اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-63: HUKUM PENGGUNAAN ROKOK ELEKTRONIK/VAPOR

 

SOALAN

Apakah hukum menghisap rokok elektronik dan vapor?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, dalam Irsyad Fatwa pada kali ini, kami seupaya mungkin cuba menekuni isu yang berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik dan vapor atau vape yang sekarang ini begitu berleluasa digunakan masyarakat termasuk daripada kalangan remaja perempuan dengan pelbagai alasan. Antara alasan paling popular adalah alat ini sebagai pengganti kepada rokok sebenar untuk ditinggalkan dan berhenti secara perlahan-lahan atau tadarruj. Alasan seperti ini seolah-olah menghalalkan cara dan penggunaan rokok elektronik dengan berleluasa. Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini merasa terpanggil untuk membincangkan isu dan hukum berkaitan dengan rokok elektronik ini.

Alhamdulillah, pada tanggal 21 Disember 2015, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah memutuskan bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape ini adalah haram.

 

Definisi Rokok Elektrik

Rokok Elektronik (Elecronic Nicotine Delivery Systems atau e-Cigarette) adalah sebuah inovasi dari bentuk rokok konvensional menjadi rokok moden. Pada masa kini, rokok elektrik juga dikenali sebagai vape atau vapor. Perkataan 'vape' berasal daripada perkataan Inggeris daripada perkataan ‘vaporization’ yang membawa maksud proses pengewapan, dan juga merujuk kepada 'vaporizer' iaitu alat yang digunakan untuk menghisap ganja, tembakau dan campuran rokok lain. Kamus Oxford telah menambah perkataan vape sebagai kata nama baru dalam kamus itu pada Ogos 2014.[1] Kamus tersebut mendefinisikan vape sebagai “an act of inhaling and exhaling the vapour produced by an electronic cigarette or similar device” (perbuatan menyedut dan menghembuskan wap yang dihasilkan oleh rokok elektronik atau peranti yang seumpamanya). Perkataan vape juga boleh merujuk kepada alat peranti elektronik yang digunakan.[2]

 

Pendapat Pakar

Dinyatakan di sini beberapa pendapat pakar berkenaan dengan penggunaan rokok elektronik, antaranya :

  • Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok elektronik ini berbeza bergantung kenyataan tertulis pada labelnya. Ia boleh mengandungi antara 6–8 mg dalam setiap 1 ml cecair (mg/ml), yang dilabelkan berkepekatan rendah. Ada juga yang mengandungi 16–18 mg/ml (berkepekatan tinggi) atau 24-36mg/ml (berkepekatan ekstra tinggi). Namun harus diketahui bahawa jika semua 60 mg nikotin diserap dalam darah, ia berpotensi untuk membunuh seorang dewasa yang tidak merokok. Jumlah ini bersamaan dengan 30-40 batang rokok konvensional.
  • Saintis dari Bahagian Penilaian Farmaseutikal US Food and Drug Administration (USFDA) telah menguji 19 jenis e-rokok yang telah dikeluarkan oleh dua pengeluar (NJoy dan Smoking Everywhere). Mereka mendapati terdapat bahan ‘tobacco-specific nitrosamines’ (TSNAs), yang boleh menyebabkan kanser dalam kedua-dua jenama e-rokok itu. Malah kepekatan nikotin yang terdapat dalam e-rokok tidak sama dengan nilai yang ditulis pada label. Terdapat sedikit nikotin dalam e-rokok yang dikatakan “nicotine-free”.
  • Pada September 2008, World Health Organization telah mengeluarkan kenyataan: “Tiada kajian yang sahih menunjukkan e-rokok ini selamat dan berkesan sebagai rawatan penggantian niklotin. Oleh itu, pihak pengeluar haruslah melakukan kajian yang mendalam untuk menyokong dakwaan mereka bahawa e-rokok boleh digunakan untuk mengurangkan tabiat merokok”. [3]
  • Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh American Lung Association (ALA), pihak ALA menyatakan kegusaran mereka terhadap penggunaan rokok elektronik kerana kajian awal telah mendapati bahawa rokok elektronik bukan sahaja mengandungi nikotin bahkan terdapat juga bahan-bahan kimia lain yang berbahaya seperti carcinogens [4]. Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa rokok elektronik yang menggunakan voltage yang tinggi dan mempunyai kandungan  formaldehyde yang tinggi. Formaldehyde juga merupakan bahan kimia yang merbahaya kepada tubuh manusia. [5]
  • Pihak FDA (Food and Drug Administration) Amerika Syarikat telah menjalankan uji kaji makmal terhadap kandungan rokok elektronik dan di dalam satu sampel kajian, mereka telah mendapati bahan diethylene glycol iaitu bahan yang digunakan di dalam proses anti-beku dan ianya sangat berbahaya kepada tubuh manusia. [6]
  • Menurut Dr. Daniel Lee, Pakar Perubatan dan Pernafasan di Pusat Perubatan Prince Court, dakwaan yang mengatakan asap yang terhasil dari rokok elektronik adalah dari cecair biasa dan bukannya dari nikotin adalah salah sama sekali. Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai nikotin yang mana boleh meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormon ‘adrenalin’ serta melembapkan sistem urat saraf. Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan saluran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar dan ulser perut dan usus.
  • Ketua Pegawai Perubatan Pusat Saringan Kanser Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr. Dalilah Kamaruddin ketika dihubungi mengatakan proses pengewapan cecair nikotin yang dihasilkan oleh rokok elektronik, akan disedut oleh pengguna, dan wap nikotin ini mempunyai sifat yang sama dengan asid nitrik. Tambah beliau lagi, asid nitrik merupakan bahan kimia pemangkin kepada berlakunya kanser di dalam tubuh manusia. Selain itu, cecair nikotin, walaupun sukatannya sedikit, dikhuatiri resapannya ke dalam saluran darah akan mengubah kandungan efisien dalam badan kerana selain nikotin, cecair itu juga mengandungi gliserin. [7]
  • Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Ashok Zachariah Philip juga berpendapat bahawa rokok elektronik boleh membawa kemudharatan kepada penggunanya. Tambah beliau lagi, kebanyakan bahan kimia yang terkandung di dalam asap rokok kenvesional juga terdapat di dalam rokok elektronik walaupun kadarnya lebih rendah. Beliau juga melalui persatuan menggesa agar Kementerian Kesihatan mempertimbang untuk mengharamkan penggunaan rokok elektronik melihat kepada kemudaratan yang bakal berlaku. [8]
  • Pakar Bedah Jantung dan Paru-Paru Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Khairulfaizi Haron berkata, walaupun peratusan untuk pengguna vape mendapat penyakit tersebut terlalu rendah, mereka perlu berwaspada dan berhati-hati. Beliau juga menegaskan bahawa sangkaan menggunakan rokok elektronik adalah lebih selamat berbanding rokok adalah tidak benar. [9]
  • Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Helmi Yahya dalam satu kenyataan mengatakan bahawa di dalam rokok elektronik terdapat nikotin dan propylene glycol, dan apabila dipanaskan (dalam cecair) melebihi lima volt, kombinasi bahan cecair itu akan bersifat seperti bahan pengawet. Bahan pengawet inilah yang meningkatkan kemungkinan kanser dalam tubuh badan. [10]
  • Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), fenomena penggunaan vape ini bertentangan dengan dasar dan polisi KKM untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dari sebarang bentuk amalan rokok. Ia juga tidak selari dengan perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (WHO FCTC) yang telah ditandatangani oleh Malaysia semenjak tahun 2005. KKM telah menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Bagi Mengkai Kesan Rokok Elektronik Dan Shisha Terhadap Kesihatan  pada bulan Ogos tahun 2013. Jawatankuasa ini mengambil masa selama setahun  empat bulan untuk membuat penetapan kerana ketika itu kurang kajian-kajian saintifik berkaitan rokok elektronik dan vape. Jawatankuasa ini telah meneliti beberapa kertas kajian saintifik dan laporan-laporan terutama daripada WHO FCTC dan International Union Against Tubercolosis and Lung Disease.
  • Negara-negara yang telah mengharamkan penjualan peranti alat rokok elektronik mengandungi nikotin ialah:
    1. Australia
    2. Belgium
    3. Canada
    4. Finland
    5. Hong Kong
    6. Japan
    7. New Zealand
    8. Norway
    9. Afrika Selatan
  • Negara-negara yang telah mengharamkan sepenuhnya penjualan rokok elektronik dan vape adalah:
    1. Argentina
    2. Brazil
    3. Thailand
    4. Singapura
    5. Brunei
    6. Oman
    7. Panama
    8. Jordan
    9. Mexico
    10. Qatar
    11. China Taipei
    12. Turki
    13. Emiriah Arab Bersatu

Dalil Pengharaman Perkara yang Memudaratkan

Pertama: Firman Allah Ta`ala:

وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ وَأَحۡسِنُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.

(Surah al-Baqarah,  2:195)                                                                                                  

Walaupun ayat ini diturunkan berkenaan dengan perbelanjaan infāq fī sabīlillāh tetapi keumuman ayat ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, sebagaimana dijelaskan oleh al-Shawkani:

وَالحَقُّ أَنَّ الاِعْتِبَارَ بِعُمُوْمِ اللَّفْظِ لاَ بِخُصُوْصِ السَّبَبِ فَكُلُّ مَا صَدَقَ عَلَيْهِ أَنَّهُ تَهْلُكَةٌ فِيْ الدِّيْنِ أَوْ الدُنْيَا فَهُوَ دَاخِلٌ فِي هَذَا وَبِهِ قَالَ ابْنُ جَرِيْرِ الطَّبَرِيُّ

Maksudnya: “Dan yang sebenarnya ialah pengajaran itu diambil melalui keumuman lafaz, bukan melalui sebab penurunan (ayat) secara khusus. Maka setiap perkara yang menepati maksud kebinasaan sama ada terhadap agama atau dunia, maka ia termasuk dala umum ayat ini. Dan ini jugalah yang dipegang oleh Ibn Jarir al-Tabari.

Rujuk Fathul Qadir (1/222)

Kedua: Firman Allah Ta`ala:

وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا

Maksudnya: Jangan kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.

(Surah al-Nisa’, 4:29)

Menurut al-Jassas, ayat tersebut mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri. Rujuk Ahkam al-Quran (3/127).

Ketiga: Sabda Rasulullah SAW:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak harus mengenakan kemudaratan (tanpa hak)”

Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)

Hadis ini juga menunjukkan pengharaman melakukan kemudaratan secara umum sehingga nas hadis ini dijadikan salah satu kaedah fiqh.

Keempat: Sabda Nabi SAW:

وَمَن تَحَسَّى سُمًّا فَقَتَلَ نَفْسَهُ فَسُمُّهُ فِي يَدِهِ يَتَحَسَّاهُ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَ خَالِداً فِيْهَا أَبَداً

Maksudnya: “Sesiapa yang meneguk racun lalu membunuh dirinya, maka racunnya akan sentiasa di tangannya sambal meneguknya dalam neraka Jahannam, berkekalan selama-lamanya.”

Riwayat al-Bukhari (5778) dan Muslim (109)

Hadis ini menjadi ancaman balasan neraka dan siksaan yang dahsyat bagi orang yang melakukan tindakan yang membinasakan diri sendiri. Secara umumnya, dalil tersebut mengharamkan segala bentuk tindakan yang membunuh dirinya.

Hukum

Berdasarkan daripada kenyataan di atas dan juga nas yang dinyatakan maka kami berpendapat bahawa penggunaan rokok elektronik juga hukumnya adalah HARAM. Ini kerana seperti yang kami‘illahkan atau nyatakan sebab terhadap hukum merokok terpakai untuk isu rokok elektronik ini bahkan kami nyatakan sekali lagi beberapa alasan antaranya:

  • Qiyas kepada rokok sebenar. [11] Antaranya:
    1. Memudaratkan agama nyawa, akal, harta dan keturunan;
    2. Mengandungi bahan-bahan beracun seperti nikotin cecair tulen, propylene glycol, vegetable glycerin dan alkohol;
    3. Membawa kepada ketagihan dan mengkhayalkan;
    4. Membawa kepada pelbagai penyakit seperti kanser, kecacatan janin, dan lain-lain;
    5. Memudaratkan kesihatan orang sekeliling dan mencemarkan alam sekitar.
  • Kenyataan pakar menunjukkan ia mudarat bahkan boleh jadi lebih mudarat daripada merokok itu sendiri. Ini merupakan asas pertimbangan yang amat kuat kerana mafsadahnya tidak boleh disangkal lagi serta mudaratnya telah diperakui oleh pakar dan badan-badan berautoriti.
  • Pembaziran yang berlaku sama ada pada alat vape itu sendiri mahupun bahan cecair yang menjadi hisapannya. Dikatakan bahawa harga alat tersebut berharga sekitar ratusan ringgit dan bagi sesetengah jenis, ianya mampu mencecah hingga ribuan ringgit.
  • Meniru budaya yang bukan Islam.
  • Dilihat tidak bermaruah.
  • Sad al-Zari’ah (menutup jalan menuju kerosakan). Pihak polis kini sedang menggiatkan tinjauan dan siasatan terhadap lokasi-lokasi yang dikesan cuba mengadun sendiri perisa ganja dan ketum bagi memenuhi permintaan segelintir pengguna rokok elektronik.[12] Laporan dari pihak berkuasa juga menunjukkan bahawa penggunaan dadah sintetik di kalangan remaja sedang meningkat dan ini akan lebih memburukkan keadaan jika penggunaan rokok elektronik juga terdapat unsur-unsur dadah di dalamnya.[13] Langkah-langkah pencegahan perlulah dilakukan agar masalah ini tidak membarah di kalangan masyarakat Malaysia terutamanya buat para remaja.

Terdapatnya fatwa ulama’ yang menyokong tentang pengharaman rokok elektronik ini. Justeru, kami berpendapat seperti itu juga dengan alasan yang diberikan di atas. Untuk ulasan pengharaman, sila rujuk Bayan Linnas Siri-18.[14]

 

Fatwa Ulama’& Pendapat Ilmuan Islam

Kami nyatakan di sini fatwa yang dikeluarkan menyatakan hukumnya sama seperti hukum rokok biasa. Justeru, hukumnya adalah HARAM.[15]

  • Sheikh Muhammad Saalih al-Munajjid di dalam jawapan beliau terhadap isu penggunaan rokok elektronik mengatakan bahawa rokok elektronik hukumnya adalah sama seperti rokok tradisional iaitu haram. Padanya tidak ada kebaikan bagi mereka-mereka yang ingin cuba meninggalkan amalan menghisap rokok beralih dari rokok tradisional kepada rokok elektronik kerana mudaratnya juga sama seperti rokok biasa berdasarkan laporan dari pakar.[16]
  • Sheikh Uthman al-Khamis juga berpendapat bahawa rokok elektronik adalah haram kerana ianya memudaratkan.[17] Setiap yang memudaratkan, maka Islam terlebih dahulu akan menolaknya demi menjaga maslahah sekalian umat.

Penggunaan Vape daripada Sudut Maslahah Ammah

Pihak berkuasa juga hendaklah mengambil keputusan pengharaman vape jika terdapat maslahah ammah. Ini berdasarkan epada tanggungjawab pemerintah yang terungkap dalam kaedah fiqh:

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَعِيَّةِ مَنُوْطٌ بِالمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah bergantung kepada maslahah.”

Rujuk Bahr al-Muhit fi Usul a-Fiqh (1/309)

Jika sekiranya wujud maslahah ammah yang sebenar dalam pengharaman vape, maka adalah menjadi kewajipan semua rakyat untuk mematuhinya, sebagaimana sesetengah pemerintah pada zaman dahulu pernah membuat larangan rokok berdasarkan kepada maslahah ammah dan ulama mewajibkan rakyat mematuhinya.

Al-Syarwani seorang ulama dalam mazhab Syafie ketika membicarakan berkenaan kewajipan mentaati pemerintah dalam perkara yang melibatkan maslahah ammah telah memberi contoh larangan merokok berdasarkan maslahah ammah, “Jika pemerintah membuat arahan supaya tidak menghisap rokok yang dikenali pada zaman ini, maka wajib ke atas mereka (rakyat) untuk mentaatinya. Pada waktu yang lalu, Timbalan Pemerintah pernah mengeluarkan arahan di Mesir supaya tidak merokok di jalan-jalan dan kafe-kafe, lalu ramai yang menginkarinya, maka mereka adalah pelaku maksiat”. Rujuk Hashiah al-Syarwani (3/69)

Sejarah tersebut menunjukkan bahawa pengharaman rokok berdasarkan kepada maslahah ammah adalah suatu yang pernah berlaku pada masa lalu, dan ulama mengiktiraf ia sebagai larangan yang wajib dipatuhi. Justeru, pengharaman rokok elektronik atau vape boleh dikuatkan dengan kewujuduan elemen maslahah ammah.

Penentuan seseuatu itu sebagai maslahah ammah dalam perkara yang melibatkan hukum-hakam adalah peranan para ulama dan mujtahid, sebagaimana Abdussalam al-`Abbad menjelaskan ketika membicarakan berkenaan maslahah ammah, “kepastian wujudnya syarat-syarat ini pada setiap maslahah secara kes demi kes adalah tugas para mujtahidin yang mempunyai kelayakan berijtihad dan memenuhi syarat-syaratnya” . Rujuk Nas` al-Milkiyyah al-Khassah li al-Manfa`ah al-`Ammah (2/995)

 

Penutup

Dalam isu ini, ramai juga berpendapat bahawa ia adalah salah satu cara untuk menolong penghisap rokok agar berhenti daripada merokok. Justeru itu, mereka menggunakan rokok elektronik sebagai alternatif kepada cara berhenti merokok. Sebenarnya anggapan ini adalah menyimpang daripada asas kerana dikatakan ada juga bahan nikotin yang asalnya daripada bahan yang boleh menyebabkan ketagihan dan mudarat kepada kesihatan manusia. Kami sepertimana isu merokok juga menyeru kepada khalayak umat Islam untuk meninggalkan penggunaan rokok elektronik atau vapor berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas. Alangkah baiknya duit yang kita gunakan untuk membeli rokok atau vapor, kita masukkan ke tabung masjid, menyantuni anak-anak yatim, memberi makan kepada fakir miskin serta membantu keperluan mereka. Semoga Allah kurniakan kepada kita taufiq dan hidayah dan berikan kepada kita kesihatan yang baik. Amin.

 

Akhukum fillah,

S.S. Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

Dikemaskini pada 22 Disember 2015 bersamaan 10 Rabiulawal 1437H

 

Nota hujung:

[1] http://blog.oxforddictionaries.com/2014/11/oxford-dictionaries-word-year-vape/

[2] http://www.oxforddictionaries.com/definition/english/vape

[3] http://www.who.int/mediacentre/news/releases/2008/pr34/en/index.html

[4] Carcinogens merupakan bahan pemangkin berlakunya kanser dalam tubuh manusia

[5] http://www.lung.org/stop-smoking/tobacco-control-advocacy/federal/e-cigarettes.html

[6] http://ukhealthcare.uky.edu/Claims-of-e-cigarette-safety-unproven-at-best-experts-say/

[7] http://www.astroawani.com/gaya-hidup/rokok-elektronik-vapor-dikhuatiri-penyebab-kanser-69773

[8] http://www.bharian.com.my/node/75419

[9] http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kandungan-cecair-vape-bahaya-1.124146

[10] http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1181415

[11] Qiyas digunakan kerana terdapat persamaan sebab (ittihad ‘illah) di dalam pengharaman merokok

[12] http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/siasat-seluruh-negara-1.124151

[13] http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penggunaan-dadah-sintetik-meningkat-1.125191

[14] http://muftiwp.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=266

[15] http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=129680

[16] http://islamqa.info/en/201512 & http://islamqa.info/ar/170999

[17] http://www.almanhaj.com/vb/showthread.php?t=23522