Visitors Hit

2647527 Views

Soalan: Bagaimana cara dan pandangan ulama dalam menyusun masa untuk menuntut ilmu?

Jawapan:
Hal ini telah kami kupas dengan mendalam di dalam buku “Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu” dan buku “Demi Masa”. Secara ringkasnya, pengurusan masa adalah satu perkara yang sangat diberi perhatian yang serius oleh para ulama’.

Abu Zar telah bertanya kepada Nabi SAW berkenaan kandungan dalam suhuf Ibrahim. Maka, Nabi SAW menjelaskan dalam satu penjelasan yang panjang, antaranya, “Wajib bagi yang berakal yang tidak dikuasai akalnya untuk memenuhi masa-masanya dengan sebahagian masa untuk bermunajat kepada Tuhan-Nya, sebahagian masa untuk untuk bermuhasabah, sebahagian masa untuk memikirkan tentang ciptaan Allah dan sebahagian masanya dikosongkan untuk hajatnya berhubung makan dan minum.”
(Sahih Ibn Hibban, no. 361)

Melalui kajian kepada biografi dan kehidupan para ulama’, kita akan dapati bahawa pengurusan masa dalam kalangan ulama’ adalah berbeza. Ini kerana, realiti mereka adalah berbeza. Ada yang aktif menulis, ada yang fokus berdakwah. Ada yang berkahwin, ada yang tidak. Maka, sudah pasti bentuk pengurusan masanya berbeza.

Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam Mukhtasar Minhaj al-Qasidin, “Sebaik-baik 1/3 daripada masa yang diperuntukkan dalam sehari, digunakan untuk tidur kerana kesihatan akan terganggu bagi mereka yang tidur kurang daripada tempoh berkenaan. Sesiapa yang tidur lebih daripada hadnya akan bertambah malas. Sesiapa yang banyak tidur di malam hari, tidak layak tidur di siang hari kerana akan mengurangkan waktu ibadahnya.”

Imam al-Syafie membahagikan waktu malamnya kepada 3 bahagian. 1/3 untuk menelaah dan menulis, 1/3 untuk beribadah dan 1/3 lagi untuk tidur. Imam al-Nawawi pula memanfaatkan harinya untuk belajar 12 mata pelajaran termasuk mengulangkaji, menulis dan membaca.

Dinukilkan daripada 'Amir bin 'Abd Qais, salah seorang daripada tabi'in yang zuhud : Bahawa seorang lelaki berkata kepadanya : Berboraklah denganku. Maka beliau membalas : 'Hentikanlah matahari'. Maksud beliau, hentikanlah matahari dan ikatlah ia dari bergerak supaya aku dapat berborak denganmu kerana masa itu sesuatu yang tidak akan kembali, maka kerugian kehilangan masa itu adalah kerugian yang tidak dapat diganti.

Selain dua buah buku kami di atas, disarankan untuk membaca buku Qimah al-Zaman ‘Inda al-Ulama’ (Nilai Masa di Sisi Ulama’) oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan al-Waqt fi Hayat al-Muslim (Waktu dalam Kehidupan Muslim) oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Kedua-duanya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top