Visitors Hit

2647480 Views

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI #498: WALI ENGGAN

20 Disember 2016 bersamaan 20 Rabi’ al-Awwal 1438 H

 

Soalan:

Kakak saya ingin berkahwin namun bapa saya enggan menjadi wali bagi pernikahan tersebut. Apabila ingin bertemu dengannya untuk mendapatkan persetujuan, bapa saya akan melarikan diri tidak mahu memberikan persetujuan untuk menjadi wali bagi penikahan tersebut. Permohonan untuk menggunakan khidmat wali hakim telahpun selesai. Adakah selepas ini, bagi perkahwinan adik-adik saya yang lain perlu menggunakan wali hakim juga?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Wali adalah salah satu daripada rukun pernikahan. Tanpanya, maka tidak akan berlaku sesuatu perkahwinan. Antara peranan wali adalah dengan memberi kebenaran untuk bernikah dan wali juga boleh melarang anak perempuannya itu dari berkahwin. Firman Allah SWT:

فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ

Maksudnya: maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kawin lagi dengan bakal suaminya

(Surah Al-Baqarah: 232)

 

Al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Azim menyebutkan bahawa ayat di atas menjadi dalil bahawa perempuan tidak boleh menikahkan dirinya sendiri dan ianya mesti melalui wali dan wali di dalam permasalahan yang ditanyakan di sini adalah ayah kepada perempuan tersebut.

Seorang bapa yang menjadi wali kepada anaknya tidak sepatutnya untuk enggan mengahwinkan anaknya tanpa keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Bahkan dalam sebuah hadith, Nabi SAW telah bersabda:

إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ

Maksudnya: Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan.

Riwayat Al-Tirmizi (1085)

 

Sekiranya si bapa enggan (wali enggan) untuk menikahkan anaknya, maka dalam keadaan ini kedudukan wali itu tidak akan berpindah kepada kedudukan tertib wali yang jauh bahkan yang mengkahwinkannya adalah al-Sultan (dalam konteks semasa ialah wali hakim).[1]

Wali Hakim ataupun sesetengah menyebutnya dengan Wali Sultan adalah wali yang dilantik bagi perempuan yang tidak mempunyai wali.  Menurut Seksyen 2(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, wali hakim bererti wali yang ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain, untuk mengahwinankan perempuan yang tidak mempunyai wali dari nasab.

Wali yang enggan untuk mengahwinkan anaknya tanpa ada alasan yang dibenarkan oleh syarak, selepas mendapat perintah mahkamah namun dia enggan juga, maka wali hakim boleh menjadi wali kepada perempuan tersebut. Ini berdasarkan Seksyen 13 (b), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang mana telah menyebutkan:

“Hakim Syarie yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seseorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh Hakim Syarie itu telah, selepas penyiasatan wajar di hadapan semua pihak yang berkenaan, memberi persetujuannya terhadap perkahwinan itu oleh wali Raja mengikut Hukum Syarak; persetujuan tersebut boleh diberi jika perempuan tiada mempunyai wali dari nasab mengikut Hukum Syarak atau jika wali tidak dapat ditemui atau jika wali enggan memberikan persetujuannya tanpa sebab yang mencukupi.”

Adapun bagi adik beradik perempuan yang lain, sekiranya akan berkahwin pada masa yang akan datang, maka bolehlah berbincang dengan si bapa iaitu wali yang paling utama agar perkara yang terjadi sebelum ini tidak lagi berlaku. Boleh jadi si bapa telah menukar fikiran dan tidak lagi perlu menggunakan khidmat wali hakim.

Sebelum kami mengakhiri perbincangan ini, suka untuk kami nasihatkan kepada para wali dan juga ibu-bapa agar sentiasa membina hubungan baik dengan anak-anak kerana ianya dapan memberikan kesan yang baik dalam kerukunan kekeluargaan rumah tangga dan seterusnya dapat menerapkan nilai ‘baiti jannati’ di dalam kehidupan berkeluarga.

Wallahu a’lam.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

[1] Lihat Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, (4/66-67).

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top