betis atau jika pisau ditusukkan hingga mencapai otaknya, ia tidak membatalkan puasa kerana ia tidak dikira sebagai anggota yang berongga. Begitu juga, jika kepala atau perutnya dilumurkan dengan minyak sehinggakan ia mengalir masuk ke dalam rongga melalui liang-liang roma, ia tetap tidak membatalkan puasa. Hal yang demikian kerana ia tidak masuk melalui saluran terbuka. Begitu juga, mandi atau menyelam dalam air tidak membatalkan puasa walaupun terdapat kesan di dalam tubuhnya[10].”
Selain itu, Badan Fatwa Kuwait juga memutuskan bahawa apa jua suntikan termasuklah suntikan yang memberikan tenaga adalah tidak membatalkan puasa. Meskipun begitu, ia tidak boleh dijadikan helah bagi menghilangkan kelaparan. Pandangan mereka:
إن إعطاء الحقنة الدوائية أو الغذائية من الجلوكوز أو محلول الملح في الوريد لا يفطر، ولكن يحسن أن لا يتخذ ذلك حيلة لدفع الجوع، وذلك لأن المفطر هو ما وصل إلى الجوف أو الدماغ من فتحة طبيعية أو مباشرة. والله أعلم.
Maksudnya: “Sesungguhnya memberikan suntikan ubat atau pemakanan seperti glukosa atau larutan garam melalui salur darah adalah tidak membatalkan puasa, namun adalah lebih baik untuk tidak menjadikannya sebagai helah bagi menghilangkan rasa lapar. Hal yang demikian kerana perkara yang membatalkan puasa ialah apa yang masuk ke dalam rongga badan atau otak melalui saluran terbuka semula jadi atau secara langsung. Dan Allah lebih mengetahui[11].”
Pandangan ketiga: Sekiranya kandungan suntikan tersebut mengandungi nutrisi atau bahan pemakanan, maka puasanya adalah batal.
Pandangan ini merupakan pandangan beberapa badan fatwa seperti Majma’ al-Fiqh al-Islami[12] yang diadakan di Jeddah pada tahun 1997, Badan Fatwa Jordan (Dar al-Ifta al-Urduniyyah)[13] dan Badan Fatwa Saudi (al-Lajnah al-Da’imah li al-Ifta’)[14]. Badan Fatwa Saudi dalam pandangannya mengatakan:
يجوز التداوي بالحقن في العضل والوريد للصائم في نهار رمضان، ولا يجوز للصائم تعاطي حقن التغذية في نهار رمضان؛ لأنه في حكم تناول الطعام والشراب، فتعاطي تلك الحقن يعتبر حيلة على الإفطار في رمضان، وإن تيسر تعاطي الحقن في العضل والوريد ليلا فهو أولى
Maksudnya: “Harus berubat dengan suntikan ke dalam otot dan salur darah bagi orang yang berpuasa pada siang hari di bulan Ramadan. Akan tetapi, tidak dibenarkan bagi orang yang berpuasa untuk mengambil suntikan yang memberikan tenaga pada siang hari Ramadan kerana ia dianggap seperti mengambil makanan dan minuman. Oleh itu, mengambil suntikan tersebut dianggap sebagai helah untuk berbuka puasa pada bulan Ramadan. Jika mampu, lebih baik untuk pesakit mengambil suntikan ke dalam otot dan salur darah pada waktu malam[15].”
Pandangan ketiga ini juga merupakan pandangan beberapa tokoh ulama seperti Syeikh Wahbah al-Zuhaili[16], Syeikh Muhammad al-Uthaimin[17] dan Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz[18]. Menurut mereka, suntikan yang memberikan tenaga dianggap sama seperti makanan dan minuman.
Selain itu, Syeikh Hassan al-Kaff dalam kitabnya, al-Taqrirat al-Sadidah yang menghimpunkan pengajian gurunya iaitu Syeikh Zain bin Ibrahim bin Sumait, telah memilih pandangan seperti berikut:
Sekiranya suntikan itu merupakan suntikan yang boleh memberikan tenaga, maka ia membatalkan puasa sama ada ia masuk melalui pembuluh darah ataupun otot. Namun, jika suntikan itu tidak memberikan tenaga, maka ia boleh dilihat pada aspek berikut:
- Sekiranya suntikan itu berlaku pada urat ke bahagian dalam rongga, iaitu saluran urat darah, maka batal puasanya.
- Sekiranya suntikan itu berlaku pada otot yakni pada urat dan bukan pada bahagian dalam rongga, maka tidak batal puasanya.[19]
Kesimpulan
Berdasarkan penelitian hujah yang dikemukakan, pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan cenderung kepada pandangan kedua iaitu hukum suntikan di siang Ramadan sama ada melalui otot mahupun saluran darah tidak membatalkan puasa. Begitu juga hukum mengambil rawatan iv drip bagi rawatan dehidrasi atau apa-apa suntikan yang bukan melalui saluran terbuka tidak membatalkan puasa sama ada suntikan tersebut memberi tenaga ataupun tidak. Namun seharusnya ia tidak dijadikan helah untuk menghilangkan lapar ketika siang Ramadan.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Malaysian Nursing Board, Guideline Of Injection Administration. (1st Ed.2021). 1.
[2] Lihat https://my.clevelandclinic.org/health/treatments/21635-iv-fluids
[3] Zain bin Muhammad al-Aidirus Ba’lawi, Ithaf al-Anam bi Ahkam al-Siyam: Dirasah Fiqhiyyah Muqaranah, (Mesir: Dar al-Talib al-Azhari, 2016), 52.
[4] Muhammad Iwad bin Tohir, Hukm al-Ibrah fi Nahar Ramadan, (Hadramaut: Dar al-Toli’ah, 1962), 31.
[5] Hassan Hito, Fiqh al-Siyam, (Beirut: Dar al-Basyair, 1988), 86
[6] Bakhit al-Muti’e, Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, (Qahirah: Dar al-Ifta’ al-Misriyyah), 1:93.
[7] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, (Dimasyq: Dar al-Qalam, 2013), 2:183.
[8] Yusuf al-Qaradawi, Fiqh al-Siyam, (Beirut: Muasasah al-Risalah, 1993), 100.
[9] Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: http://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/20175/%d8%ad%d9%83%d9%85-%d8%ad%d9%82%d9%86-%d8%a7%d9%84%d8%ac%d9%84%d9%88%d9%83%d9%88%d8%b2-%d9%84%d9%84%d8%b5%d8%a7%d8%a6%d9%85-%d9%81%d9%8a-%d9%86%d9%87%d8%a7%d8%b1-%d8%b1%d9%85%d8%b6%d8%a7%d9%86
[10] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 1991), 2:358.
[11] Idarah al-Ifta’, al-Durar al-Bahiyyah min al-Fatawa al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’u al-Islamiyyah, 2015), 4:32.
[12] Lihat: https://iifa-aifi.org/ar/2009.html
[13] Lihat: https://aliftaa.jo/fatwa/1391/-%d9%85%d8%b1%d8%b6%d8%aa-%d9%88%d8%a3%d9%86%d8%a7-%d8%b5%d8%a7%d8%a6%d9%85%d8%a9-%d9%88%d8%a7%d8%b6%d8%b7%d8%b1%d8%b1%d8%aa-%d9%84%d8%a3%d8%ae%d8%b0-%d8%a5%d8%a8%d8%b1%d8%a9-%d9%81%d9%8a-%d8%a7%d9%84%d8%b9%d8%b6%d9%84-%d9%85%d8%b1%d8%aa%d9%8a%d9%86-%d8%b9%d9%84%d9%89-%d9%8a%d9%88%d9%85%d9%8a%d9%86
[14] Ahmad bin Abdul Razzaq, Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhus al-Imiyyah wa al-Ifta’, (Saudi: Dar al-Asimah, 1996), 10:252.
[15] Ibid.
[16] Majallah Majma’ al-Fiqhi al-Islami al-Daurah al-‘Asyirah, 2:377.
[17] Muhammad bin Solih al-Uthaimin, Majmu’ Fatawa wa Rasail, (Saudi: Dar al-Watan, 1438), 19:199.
[18] Abdul Aziz bin Baz, Majmu’ Fatawa wa Maqalat Mutanawi’ah, (Saudi: Ri’asah Idarah al-Buhus al-Ilmiyyah wa al-Ifta’, t.t), 15:258.
[19] Hasan bin Ahmad al-Kaff, al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, (Hadramaut: Dar al-Miras al-Nabawi, t.t), 352.