Visitors Hit

3345390 Views

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI #508: HUKUM WANITA MEMBOTAKKAN KEPALA

9 Januari 2017 bersamaan 10 Rabi' al-Akhir 1438 H.

 

Soalan:

Apakah hukumnya bagi wanita membotakkan kepalanya?

 

Jawapan:

Berdasarkan persoalan di atas, terdapat dua pandangan para ulama’ mengenai permasalahan tersebut.

Ulama’ dikalangan mazhab Hanafi dan juga Maliki mengatakan haram hukumnya bagi wanita untuk membotakkan atau mencukur rambut mereka. Ianya berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW daripada ‘Ali RA:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka.

Riwayat Al-Tirmizi (914) & Al-Nasa’ie (5049)

 

Hadith di atas menunjukkan kepada larangan mencukur kepala bagi wanita ketika bertahallul (Haji & Umrah) dan begitu juga secara mutlaknya kecuali sekiranya terdapat darurat.[1]

Begitu juga dengan pendapat al-Hanafiyah dan juga al-Hanabilah yang mengatakan tidak mengapa untuk mencukur rambut bagi wanita sekiranya terdapat keuzuran dan juga sakit.

Adapun al-Syafi’ieyyah dan sebahagian al-Hanabilah mengatakan ianya hanyalah makruh sahaja. Larangan yang terdapat pada hadith di atas hanyalah bersifat makruh tanzih.[2]

Meskipun begitu, kami lebih cenderung kepada haram hukumnya kerana kaedah menyebutkan النهي يقتض التحريم  iaitu tegahan membawa maksud haram kecuali jika dipindahkan kepada yang lain berdasarkan kepada nas dan hujah-hujah yang lain.

Seterusnya, membotakkan kepala lebih kepada sifat kelakian dan ini boleh membawa kepada isu yang lain pula iaitu isu tasyabbuh dengan lelaki yang mana ianya jelas haram sekiranya seorang perempuan itu ingin menyerupai lelaki.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kefahaman yang mendalam di dalam beragama dan juga penghayatan yang baik ketika melayari bahtera kehidupan. Amin.

 

[1] Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih. Dar al-Fikr, (5/1832).

[2] Lihat Dalil al-Falihin. Dar al-Ma’rifah, (8/477).

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top