Visitors Hit

3849178 Views

 

Soalan:

Apakah hukum melewatkan waktu isya’ untuk melakukan qiyamullail ?

Jawapan:

Kami sebutkan di sini berkenaan tempoh masa bermula dan berakhirnya waktu isyak sebagaimana yang telah dibincangkan oleh para fuqaha.

Waktu Bermula Solat Isyak

Menurut pendapat muktamad di dalam mazhab Imam al-Syafie, waktu bermulanya isyak adalah ketika hilangnya (tidak kelihatan) jalur merah di atas ufuk langit. Iaitu ketika tamatnya waktu solat maghrib. Lihat Al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/167).

Pendapat ini adalah berdasarkan beberapa riwayat daripada Nabi S.A.W. Berikut kami nyatakan beberapa riwayat yang berkaitan dengan isu ini.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas R.anhuma Rasulullah S.A.W bersabda:

وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ حِينَ غَابَ الشَّفَقُ

Maksudnya: Dan Jibril A.S. solat isya’ bersamaku ketika mana hilangnya garisan merah di ufuk.

Riwayat Abu Daud (393)

 

Di dalam riwayat yang sama, Nabi S.A.W bersabda:

وَصَلَّى بِيَ الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ

Maksudnya: Dan dia (Jibril) solat isya’ bersamaku sehingga satu pertiga malam.

Riwayat Abu Daud (393)

 

Dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.anha, Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ صَلُّوهَا فِيمَا بَيْنَ أَنْ يَغِيبَ الشَّفَقُ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ

Maksudnya: Solatlah kalian (waktu Isya’) dalam tempoh hilangnya garisan merah sehinggalah satu pertiga malam.

Riwayat Al-Nasaie (536)

Berdasarkan beberapa hadis di atas, jelas bahawa Rasulullah S.A.W mengatakan bahawa waktu bermulanya solat isya’ adalah ketika mana hilangnya garisan merah di atas langit.

 

Waktu Berakhir Solat Isya’

Dalam hal ini, para ulama berbeza pendapat kepada tiga pandangan. Ianya seperti berikut:

Pertama: Solat Isyak tamat pada hujung 1/3 pertama malam.

Kedua: Solat isyak berakhir pada separuh malam.

Ketiga: Solat isyak tamat sehingga terbit fajar sadiq. Rujuk Sahih Fiqh al-Sunnah (1/215).

Pendapat yang muktamad di dalam mazhab al-Syafie menyatakan: Tamatnya waktu isyak ialah apabila terbitnya fajar sadiq. Adapun waktu ikhtiyar (terbaik; terpilih) untuk menunaikan solat isyak ialah sehingga sepertiga malam, dalam pendapat lain, sehingga pertengahan malam. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لأَمَرْتُهُمْ أَنْ يُؤَخِّرُوا الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ أَوْ نِصْفِهِ 

Maksudnya: Sekiranya aku tidak risau akan memberatkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka untuk melewatkan isyak sehingga satu pertiga malam atau separuh malam.

Riwayat Al-Tirmizi (167)

Kemudian waktu jawaz (dibolehkan solat) berlangsung sehingga sebelum waktu subuh. Ada juga sebahagian ulama yang berkata makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf. Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/167).

Pengertian Qiyamullail Atau Tahajjud

Para ulama mengatakan bahawa tahajjud adalah perbuatan berjaga malam dan meninggalkan tidur. Maka ia bererti, solat yang dilakukan pada waktu malam selepas daripada tidur. Atau dalam erti kata lain ia adalah Qiyamullail (mendirikan malam). Diletakkan juga penamaan qiyamullail itu pada solat yang dilakukan pada waktu malam sebelum tidur. Dari segi istilah, tahajjud bererti: Solat sunat pada waktu malam setelah daripada tidur. Lihat Al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/387).

Melewatkan Isyak Untuk Melakukan Qiyamullail

Kami berpandangan, sekiranya dilewatkan solat isya’ dengan sebab pembelajaran, atau sekiranya solat tersebut dilewatkan kerana menjangkakan kehadiran jemaah yang lebih ramai maka dibolehkan untuk melakukan hal tersebut.

Sebaliknya, jika tiada sebarang keperluan untuk dilewatkan solat, serta didapati jemaah telah berhimpun di masjid atau surau pada awal waktu solat, maka itu lebih utama berdasarkan keumuman sabda Nabi S.A.W kepada Abu Zar R.A:

 كَيْفَ أَنْتَ إِذَا بَقِيتَ فِي قَوْمٍ يُؤَخِّرُونَ الصَّلاَةَ عَنْ وَقْتِهَا قَالَ قَالَ مَا تَأْمُرُ قَالَ صَلِّ الصَّلاَةَ لِوَقْتِهَا

Maksudnya; Bagaimanakah akan kamu lakukan sekiranya kamu berada bersama-sama kaum yang melewatkan solat dari waktunya ? Lalu Abu Zar berkata: Apa yang kau perintahkan (wahai Rasulullah) ? Jawab Rasulullah S.A.W: Solatlah kamu pada waktunya.

Riwayat Muslim (648)

Juga berdasarkan sabda baginda S.A.W dalam menjawab persoalan Abdullah bin Mas’ud R.A:

أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ ؟ قَالَ : الصَّلاةُ عَلَى وَقْتِهَا

Maksudnya: Amalan apakah yang paling Allah sukai ? Jawab Nabi S.A.W: Solat pada awal waktunya.

Riwayat al-Bukhari (527)

Akhir kalam, dalam hal ini kami berpendapat bahawa lakukanlah solat isyak secara berjamaah. Ini kerana perbuatan tersebut juga dianggap sebagai qiyamullail serta diberikan ganjaran sesiapa yang solat bersama imam sehingga imam selesai maka dituliskan ganjaran untuknya pahala qiyam sepanjang malam. Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

 

 

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top