اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-480 : SUSUNAN SAF SOLAT JENAZAH SEMASA BERLAKUNYA WABAK

if480 compressed

Kredit gambar

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Bolehkah solat jenazah dilaksanakan dengan saf direnggangkan dalam jarak tertentu. Kaedah ini dikatakan untuk mengambilkira social distance (jarak sosial) bagi mengekang penularan wabak?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Isu pertama yang perlu diselesaikan di sini ialah apakah saranan daripada pihak berkuasa yang menguruskan wabak ini khususnya Kementerian Kesihatan. Berbeza negara maka berbeza juga cara pendekatan pihak berkuasa menangani isu, sesuai dengan kadar kawalan dan statistik penularan wabak tersebut. Pihak berkuasa adalah bertanggungjawab untuk memastikan maklumat terkini disampaikan dengan tepat dan pantas kepada masyarakat supaya penularan penyakit dapat dibendung.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia telah mengeluar satu kenyataan yang bertajuk “Kenyataan Akhbar KPK 11 Mac 2020 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia” pada 11 Mac 2020. Ketika mengulas isu penularan wabak dalam kalangan peserta Himpunan Jemaah Tabligh yang diadakan pada 27 Februari sehingga 1 Mac 2020, beliau menyarankan suatu nasihat kesihatan seperti berikut:-

Berikutan dari kejadian COVID-19 di Brunei, KKM menasihatkan mereka yang telah menghadiri perhimpunan tabligh itu:

  • sekiranya mengalami gejala diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau CPRC Negeri di talian yang disertakan dalam Lampiran 1 atau menghubungi Virtual Health Advisory (kolaborasi KKM bersama DoctorOnCall) melalui pautan di laman sesawang KKM, untuk nasihat lanjut. Selain itu, KKM juga telah berkolaborasi dengan BookDoc di mana orang ramai boleh muat turun aplikasi BookDoc melalui Google Play store (untuk android sahaja) untuk mendapatkan perkhidmatan “Health Advice” dengan doktor secara percuma melalui chat sahaja. Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan dengan cara yang betul, mengamalkan etika batuk dan bersin yang baik serta memakai topeng muka (face mask);

         DAN

  • sekiranya tidak mengalami gejala untuk mengamalkan jarak sosial (social distancing) sekurang-kurangnya 1 meter dari orang lain selama 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tersebut.

KKM menyeru agar semua yang telah menghadiri perhimpunan ini memberi kerjasama kepada pihak KKM bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak terus merebak dalam komuniti.

KKM juga ingin menggesa agar:

  1. semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku;
  2. sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, dinasihatkan agar tidak menghadiri program yang melibatkan orang ramai atau tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan;
  3. individu yang bergejala dinasihatkan agar menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter bila berhadapan dengan individu lain;
  4. orang ramai tidak melancong ke negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan COVID-19; dan
  5. rakyat Malaysia yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan tidak melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah.”

Daripada kenyataan di atas, dapat kita fahami bahawa saranan untuk melakukan social distancing adalah untuk individu-individu yang melibatkan diri dalam Himpunan Jemaah Tabligh pada tarikh berkenaan, sama ada mempunyai gejala seperti demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas, jangkitan kuman pada saluran pernafasan, atau tidak bergejala, agar menjaga jarak diri daripada individu lain dengan jarak 1 meter.  Selain daripada kenyataan ini, sehingga saat ini belum ada lagi kenyataan rasmi daripada pihak KKM berkenaan pelaksanaan social distancing kepada orang ramai yang tidak terlibat dengan Himpunan Jemaah Tabligh berkenaan.

Timbul persoalan; adakah solat berjemaah boleh dilakukan dengan kaedah social distancing? Sekiranya pihak berkuasa agama negeri memerintahkan penangguhan aktiviti Solat Berjemaah dan Solat Jumaat di masjid-masjid dan suraru-surau bagi suatu waktu yang ditetapkan, untuk tujuan pembersihan, menyahkuman dan menyekat penyebaran virus, maka tidak berbangkit isu social distancing di masjid-masjid dan surau-surau kerana solat berjemaah tidak boleh dilaksanakan kerana mengikut arahan pihak berkuasa. Pengecualian diberi kepada imam dan bilal yang ditugaskan untuk menjaga masjid dan mengumandangkan azan pada waktunya.

Namun jika terdapat keperluan, contohnya terhadap individu-individu yang sedang di kuarantin di rumah, atau di pusat-pusat kesihatan, adakah boleh dilaksanakan solat berjemaah secara berjarak-jarak?

Hukum ini perlu kita kembalikan kepada hukum asal merapatkan saf dalam solat. Hukum merapatkan solat adalah sunat dan merupakan salah satu daripada Sunat-Sunat Hai`ah, bukanlah rukun atau, sunat ab`adh. sebuah hadis:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kalian, kerana meluruskan saf termasuk dalam sebahagian menegakkan solat (berjemaah)”.

Riwayat Bukhari (690)

Daripada Abu Mas’ud RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُ مَنَاكِبَنَا فِي الصَّلَاةِ، وَيَقُولُ: اسْتَوُوا، وَلَا تَخْتَلِفُوا، فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ

Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW memegang bahu-bahu kami ketika hendak solat sambil berkata: Luruskanlah (saf kamu) dan jangan kamu berselisih sehingga hati kamu juga turut berselisih.” 

Riwayat Muslim (432)

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

‏ وَسِّطُوا الإِمَامَ وَسُدُّوا الْخَلَلَ

Maksudnya: “Jadikanlah kedudukan imam berada di tengah dan tutuplah ruang-ruang kosong.”

Riwayat Abu Daud (681)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

وَلاَ تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu biarkan kekosongan (saf) itu untuk syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf Allah akan menyambungkannya. Sesiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskan dirinya.”

Riwayat Abu Daud (666)

Hukum asal bagi merenggangkan saf adalah dimakruhkan dan meluputkan pahala solat berjemaah, berdasarkan hadis-hadis di atas.

Namun begitu sekiranya merenggangkan saf dilakukan kerana keperluan, maka hal itu tidaklah makruh atau diharamkan. Ini berdasarkan kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Perkara-perkara darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazha`ir (ms.84)

Kaedah lain menyebutkan:

الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً

Maksudnya: “Keperluan itu menduduki tempat darurat, pada peringkat umum atau khas.”

Rujuk al-Asybah wa al-Nazha`ir (ms.88)

Ini boleh dikiaskan dengan isu solat di atas kerusi yang telah kami bahaskan sebelum ini di mana menjadi kebiasaan di negara-negara umat Islam lain bahawa kerusi solat untuk jamaah yang uzur diletakkan di bahagian belakang masjid. Oleh sebab itu, para ulama usul menggagaskan kaedah:

الكَرَاهَة تَزُولُ بالحَاجَة

Maksudnya: “Hukum makruh itu hilang apabila wujud keperluan

Rujuk Ma`lamah Zayed (no.267)

Perkara-perkara yang dimakruhkan di dalam solat tidak menjadi makruh apabila terdapat keperluan untuk melalukannya. Contohnya, dalam hadis riwayat Abu Qatadah, bahawa Rasulullah ﷺ:

كَانَ يُصَلِّي وَهُوَ حَامِلٌ أُمَامَةَ بِنْتَ زَيْنَبَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلِأَبِي الْعَاصِ بْنِ الرَّبِيعِ، فَإِذَا قَامَ حَمَلَهَا وَإِذَا سَجَدَ وَضَعَهَا

Maksudnya: “Pernah bersolat dalam keadaan mendokong Umamah bin Zainab binti Rasulullah ﷺ, anak Abu al-Aas bin al-Rabi`. Apabila baginda berdiri, baginda mendokongnya, dan apabila baginda sujud, baginda meletakkannya.”

Riwayat Muslim (543)

Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj Syarh Muslim (5/34):

“Diharuskan untuk melakukan perbuatan yang sedikit di dalam solat, maka jika langkah dua kali itu tidak membatalkan solat tetapi lebih utama tinggalkan melainkan ada keperluan, sesungguhnya pergerakan kerana keperluan itu tidak dimakruhkan seperti mana yang dilakukan oleh Nabi ﷺ. Hadis ini juga menunjukkan bahawa dibenarkan untuk imam solat di atas tempat yang lebih tinggi daripada tempat makmum-makmum, tetapi hukumnya adalah dimakruhkan apabila tempat imam lebih tinggi atau tempat makmum lebih tinggi, melainkan kerana hajat. Maka jika ada hajat keperluan seperti tujuannya untuk mengajar perbuatan-perbuatan solat maka tidak dimakruhkan bahkan sunat berdasarkan hadis ini. Begitu juga apabila seorang makmum bertujuan mengajar makmum lain perbuatan solat imam yang memerlukan tempat yang tinggi.”

Syeikh Dr. Labib Najib Abdullah al-Adni, salah seorang ulama bermazhab al-Syafie daripada Yaman apabila ditanya soalan yang serupa dalam laman webnya[1]. Kami nukilkan seperti berikut:

“Aku jawab – dengan meminta pertolongan Allah Taala: bahawa solat sebegitu adalah sah. Perkara ini disebut oleh para ulama kita, Syafieyyah – semoga Allah merahmati mereka – bahawa apabila imam berkumpul dengan makmum dalam satu masjid maka sah iqtida’ (solat berjemaah) dengan syarat makmum mengetahui perpindahan perbuatan-perbuatan imam, dan makmum tidak mendahului imam pada tempatnya. Ini yang menepati gambaran tersebut.

Akan tetapi; adakah terhasil pahala berjemaah?

Di sisi al-Syihab al-Ramli: ya terhasil.  Di sisi Ibn Hajar, tidak terhasil. Ibarat beliau di dalam al-Minhaj al-Qowim (hlm. 164):

 “[dan] disunatkan [meluruskan saf dan menyuruhnya] bagi sesiapa sahaja [dan] juga [yang menjadi imam] sama ada dia sendiri atau orang yang diberi izin [lebih ditekankan] kerana mengikut (Nabi ﷺ) dan (menjauhi) ancaman yang dijanjikan bagi orang yang meninggalkan (meluruskan saf). Maksudnya di sini ialah dengan menyempurnakan saf pertama dan seterusnya, menutup ruang-ruang kosong, dan setiap orang berdiri saling bersebalahan daripada sudut tiada seseorang lebih terkehadapan dadanya berbading yang lain, tidak berada di atas orang lain yang bersebelahan (seperti memijak kaki), dan tidak segera membuat saf kedua sehingga saf pertama sempurna dahulu, dan tidak juga berdiri dalam suatu saf sehingga sempurna saf yang sebelumnya. Jika diselisihi satu apa pun daripada peraturan itu, maka hukumnya dimakruhkan.” Intaha.

Berkata al-Tarmasi secara ta`liq dalam perkataannya [Hasyiah al-Tarmasi] (4/41):

“yakni luputlah fadhilat berjemaah di sisi pensyarah (yakni Imam Ibn Hajar), manakala di sisi al-Syihad al-Ramli: Setiap perkara yang makruh dalam solat berjemaah meluputkan fadhilatnya melainkan hukum meluruskan saf-saf.” Intaha.

Perkara yang sama juga disebut oleh al-Allamah Ba ‘Isyn rahimahullah dalam Busyra al-Karim (hlm. 362).

Aku (yakni Dr. Labib) berkata daripada perspektif fiqh:

 “Barangkali hukum makruh di sini hilang di sisi al-Allamah Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah Taala apabila keadaannya berlaku akibat hajat dalam melakukannya. Wallahua`lam.”

Berdasarkan kenyataan dan fakta di atas, kami cenderung kepada pendapat bahawa diharuskan solat berjemaah secara berjarak-jarak bagi makmum dengan makmum yang bersebelahan pada waktu wabak sekiranya solat berjemaah itu masih lagi selamat daripada penularan wabak. Buat masa sekarang, gambaran yang dibolehkan ialah dalam tatacara solat jenazah. Adapun dalam konteks solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid, pihak kerajaan melalui Kementerian Kesihatan masih sedaya upaya berusaha untuk memutuskan rantaian jangkitan kerana kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi sekalipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah berlangsung selama dua minggu. Oleh itu, kebolehpakaian cadangan ini tertakluk kepada kebenaran pihak kerajaan selaku Ulil Amri supaya ia tidak menjadi sebab bagi penularan penyakit dan mendatangkan mudarat kepada pihak yang tidak bersalah. Justeru, jika solat berjemaah itu boleh membawa kepada penularan wabak maka solat berjemaah itu sendiri tidak boleh dilaksanakan.

Amin.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Kita berdoa kepada Allah ﷻ agar wabak ini berhenti menular, mengampuni salah silap kita dan mengembalikan masyarakat kita kepada keadaan yang lebih baik. Amin.

 Nota hujung:

[1] https://dr-labeeb.com/%d8%b3%d8%a3%d9%84-%d8%b9%d8%af%d8%af-%d8%a7%d9%84%d9%81%d8%b6%d9%84%d8%a7%d8%a1-%d8%b9%d9%86-%d8%b5%d8%ad%d8%a9-%d8%a7%d9%84%d8%b5%d9%84%d8%a7%d8%a9-%d8%a8%d8%a7%d9%84%d8%b4%d9%83%d9%84-%d8%a7%d9%84/#more-335