Visitors Hit

8899673 Views

 

Soalan:

Bolehkah untuk saya menggabungkan beberapa mazhab dalam satu jenis ibadah? Sebagai contoh di dalam solat.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Untuk menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum mengamalkan sesuatu ibadah ataupun mengambil pendapat mazhab yang lain dalam sesuatu ibadah:

  1. Jika ianya bertujuan untuk tatabu’ al-Rukhas ( تتبـع الرخص ), maka seharusnya dielakkan. Tatabu’ al-Rukhas yang dimaksudkan di sini adalah mengambil jalan/pendapat yang mudah dalam satu-satu permasalahan fiqh khususnya tanpa melalui proses pentarjihan yang syar’ie serta mengikut hawa nafsu. Al-Imam Ibn Abd al-Bar dan al-Imam Ibn Hazm mengatakan perbuatan ini dilarang secara ijma’. Turut berpendapat bahawa tatabu’ al-Rukhas ini ditegah perbuatannya adalah al-Imam al-Ghazali, al-Imam al-Nawawi, al-Imam Ibn al-Qayyim dan juga al-Imam al-Syatibi.
  1. Sekiranya terdapat hadith yang sahih berserta kefahaman yang benar terhadap hadith tersebut, maka ianya boleh diamalkan. Ini sepertimana yang selalu disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’e Rahimahullah yang mana beliau menyebutkan:

 

إذَا صَحَّ الْحَدِيثُ فَهُوَ مَذْهَبِي

Maksudnya: Jika sahih sesuatu hadith itu, maka itulah mazhabku[1].

 

  1. Mengikuti satu mazhab serta mendalaminya, kami fikir lebih utama untuk diamalkan bagi melihat keseragaman dan juga keluar dari khilaf dipandangan orang lain yang mana boleh menimbulkan persepsi selagi mana perkara tersebut bertunjangkan al-Quran dan al-Sunnah.

Wallahu a’lam.

 

 

[1] Lihat al-Majmu’. Dar al-Fikr (15/461), Tuhfah al-Muhtaj (1/54( & Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah (1/110)

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Go to top