اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-113: ADAKAH TERDAPAT SOLAT SUNAT SEBELUM MAGHRIB?

 

Soalan:

Adakah terdapat solat sunat sebelum maghrib dan bagaimana pula hukumnya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda ﷺ, sahabat baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.

Solat sunat dua rakaat sebelum maghrib adalah sunnah dan ianya terdapat di dalam hadith Nabi ﷺ. Namun ianya tidak dikategorikan di dalam solat sunat rawatib dan hukumnya juga bukanlah sunat muakkad (dituntut).

Ini berdasarkan sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Mughaffal al-Muzni RA yang mana Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

صَلُّوا قَبْلَ صَلاَةِ الْمَغْرِبِ‏‏.‏ - قَالَ فِي الثَّالِثَةِ - لِمَنْ شَاءَ كَرَاهِيَةَ أَنْ يَتَّخِذَهَا النَّاسُ سُنَّةً

Maksudnya: “Solatlah sebelum maghrib”. Nabi ﷺ mengulangnya sebanyak 3 kali dan pada kali yang ke-3 Nabi ﷺ menyebut: “Bagi mereka yang ingin melakukannya”. (Rasulullah ﷺ berkata demikian kerana Baginda tidak mahu ianya dijadikan sebagai satu sunnah yang berterusan).

Riwayat Al-Bukhari (1183)

 

Al-Hafiz Ibn Hajr al-‘Asqalani (wafat 852H) Rahimahullah di dalam kitabnya, Fath al-Bari membawakan pendapat al-Muhib al-Tabari Rahimahullah yang mana menyebut bahawa hadith di atas menjadi dalil yang kuat mengatakan bahawa solat sunat dua rakaat sebelum Maghrib adalah sunat yang mana bermaksud ianya disyariatkan namun tidaklah dilakukan secara lazimnya. Disebabkan oleh itu, kebanyakan al-Syafi’eyyah tidak memasukkannya ke dalam jenis solat sunat rawatib yang dituntut untuk melakukannya (sunat mu’akkad). [Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. Dar al-Ma’rifah, 3/60]

Dalam sebuah hadith yang lain, pernah disebutkan oleh Anas bin Malik RA:

كُنَّا بِالْمَدِينَةِ فَإِذَا أَذَّنَ الْمُؤَذِّنُ لِصَلاَةِ الْمَغْرِبِ ابْتَدَرُوا السَّوَارِيَ فَيَرْكَعُونَ رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ حَتَّى إِنَّ الرَّجُلَ الْغَرِيبَ لَيَدْخُلُ الْمَسْجِدَ فَيَحْسِبُ أَنَّ الصَّلاَةَ قَدْ صُلِّيَتْ مِنْ كَثْرَةِ مَنْ يُصَلِّيهِمَا

Maksudnya: Adalah kami di Madinah, jika dilaungkan azan oleh muazzin untuk solat Maghrib, maka bersegeralah kami ke tiang-tiang masjid dan solat dua rakaat sehingga orang asing yang masuk ke masjid menyangka solat yang dilakukan  itu adalah solat fardhu kerana ramai yang melakukannya.

Riwayat Muslim (837)

 

Pandangan Mazhab

  • Mazhab Hanafi & Maliki: Solat sunat ketika terbenam matahari sebelum menunaikan solat maghrib adalah makruh di sisi kedua-dua mazhab ini. Dimakruhkan kerana takut melewat-lewatkan waktu maghrib. [Lihat Majma’ al-Anhar fi Syarh Multaqa al-Abhar, 1/110 & Mukhtasar Khalil]
  • Mazhab Syafi’e: Solat sunat dua rakaat sebelum maghrib adalah sunat namun tidak sampai tahapnya kepada sunat mu’akkad dan ini adalah qaul sahih di dalam mazhab. [Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/502]
  • Mazhab Hanbali: Ianya dibolehkan. Tidak pula dimakruhkan atau disunatkan. Dikatakan juga bahawa ianya disunatkan. [Lihat Hasyiah al-Raudh al-Murbi’ Syarh Zaad al-Mustaqni’, 2/218]

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas-nas serta pendapat mazhab-mazhab yang terdapat mengenai isu ini, kami katakan bahawa solat sunat sebelum Maghrib adalah sunat namun tidaklah sampai ke tahap sunat yang dituntut (sunat mu’akkad).

Disebutkan di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e tulisan Prof. Dr. Muhammad al-Zuhayli Hafizahullah, bagi mereka yang ingin melakukan solat sunat sebelum maghrib maka hendaklah dilakukan dua rakaat yang ringan (tidak terlalu lama di dalam rukun, sunat dan adab solat) sehingga boleh melewatkan solat maghrib kerana waktu maghrib itu sangat singkat. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 1/370]

 

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

24 Mei 2016 bersamaan 17 Sya’ban 1437H