Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #595 : ADAKAH TANAH YANG PERNAH DICAGAR PERLU DIFARAID?

 

Soalan: Si fulan mencagarkan tanahnya,  kemudian kerabatnya bantu untuk tebus semula tanah itu. Tak lama kemudian si fulan itu meninggal dunia. Adakah tanah itu itu juga perlu difaraidkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga dan para sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari kesudahan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘cagar’ bermaksud: “barang yg dijadikan sbg taruhan apabila berhutang, barang yg digadai­kan, rungguh(an)...” Justeru, hukum cagaran atau gadaian perlu merujuk kepada hukum al-rahn.

Manakala daripada perspektif syarak, pengertian al-rahnu kami rujuk kepada Kitab Fiqh al-Manhaji:

Istilah gadaian yang merujuk kepada kontrak gadaian bermaksud, menjadikan sesuatu barang yang bernilai sebagai cagaran kepada hutang dan akan digunakan untuk melangsaikan hutang jika hutang tersebut tidak dapat dibayar.

Dengan ini, cagaran wujud melalui kontrak. Oleh itu, pencagar ialah penggadai, penerima cagaran pula ialah pemiutang, barang yang  dicagar ialah barang yang digadai. Barang yang digadai ini merujuk kepada semua perkara yang boleh disukat dan bernilai iaitu barang yang diiktiraf sebagai harta oleh syara’.

Tujuan gadaian adalah sebagai cagaran untuk meyakinkan pemiutang bahawa hutang yang diberikan tidak akan lupus begitu sahaja dan dia yakin akan memperolehinya semula. Oleh itu, barang tersebut dijadikan cagaran kepada hutang. Sekiranya pemiutang mendapati sukar atau mustahil untuk dia mendapatkan semula hutangnya setelah tamat tempoh yang ditetapkan, pemiutang berhak mengambil semula hutangnya melalui barang yang dicagar, iaitu dengan cara menjual dan kemudian mengambil hutangnya melalui bayaran yang diperolehi.”

Rujuk Fiqh al-Manhaji (4/495)

Berkenaan adakah harga gadaian setelah dilunaskan hutang, perlu difaraidkan, maka keterangan tersebut dirujuk.

“Setelah penggadai melunaskan semua hutangnya, kontrak gadaian tersebut ditamatkan. Dengan ini, penerima gadaian perlu memulangkan semula barang gadaian kepada penggadai. Ini perlu dilakukan tidak kira sama ada pembayaran dibuat sebelum atau pada tarikh pembayaran ditetapkan.

Sekiranya penerima gadaian gagal, cuai atau enggan memulangkannya tanpa sebarang sebab yang munasabah, dia perlu mengambil tanggungjawab terhadap barang tersebut. Dalam keadaan ini, apa yang dilakukannya sama seperti orang yang merampas. Ini kerana dia tidak lagi berhak menyimpan barang tersebut.”

Rujuk Fiqh al-Manhaji (4/536)

Justeru, ini menunjukkan, jika barang gadaian itu adalah milikan penghutang, maka apabila sudah dilangsai hutang, sama ada oleh penghutang sendiri atau orang lain, dan harta sudah dikembalikan, lalu orang berkenaan mati, maka harta gadaian itu perlu difaraidkan. Ini kerana harta wajib difaraidkan itu adalah “setiap harta dan hak yang ditinggalkan oleh si mati.” Rujuk al-Muʿtamad fi al-Fiqh al-Syafie oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili (4/349).

Kesimpulannya, harta gadaian yang telah ditebus hutangnya, meskipun oleh orang lain, perlulah dikembalikan kepada pemilik asalnya. Jika pemilik asal meninggal dunia, maka hendaklah dia difaraidkan. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang mandalam dalam urusan agama. Wallahua’lam.