Visitors Hit

8478162 Views

Soalan: Apakah kelebihan menuntut ilmu berdasarkan hadith Nabi SAW?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan samada perkara tersebut baik atau tidak. Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Berdasarkan firman Allah SWT ini, ia menunjukkan akan wujudnya ganjaran di akhirat dan karamah (kemuliaan) di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi,17/299]

 

Kelebihan Menuntut Ilmu

Antara kelebihan yang dijelaskan di dalam hadith Nabi SAW bagi orang-orang yang menuntut ilmu ini, kami ingin datangkan sebuah hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim yang menceritakan di dalam sebahagian matannya akan kelebihan orang yang menuntut ilmu.

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]

 

Makna Hadith

Di dalam hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya ialah ia menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar’ie dengan syarat ia niatnya adalah kerana Allah SWT. Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulama’ mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka. Selain itu juga, maksud sabda Nabi SAW “Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat” adalah dikatakan yang dimaksudkan dengan sakinah di sini adalah rahmat. Ini yang dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh tetapi ia adalah dhaif disebabkan rahmat telah di’athafkan dengan sakinah. Dikatakan juga ia (yang dimaksudkan dengan sakinah) adalah thoma’ninah dan kemuliaan. Ini adalah lebih baik dan ia juga mempunyai dalil atau petunjuk akan kelebihan berkumpul untuk membaca al-Qur’an di dalam masjid. [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/21]

Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang boleh dikeluarkan daripada hadith ini:

  • Allah SWT akan memudahkan jalan ke Syurga.
  • Kelebihan datang ke masjid untuk mempelajari al-Qur’an.
  • Mendapat sakinah dan rahmat daripada Allah SWT.
  • Mendapat perlindungan daripada para malaikat.
  • Syarat yang diperlukan untuk mendapat semua ini perlulah dengan niat yang betul.

 

Kata-Kata Hikmah Berkaitan Kepentingan Ilmu

  • Telah berkata Ibn Abbas RA: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”.
  • Telah berkata Abu Darda’ RA: “Aku mempelajari satu masalah ilmu itu lebih aku suka daripada qiyamullail”.
  • Telah berkata Ibn al-Mubarak RA: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”.
  • Telah berkata Imam al-Syafi’e RA: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.

 

Penutup

Kesimpulannya, banyak lagi hadith-hadith lain yang menceritakan akan kelebihan orang-orang yang menuntut ilmu. Tambahan pula, kita perlulah sentiasa membetulkan niat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan terutamanya dalam menuntut ilmu. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita ilmu-ilmu yang bermanfaat dan memberi kita kefahaman dalam agama ini agar kita dapat sampaikannya kepada orang lain. Amin.

Wallahua’lam

 

 

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top