اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-312: ANCAMAN KEPADA YANG MEMUTUSKAN TALI PERSAUDARAAN

ancaman pada putus silaturrahim.JPG

Soalan

Apakah hukum memutuskan tali persaudaraan sesama keluarga dan menganggap ia bukan sebahagian daripada ahli keluarganya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ..

Kalimah Silaturrahim diambil daripada dua perkataan Arab iaitu صلة  yang bermaksud hubungan dan الرحم bererti kaum kerabat yang terdekat. Ia membawa maksud memelihara dan menyambung hubungan dengan kaum kerabat yang terdekat.

Sebahagian Ulama berpendapat kalimah Rahim terbatas kepada mahram sahaja dan ada juga Ulama yang berpendapat ia adalah dikalangan ahli waris.

Dimaksudkan dengan “Rahim” apabila disebut silaturrahim ialah :

الأقارب من جهة أبيه وأمه كالجدات والأجداد والخالات والعمات وأولادهم والأخوال والأعمام وأولادهم

Maksudnya: “Kaum kerabat sebelah ayah dan ibunya seperti nenek, datuk, ibu saudara sebelah bapa, ibu saudara sebelah ibu, anak-anak mereka (sepupu-sepupu), bapa saudara sebelah bapa, bapa saudara sebelah ibu dan anak-anak mereka”.

 

Ancaman Memutuskan Silaturrahim

Memutuskan silaturrahim adalah termasuk antara–dosa dosa besar secara ijmak ulama. Memutus silaturrahim boleh berlaku dengan memencilkan hati rahimnya/kerabat terdekatnya dan meminggirkan mereka sama ada dengan cara tidak berbuat ehsan kepada mereka seperti tidak memberikan harta ketika mereka dalam keadaan yang sangat memerlukan sedangklan kita berkemampuan daripada sudut kewangan atau tidak menziarahi mereka tanpa ada sebarang keuzuran. Uzur yang dimaksudkan adalah seperti seseorang itu hilang sesuatu yang boleh menyatukan hubungan dengan mereka seperti hilang harta atau pun ada harta tapi harta tersebut hanya memenuhi hajatnya sahaja yang lebih utama untuk dibelanjakan.

Rasulullah bersabda ﷺ :

لَيْسَ الوَاصِلُ بِالمُكَافِئ، وَلكِنَّ الوَاصِلَ الَّذِي إِذَا قَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا

Maksudnya:  “Bukanlah orang yang menyambung (silaturrahim) itu adalah orang yang membalas kebaikan orang lain setimpal sepertimana yang dilakukan kepadanya, akan tetapi penyambung itu adalah orang yang jika ada yang memutuskan hubungan dengannya, dia bertindak menyambungnya.” 

Riwayat al-Bukhari (5991)

Hadis ini mengisyaratkan bahawa seorang lelaki yang menyambungkan hubungan dengan rahimnya/ kaum kerabatnya yang tidak menyambungkan hubungan dengannya lagi adalah lebih afdhal daripada dia menyambungkan hubungan dengan kaum kerabatnya yang tidak memutuskan silaturrahim dengannya kerana itu antara akhlak baik yang amat disarankan oleh syarak.

Imam al-Nawawi Rahimahullahu Taala menyatakan :

صلة الرحم فهي الاحسان إلى الاقارب على حسب حال الواصل والموصول فتارة تكون بالمال وتارة بالخدمة وتارة بالزيارة والسلام وغير ذلك

Maksudnya“Menghubungkan silaturrahim bermaksud berlaku ehsan kepada kaum kerabatnya yang terdekat berdasarkan keadaan penyambung dan yang disambung ; boleh jadi ia berlaku dengan sebab harta, kadang-kadang berlaku dengan cara berkhidmat kepadanya, kadang-kadang dengan melakukan ziarah, memberi dan menjawab salam dan sebagainya” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 2/201)

Memutuskan silaturrahim boleh berlaku dengan cara menyakitinya, tidak menziarahinya, lalu datang rasa dipencilkan di dalam hatinya, atau mereka adalah kerabat fuqara yang sangat berhajat kepada bantuan sedangkan seseorang itu mempunyai harta yang melebihi hajatnya, selain itu juga dia mampu membantunya, namun begitu dia tetap juga tidak mahu membantunya.

Allah SWT berfirman,:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا

MaksudnyaWahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”.

(Surah al-Nisaa’:1)

Allah SWT berfirman lagi :

فَهَلْ عَسَيْتُمْ إِن تَوَلَّيْتُمْ أَن تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ وَتُقَطِّعُوا أَرْحَامَكُمْ ﴿٢٢﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّـهُ فَأَصَمَّهُمْ وَأَعْمَىٰ أَبْصَارَهُمْ 

MaksudnyaKalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan - jika kamu dapat memegang kuasa - kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?, (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”.

(Surah Muhammad: 22-23)

Ayat ini menjelaskan kepada kita agar kita takut kepada Allah untuk tidak memutuskan silaturrahim.

Berdasarkan ayat ini Imam Al-Qurtubi Rahimahullahu Taala menyatakan berkaitan perkataan أَرْحَامَكُمْPerkataan Rahim boleh membawa makna Am dan Khas. Dimaksudkan dengan makna Am ialah kerabat dari sudut Agama. Mereka ialah saudara-saudara kamu seagama walaupun diantara kamu tiada pertalian kerabat. Maka wajib kamu menyambungkan silaturrahim berdasarkan keimanan dengan cara berkasih-sayang tolong-menolong, nasihat-menasihati, tidak memudharatkannya, berlaku adil, memberi hak yang sepatutnya dan menunaikan hak-hak yang wajib seperti memunaikan hak-hak orang yang meninggal dunia seperti memandikan, solat atasnya , mengebumikan dan juga hak-hak yang harus seperti menziarahinya ketika sakit. Adapun Rahim dari sudut yang khusus ialah membawa makna kaum kerabat dari sebelah pihak bapa dan ibu”. Maka wajib bagi mereka menunaikan hak yang khusus seperti memberi nafkah bersesuai dengan keadaaan mereka dan tidak melalaikan perkara yang dijanji pada waktu-waktu yang mereka perlukan”. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 8/164)

Rasulullah ﷺ bersabda :

وَمَنْ كانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ والْيوم الآخِر، فَلْيصلْ رَحِمَهُ …

Maksudnya“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah seseorang itu menyambung silaturrahim”.

Riwayat al-Bukhari (4830)

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :

مَنْ أَحبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ في رِزقِهِ ويُنْسأَ لَهُ في أَثرِهِ فَلْيصِلْ رحِمهُ

Maksudnya“Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silaturahim.” 

Riwayat al- Bukhari (5986) dan Muslim (2557)

Diriwayatkan oleh daripada daripada hadith Jubair bin Muth^im RadhiAllahu Anhu bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :

لاَ يَدْخُلُ الجَنَّةَ قَاطِعٌ

Maksudnya“ Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim”. Maksud “tidak masuk syurga” di sini adalah tidak masuk bersama golongan terawal (bukan ertinya dia tidak akan masuk syurga selama-lamanya padahal dia memiliki Iman).

Riwayat Al-Bukhari (2408) dan Muslim (593)

 

Kaedah Bersilaturrahim Dan Keadaan Diharuskan Memutus Silaturrahim

Bersilaturrahim mempunyai pendekatan dan cara yang pelbagai. Antaranya:

  • Jika kamu boleh menziarahi rahimmu/kaum keramat terdekat denganmu maka jangan sekali kamu mengabaikannya. Hendaklah kamu menziarahi mereka. Tidak memadai kamu mengirimkan salam kepada mereka tanpa menziarahi mereka. Dalam beberapa keadaan memang memadai hanya dengan mengirimkan salam. Adapun jika berada di tempat yang sama, negeri yang sama, daerah yang sama kemudian tidak pula menziarahinya dalam jangka masa setahun, tidak juga dalam 2 tahun dan tidak juga menziarahnya pada tahun yang ketiganya, sedangkan dia mampu melakukannya maka inilah dosa memutuskan silaturrahim.
  • Adapun jika rahim atau kerabat terdekat tersebut tidak suka kerabatnya ini memasuki rumahnya dan dia tidak pula redha orang tersebut berbuat demikian serta orang tersebut ini pula tahu bahawa dia tidak menyenangi/tidak redha dia memasuki rumahnya maka tiada dosa dikenakan ke atasnya kerana kerabatnya itu tidak redha dia berbuat demikian. Jatuh tanggungjawab tersebut daripadanya. Walaupun begitu, dia masih lagi perlu bertindak mengirimkan salam kepadanya atau menyampaikan salam secara bertulis mahupun telefon. Lebih mudah lagi pada zaman ini dengan adanya sms, laman sosial, whatsapp, twitter dan sebagainya.
  • Namun, jika kerabatnya amat suka dia masuk ke rumahnya dan dia dibenarkan duduk di dalam rumahnya, maka tidak memadai dengan hanya mengirimkan salam bagi tempoh yang lama tidak bersua. Adapun jika dah berjumpa dengannya sebelum ini dalam tempoh yang terdekat maka sudah memadai dengan hanya kiriman salam.
  • Adapun jika seseorang itu memiliki keuzuran seperti dia berada di tempat yang jauh, atau luar negeri atau luar negara dan tidak mudah baginya untuk pergi menziarahi kaum kerabatnya, jika dia menghilangkan diri misalnya 3 tahun sedangkan dia masih lagi mengirimkan salam dari semasa ke semasa maka itu tidak mengapa.
  • Jika dia menziarahi kaum kerabatnya tetapi dia tidak mendapati dia di rumah, maka hendaklah orang tersebut meninggalkan pesanan di atas pintu rumahnya atau kepada jirannya: “ Saya adalah si fulan, saya telah datang menziarahimu tetapi saya dapati kamu tiada di rumah”, ini sudah memadai.

Antara keuzuran atau alasan yang menyebabkan seseorang itu dibenarkan tidak menziarahi kerabatnya/rahimnya seperti dia mendengar bahawa kaum kerabatnya ini telah melakukan riddah/murtad seperti mencaci Allah, para nabi, malaikat, atau mempersendakan al-Quran dan seumpamanya, maka orang ini tidak perlu lagi disambung hubungan silaturrahim dengannya.

Diharuskan memutuskan silaturrahim sekiranya kerabatnya itu fasiq disebabkan sikapnya meminum arak, meninggalkan solat, berzina dan seumpamanya. Perlu diingat tidak diharuskan memutuskan silaturrahim dengannya melainkan setelah memberitahunya terlebih dahulu apakah sebab kita bertindak sedemikian agar dia sedar dan meninggalkan perbuatan keji tersebut.

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِينَ يَنقُضُونَ عَهْدَ اللّهِ مِن بَعْدِ مِيثَاقِهِ وَيَقْطَعُونَ مَآ أَمَرَ اللّهُ بِهِ أَن يُوصَلَ وَيُفْسِدُونَ فِي الأَرْضِ أُوْلَئِكَ لَهُمُ اللَّعْنَةُ وَلَهُمْ سُوءُ الدَّارِ

Maksudnya“ Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi, - mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya”.

(Surah ar-Ra’d : 25)

Berkata Ibnu Abi jamrah (dalam Kitabnya Bahjah An-Nufus jilid 4 hlmn 146) Rahimahullahu Taala: ”Silaturrahim boleh dilakukan dengan harta, menolongya ketika ia berhajat, membantunya menolok kemudharatan, bermuka manis, berdoa. Semua ini dilakukan sekiranya kaum kerabat tersebut mereka istiqamah di dalam kebaikan. Namun, sekiranya mereka golongan kuffar dan sering melakukan kejahatan maka memutuskan silaturrahim dengan mereka dengan niat kerana Allah SWT dan berusaha menasihati mereka( mengikut kadar kemampuan) kemudian memberitahu sekiranya ia berttrusan di dalam kejahatan yang dilakukan maka itulah menjadi sebab terputusnya silaturrahim. Maka tindakan inilah sebenarnya dinamakaan silaturrahim dengan mereka. (Lihat Fathul Bari Syarah Sohih Al-Bukhari, 13/521)

Namun, perlu diingat bahawa hubungan dengan mereka (yang fasik dan jahat ini) masih berterusan walaupun telah terputus, dengan sentiasa berdoa kepada mereka supaya Allah SWT memberi hidayah kepada mereka agar berubah ke arah kebaikan.

Nabi ﷺ bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ، تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ يَاَ

Maksudnya: “Wahai Manusia sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah diwaktu malam hal keadaan manusia sedang tidur, maka masuklah kamu ke dalam Syurga dengan sejahtera dan selamat.

Riwayat Ibnu Majah (3251)

 

Hadis ini menerang dan meminta kita lakukan empat perkara iaitu:

Pertama:   Sebarkanlah salam iaitu memberi salam kepada orang kamu kenal ataupun tidak.

Kedua:      Memberi makan dan minum kepada terutama kepada mereka yang memerlukan.

Ketiga:      Sambunglah silaturrahim antara kaum kerabat.

Keempat: Solatlah dimalam hari diwaktu manuasia sedang tidur. Bermunajat kepada Allah SWT.

Memutuskan silaturrahim adalah antara sebab kenapa disegerakan azab seseorang di dunia lagi sebelum tibanya Hari Akhirat. Rasulullah ﷺ bersabda :

مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ تَعَالَى لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِثْلُ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ

Mafhumnya, “Tidaklah sebuah dosa yang lebih pantas untuk disegerakan balasannya di dunia dan juga disamping yang sedang menantinya di Hari akhirat dibanding dengan dosa menzalimi manusia dan dosa memutuskan silaturrahim”.

Riwayat Abu Dawud (4902), al-Tirmizi (2511) dan Ibnu Majah (4211)

Rasulullah ﷺ bersabda :

" مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُمِدَّ اللَّهُ لَهُ فِي عُمُرِهِ وَيُوَسِّعَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيَدْفَعَ عَنْهُ مَيْتَةَ السُّوءِ فَلْيَتَّقِ اللَّهَ وَلْيَصِلْ رَحِمَهُ "

Maksudnya“Sesiapa yang ingin umurnya panjang, mendapat rezeki yang luas, dan menolak sesuatu yang buruk (bencana/musibah) maka hendaklah dia bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan silaturahim”

Riwayat Imam Ahmad (1171) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3108)

Kesimpulan

Maka, berdasarkan nas-nas yang diberikan maka menjaga dan menghubungkan silaturrahim merupakan perkara yang dituntut di dalam agama. Semoga kita bersama-sama termasuk di dalam golongan yang menyambung dan memelihara silaturrahim. Ameen.