Visitors Hit

4986521 Views

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI #489 : ADAKAH BATAL SOLAT JIKA MEMBACA AL-FATIHAH TANPA TAJWID?

15 Disember 2016 bersamaan 15 Rabi’ al-Awwal 1438 H.

 

Soalan:

Benarkah solat seseorang itu tidak sah jika di baca al-Fatihah dengan tajwid yang salah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca Surah al-Fatihah di dalam solat adalah rukun solat bagi setiap rakaat samaada solat sunat ataupun fardu. Dalam kata lainnya, tidak dikira solat seoseorang itu sekiranya dia tidak membaca Surah al-Fatihah. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.

Riwayat Al-Bukhari (756)

 

Bacaan Yang Betul

Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul lagi sahih dengan meraikan bacaan dengan baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya. Kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا 

Maksudnya: Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.

(Al-Muzammil: 4)

 

Al-Syeikh al-Tantawi Rahimahullah di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya.

Adapun bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan yang boleh merubah makna. Sekiranya seseorang membaca  أَنْعَمْتُ(an’amtu) dengan dhommah (baris hadapan) dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalahأَنْعَمْتَ  (an’amta) dengan fathah (baris atas) maka batal solatnya. Sekiranya terlupa maka perlu diulangi bacaan tersebut.

Kesalahan bacaan yang berkaitan dengan hukum hakam tajwid di dalam ilmu tajwid disebut sebagai Lahn al-Khafiy (kesalahan yang tersembunyi) manakala Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas) pula seperti berubah makna, huruf serta baris ayat tersebut dan kesalahan jenis ini boleh membatalkan solat. Wallahu a’lam.

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top