Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IF 434

Soalan :

Assalamualaikum Datuk.  Saya ada satu soalan. Baru-baru ni ada tular berkenaan seorang artis yang mana dia dicium oleh kakak dan abang iparnya selepas kakaknya melangsungkan pernikahan. Persoalan saya, bolehkah abang ipar dan adik ipar berkelakuan begitu?. Adakah adik  boleh dicium atau bersentuhan dengan abang ipar selepas  berkahwin dengan kakaknya?. Mohon pencerahan dari pihak Datuk.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perhubungan di antara lelaki dan perempuan mestilah didasari dengan batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mereka tidak boleh berhubungan secara mutlak dan mengenepikan adab-adab dan hukum-hakam yang telah jelas dinyatakan oleh Allah. Firman Allah SWT :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّـهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَـٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَـٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ ءَابَآئِهِنَّ أَوْ ءَابَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَآئِهِنَّ أَوْ أَبْنَآءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَٰنِهِنَّ أَوْ بَنِىٓ إِخْوَٰنِهِنَّ أَوْ بَنِىٓ أَخَوَٰتِهِنَّ أَوْ نِسَآئِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُهُنَّ أَوِ ٱلتَّـٰبِعِينَ غَيْرِ أُو۟لِى ٱلْإِرْبَةِ مِنَ ٱلرِّجَالِ أَوِ ٱلطِّفْلِ ٱلَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا۟ عَلَىٰ عَوْرَٰتِ ٱلنِّسَآءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ 

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah Al-Nur : 30-31)

Di dalam ayat yang panjang ini menjelaskan berkenaan beberapa adab dan batas yang perlu dijaga dan dipelihara oleh setiap orang yang beriman sama ada lelaki atau perempuan. Di antaranya ialah memelihara aurat agar tidak diperlihatkan kepada orang yang bukan mahram. Begitu juga tidak diperbolehkan untuk melihat perkara yang haram apatahlagi melakukannya sehingga melanggar batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa para lelaki perlulah untuk sentiasa menjaga mata mereka dari melihat perkara  haram dan jika mereka melihatnya hendaklah segera mengalihkan  kerana hikmah daripada pengharaman tersebut adalah untuk menutup perkara kejahatan dan menghalang dari melakukan maksiat dan dosa. Beliau menyebut lagi bagi wanita-wanita tidak boleh untuk memperlihatkan perhiasan yang sepatutnya mereka sembunyikan dan juga tidak boleh mendedahkan aurat kepada orang selain yang telah disebutkan. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 18/97).

Bahkan di dalam ayat yang lain, Allah mengajarkan kepada para wanita khususnya agar jangan melampau dalam memperhiaskan diri. Firman Allah SWT :

وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ٱلْأُولَىٰ

Maksudnya : “…serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu…”

(Surah Al-Ahzab : 33)

Sheikh Tohir Ibnu ‘Asyur menyebut bahawa orang yang suka menzahirkan perhiasan yang sepatutnya dia sembunyikan seakan-akan menzahirkan niatnya yang ingin dilihat dan supaya orang minat serta suka kepadanya. (Rujuk Tahrir Al-Ma’na Al-Sadid Wa Tanwir Al-‘Aql Al-Jadid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 10/32).

Kesemua perintah ini datang adalah demi untuk menjaga kehormatan dan maruah khususnya bagi para wanita dan juga supaya para lelaki tidak sewenang-wenangnya merobek dan melakukan sesuatu yang boleh dianggap merendah-rendahkan martabat seorang wanita serta menjatuhkan maruahnya.

Sebelum kami menjawab persoalan yang dikemukakan, ingin kami perjelaskan bahawa di dalam islam ada yang dinamakan sebagai mahram. Perkara ini perlu dijelaskan kerana masih ramai yang terkeliru dan jahil berkenaan perkara ini.

Dari sudut bahasa mahram  membawa makna larangan. Ibnu Manzur dalam karyanya menyebut bahawa mahram itu adalah individu-individu yang tidak boleh dinikahi. (Rujuk Lisan Al-Arab, 12/119). Inilah maksud mahram yang dikemukakan oleh para fuqaha.

Allah SWT telah menyebut di dalam Al-Quran individu-individu yang haram untuk dinikahi dan individu-individu yang halal dan boleh untuk dinikahi. Firman Allah :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَٰتُكُمْ وَعَمَّـٰتُكُمْ وَخَـٰلَـٰتُكُمْ وَبَنَاتُ ٱلْأَخِ وَبَنَاتُ ٱلْأُخْتِ وَأُمَّهَـٰتُكُمُ ٱلَّـٰتِىٓ أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَٰتُكُم مِّنَ ٱلرَّضَـٰعَةِ وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَـٰٓئِلُ أَبْنَآئِكُمُ ٱلَّذِينَ مِنْ أَصْلَـٰبِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا۟ بَيْنَ ٱلْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ ٱللَّـهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿٢٣﴾ وَٱلْمُحْصَنَـٰتُ مِنَ ٱلنِّسَآءِ إِلَّا مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۖ كِتَـٰبَ ٱللَّـهِ عَلَيْكُمْ ۚ وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمْ أَن تَبْتَغُوا۟ بِأَمْوَٰلِكُم مُّحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَـٰفِحِينَ

Maksudnya : “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina…

(Surah Al-Nisa : 23-24)

Di dalam ayat ini terdapat perlbagai jenis mahram. Ada yang menjadi mahram disebabkan nasab keturunan,ada yang menjadi mahram disebabkan penyusuan dan ada yang menjadi mahram disebabkan perkahwinan.

Imam Al-Qurtubi menyebut bahawa ayat ini adalah ayat yang muhkam[1] dan ini adalah ijmak yang tidak boleh disanggahi. (Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 3/98).

Kami ringkaskan senarai mahram bagi lelaki dan perempuan.Bagi lelaki mahramnya adalah seperti berikut

  • Ibu dan ke atas. Termasuklah nenek sama ada sebelah ayah atau ibu
  • Anak perempuan dan ke bawah. Termasuklah cucu perempuan
  • Saudara perempuan iaitu kakak atau adik perempuan
  • Ibu saudara sebelah ayah dan ibu
  • Anak perempuan kepada anak saudara lelaki dan perempuan.
  • Ibu tiri
  • Menantu perempuan
  • Bapa mertua
  • Anak tiri perempuan
  • Mahram disebabkan susuan termasuklah ibu susuan, adik beradik susuan dan lain-lain.

Bagi perempuan pula, mahramnya adalah seperti berikut :

  • Ayah dan ke atas termasuklah datuk sama ada sebelah ayah atau ibu
  • Anak lelaki dan ke bawah termasuklah cucu cicit lelaki dan seterusnya.
  • Saudara lelaki iaitu abang atau adik lelaki
  • Bapa saudara sebelah ayah dan ibu
  • Ana lelaki kepada adik-beradik lelaki atau perempuan iaitu anak saudara
  • Bapa tiri
  • Menantu lelaki
  • Ibu mertua
  • Anak tiri lelaki
  • Mahram disebabkan susuan termasuklah suami kepada ibu susuan, adik beradik lelaki se-susuan dan lain-lain.

Mahram-mahram ini disebut sebagai mahram muabbad iaitu haram untuk dinikahi selama-lamanya. Selain daripada senarai ini maka mereka dianggap sebagai ajnabi iaitu orang asing yang bukan mahram yang halal untuk dinikahi. Ada juga yang disebut sebagai mahram muaqqat. Berkenaan dengan mahram muaqqat kami pernah mengulasnya di dalam Irsyad Al-Fatwa siri ke 331.[2]

Implikasi daripada mahram muabbad ialah

  • Tidak boleh dinikahi
  • Boleh bersalaman dengannya
  • Boleh bersendirian dengannya

Adapun selain dari mahram muabbad maka ianya boleh dinikahi dan tidak boleh untuk bersentuhan mahupun bersendirian dengannya apatahlagi mendedahkan aurat.

Kami pernah menulis beberapa isu berkaitan dengan mahram di dalam beberapa ruangan artikel. Artikel-artikel ini boleh dijadikan rujukan untuk melihat perincian bab berkenaan dengan mahram, aurat dan isu-isu berkaitan. Antaranya :

  • Irsyad Al-Fatwa siri ke 305 :Hukum hakam bersalaman dengan sanak saudara di kampung[3]
  • Irsyad Al-Fatwa siri ke 362 : Hukum duduk di sebelah bukan mahram di dalam kelas pengajian[4]
  • Al-Kafi no 1218 : Kaedah menegur aurat sanak saudara ketika beraya di kampung[5]

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, seorang adik tidak menjadi mahram dengan abang iparnya selepas berkahwin dengan kakaknya. Ini bermakna, apabila seorang lelaki berkahwin maka yang menjadi mahram adalah ibu mertua dan nenek isteri sahaja. Ini berdasarkan firman Allah :

وَأُمَّهَـٰتُ نِسَآئِكُمْ

Maksudnya : “….Ibu-ibu isteri kamu…”

Adapun selain daripada itu, sama ada adik ipar atau kakak ipar tidak dikira sebagai mahram. Oleh itu, mereka tidak boleh bersalaman mahupun duduk bersendirian. Adik ipar termasuk dalam kategori yang haram dinikahi secara muaqqat bukan muabbad.Dia hanya haram untuk dinikahi untuk semenatara bukannya menjadi mahram seperti mana nasab, perkahwinan dan susuan. Ini berdasarkan firman Allah:

وَأَنْ تَجْمَعُوا بين الْأُخْتَيْنِ إلَّا ما قد سَلَفَ

Maksudnya : “Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu)…

(Surah Al-Nisa’ : 23)

Ayat ini menyebutkan tentang larangan untuk berkahwin dengan dua beradik sekaligus. Al-Khatib Al-Syarbini menyebut jika ini dilakukan maka akan menyebabkan keberantakan di dalam hubungan adik beradik. (Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 2/81).

Ini bermakna apabila kakaknya meninggal dunia atau diceraikan, si lelaki tadi boleh mengahwini adiknya. Imam Al-Nawawi menyebut :

Jika seorang lelaki menceraikan isterinya dengan talak bain maka dia boleh menikahi adik iparnya dalam iddah adapun jika cerai dengan talak raj’I maka perlu tunggu habis iddah sebelum menikahi adik iparnya.” (Rujuk Raudhah Al-Tolibin  Wa Umdah Al-Muftin, 7/117).

Ianya berbeza dengan mahram muabbad yang haram untuk dinikahi selama-lamanya. Oleh kerana itu,adik ipar tidak boleh bersalaman dengan abang iparnya apatahnya lagi bersentuhan antara satu sama lain.

Kesimpulannya, adik perempuan tidak boleh bersentuhan dengan abang iparnya selepas berkahwin dengan kakaknya. Ini jelas satu kesalahfahaman kerana adik perempuan kepada isteri dianggap sebagai ajnabi bukannya mahram. Mereka tidak boleh bersalaman, bersentuhan, berlaga pipi apatah lagi bercium.

Nasihat kami kepada artis tersebut agar memahami dan mempelajari hukum hakam serta batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah. Begitu juga dengan  kakak dan abang iparnya. Jangan sesekali mengenepikan hukum yang telah dinyatakan oleh Allah SWT secara jelas. Jangan biarkan jati diri sebagai seorang muslim terhakis dek kerana hanyut dengan arus kemodenan.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua.Wallahu’alam.

 

[1] Iaitu ayat yang tidak menerima sebarang takwil ataupun nasakh (Rujuk Al-Wajiz Fi Usul Al-Fiqh, hlm 346)

[2]Rujuk https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3790-irsyad-al-fatwa-siri-ke-331-maksud-mahram-sementara

[3]https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3459-irsyad-al-fatwa-siri-ke-305-hukum-hakam-bersalaman-dengan-sanak-saudara-di-hari-raya

[4]https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3963-irsyad-al-fatwa-siri-ke-362-hukum-duduk-di-sebelah-bukan-mahram-di-dalam-kelas-pengajian

[5]https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3312-al-kafi-1218-kaedah-menegur-aurat-sanak-saudara-ketika-beraya-di-kampung