Soalan:
Disebabkan jarak waktu di antara solat maghrib dan solat subuh hanya beberapa jam di tempat saya, jadi saya ingin bertanya, sekiranya saya tidur sebelum berbuka dan bangun semula pukul 3.00 pagi iaitu setelah masuknya waktu subuh, bagaimanakah puasa saya pada hari berikutnya ? Dalam keadaan saya masih belum berbuka untuk hari sebelumnya. Mohon penjelasan.
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang menyusuri jejak langkah baginda hingga hari kiamat.
Kami mulakan jawapan bagi persoalan ini dengan menjelaskan berkenaan dengan salah satu daripada syarat sah puasa iaitu niat. Para fuqaha menyatakan bahawa syarat untuk diambil kiranya sesuatu niat tersebut ada tiga perkara seperti berikut:
Pertama: Jazam
Niat perlulah dilakukan secara jazam iaitu secara pasti bagi mengeluarkan sebarang bentuk keraguan dan kesangsian dari niat tersebut. Bahkan sekiranya seseorang itu berniat pada malam hari syak untuk berpuasa pada keesokan harinya, sekiranya esok adalah Ramadan maka dia akan berpuasa, ini juga tidak dikira dan tidak sah.
Kedua: Ta’yin (Menentukan Niat)
Ini membawa maksud, niat mestilah ditentukan sama ada puasa yang ingin dilakukan oleh seseorang itu merupakan puasa Ramadan, puasa nazar, puasa qadha’, atau selainnya. Maka tidak boleh untuk berpada dengan mengatakan ingin berpuasa secara mutlak tanpa ditentukan puasa apakah yang dia ingin lakukan.
Ketiga: Tabyiit al-Niat
Tabyit membawa erti berlakunya niat pada malam hari, sekitar di antara terbenamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar. Ini merupakan syarat di sisi fuqaha Malikiyyah, Al-Syafieyyah, dan juga Al-Hanabilah. Berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Hafsah binti ‘Umar R.anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari, maka tidak ada puasa baginya.
Riwayat Al-Nasai (2334)
Berdasarkan hadis di atas, penafian yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W dikategorikan sebagai nafyu al-sihhah (menafikan kesahihan) di sisi para fuqaha. Justeru, ia membawa maksud sesiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari, maka puasanya tidak sah pada keesokan harinya. Demikian juga pendapat yang disebutkan oleh para ulama apabila mengulas perkataan siyam yang datang dalam bentuk nakirah dalam hadis tersebut dengan kaedah berikut:
النَّكِرَةُ فِي سِياقِ النَّفْيِ تُفِيدُ العُمُوم
Maksudnya: Nakirah yang datang dalam konteks penafian membawa erti keumuman.
Justeru, hadis ini umum meliputi puasa wajib dan puasa sunat. Kerana itu sebahagian para ulama mengatakan bahawa puasa sunat juga wajib untuk dilakukan niat pada waktu malam (tabyiit) merujuk kepada keumuman puasa dalam hadis di atas.
Oleh yang demikian, sebagai menjawab kepada persoalan yang diajukan maka kami melihat kes ini bahawa penyoal telah tertinggal satu syarat sah berpuasa iaitu niat. Demikianlah juga turut tertinggal syarat sah niat iaitu tabyiit (berniat di malam hari). Maka dalam isu niat pada setiap malam ini, para ulama terbahagi kepada dua pendapat yang berikut:
Pertama: Wajib Berniat Pada Waktu Malam
Ini adalah pendapat majoriti para fuqaha dan tabyiit ini mestilah dilakukan pada setiap malam. Hujah bagi pendapat ini adalah hadis Ummul Mu’minin Hafsah di atas. Begitu juga bagi mereka, ibadah puasa adalah ibadah yang mustaqillah (bersendiri) maka menjadi kewajipan untuk diniatkan pada setiap hari pada waktu malam.
Kedua: Boleh Niat Sebulan Puasa
Ini adalah pendapat fuqaha Malikiyah yang menyatakan bahawa mencukupi niat sekali untuk berpuasa selama sebulan Ramadan. Hujah mereka adalah puasa sama seperti solat dari sudut memadai niat pada awal rakaat solat.
Kesimpulan
Setelah kami menyebutkan beberapa nas, hujahan, berserta pendapat para fuqaha di atas, maka kami menyatakan bahawa puasa bagi seseorang yang tidur sebelum berbuka dan bangun setelah terbitnya fajar sadiq adalah tidak sah mengikut pandangan jumhur. Bahkan dia perlu menggantikan (qadha) puasanya hari tersebut pada hari yang lain. Ini juga menepati kaedah fekah yang menyebut:
الْخُرُوجُ مُنَ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ
Maksudnya: Keluar daripada khilaf adalah suatu yang dituntut.
Walaupun begitu dalam kes ini, memandangkan waktu berbuka puasa adalah terhad dan sedikit, maka kami berpendapat bahawa jika penyoal telah berniat puasa selama sebulan dengan mengikut mazhab Malik, maka kami cenderung menyatakan bahawa puasa tersebut sah dengan meraikan keadaan di tempat penyoal yang masanya terhad dan terbatas. Semoga jawapan ini dapat memberikan pencerahan yang jelas bagi yang bertanya dan kita semua. Ameen.