Visitors Hit

7490539 Views

SOALAN

Apakah hukum jika seseorang itu berlawak dengan menggunakan nama-nama Allah atau perkara-perkara yang berkaitan dengan syiar Islam?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Islam merupakan agama yang meraikan kebahagiaan dan keharmonian dalam kalangan penganut-penganutnya. Justeru, agama Islam tidak pernah melarang perkara-perkara yang mampu membawa ke arah tersebut selagi mana perkara tersebut masih lagi dalam landasan yang disyariatkan oleh agama Islam. Perkara-perkara seperti bergurau senda dan membuat lawak jenaka adalah dibenarkan jika masih mengikut etika-etika yang ditetapkan oleh agama.

Antara perkara yang harus diteliti dalam bergurau senda dan berlawak ialah berkata benar dan tidak menipu dalam perbuatan tersebut semata-mata untuk menghiburkan orang ramai. Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas seperti hadis nabi SAW seperti berikut:

Dari Abu Hurairah R.A telah meriwayatkan bahawa:

قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تُدَاعِبُنَا ‏.‏ قَالَ ‏ "‏ إِنِّي لاَ أَقُولُ إِلاَّ حَقًّا ‏"‏

Maksudnya :Mereka berkata : Wahai Rasulullah, adakah kamu bergurau dengan kami?Nabi SAW menjawab : “Aku tidak mengatakan sesuatu kecuali yang benar sahaja”.

Jami` at-Tarmizi no. 1990

Merujuk persoalan di atas, hukum berlawak dengan menggunakan nama-nama Allah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan syiar Islam adalah perlu dijauhkan dan dielakkan kerana dibimbangi perbuatan tersebut akan jatuh kepada haram. Perkara ini jelas dapat dilihat daripada firman Allah SWT seperti berikut :

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya : Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.

Surah Al-An’am ayat 70

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya : (Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang Yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan Yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang Yang telah terpedaya Dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).

Surah Al-A’raf ayat 51

Tafsiran ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam maqosid Islam yang dhoruriyyat iaitu menjaga agama.  Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT seperti berikut :

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maknanya : Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa Yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia lah orang Yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

Surah al-Hajj ayat 32

KESIMPULAN

Islam tidak melarang pengikutnya dari bersuka-rai dan berhibur. Namun jika perkara tersebut sampai membawa kepada menjatuhkan agama Islam dan syiar agama, maka perbuatan tersebut adalah dilarang serta jatuh kepada haram. Begitu juga berlawak dengan menggunakan nama-nama Allah dan syiar-syiar agama, jika perkara tersebut menghina agama, maka perbuatan tersebut dilarang. Akhir sekali, semoga Allah SWT menjauhi kita daripada perbuatan dan perkara-perkara yang menjauhkan kita daripada rahmatnya. Amin.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top