Soalan : Adakah benar dakwaan bahawa orang yang telah meninggal dunia boleh bertemu semula dengan roh ahli keluarga yang telah lama mati?
Jawapan :
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT,selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW,ahli keluarga baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kematian adalah sesuatu yang pasti dan setiap yang hidup akan merasai kematian bahkan tidak ada satu pun dari kalangan yang bernyawa akan terlepas daripada kematian. Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya :”Tiap-tiap diri( sudah tetap)a kan merasai mati kemudian kamu akan dikembalikan kepada kami (untuk menerima balasan)”
(Surah al-’Ankabut :57)
Berdasarkan soalan di atas, sebahagian ilmuan berpendapat bahawa roh-roh orang yang telah meninggal dunia tidak akan bertemu antara satu sama lain. Namun di sana wujudnya pandangan yang mengatakan bahawa roh-roh orang yang telah meninggal dunia saling bertemu antara satu lain bahkan disokong pula dengan dalil (bukti) daripada al-Quran dan hadis-hadis yang sohih.
- Al-Quran
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ﴿١٦٩﴾ فَرِحِينَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِالَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ﴿١٧٠﴾ يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ اللَّـهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ اللَّـهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿١٧١﴾
Maksudnya:”Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh(yang gugur syahid)pada jalan Allah itu mati.(Mereka tidak mati) bahkan mereka hidup(secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.Dan mereka bersuka cita dengan kurniaan Allah(balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai(saudara mereka) orang-orang(islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal dibelakang yang belum sampai kepada mereka bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita.Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya,dan(ingatlah) bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman."
(Surah ali Imran:169-171)
Kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah:”Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita berkenaan perihal orang yang syahid bahawa mereka hidup di sisi tuhan dengan mendapat rezeki,mereka bergembira dengan berita baik mengenai(saudara mereka) orang-orang(islam yang sedang berjuang) yang masih tinggal dibelakang yang belum sampai kepada mereka mereka juga bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurnianya.Kesemua ini menunjukkan bahawa mereka bertemu melalui 3 perkara tersebut."
Kata beliau lagi:”Lafaz Istibsyar pada bahasa membawa maksud saling mengkhabarkan antara satu sama lain seperti يتباشرون”
Rujuk Kitab al-Ruh (m/s 18)
Kata Sheikh Abdurrahman Al-Sa’di berkenaan ayat ini:”Yang dimaksudkan dengan يستبشرون بالذين لم يلحقوا بهم من خلفهم adalah mereka saling mengkhabarkan antara satu sama lain berkenaan saudara mereka yang belum lagi sampai bahawa mereka itu akan mendapat seperti mana mereka dapat."
Beliau juga menafsirkan ayat ألا خوف عليهم ولا هم يحزنون dengan maksud bahawa mereka saling mengkhabarkan tentang terhapusnya kesedihan mereka dan saudara mereka dengan mendapat kegembiraan yang sempurna.Begitu juga ayat يستبشرون بنعمة من الله وفضل .Beliau menafsirkan ayat ini dengan makna mereka saling mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan sebesar-besar tahniah.
Rujuk Tafsir al-Sa’di (1/156)
Kesemua tafsiran ini jelas menunjukkan bahawa roh-roh para syuhada saling bertemu antara satu lain.Ya, walaupun secara zahir ayat ini ditujukan kepada para syuhada akan tetapi ianya tidak hanya khusus kepada para Syuhada kerana di sana terdapat Hadis-hadis yang menunjukkan bahawa ruh-ruh selain syuhada juga saling bertemu.
- Hadis
- Jabir Bin Abdullah mengkhabarkan:
أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- خَطَبَ يَوْمًا فَذَكَرَ رَجُلاً مِنْ أَصْحَابِهِ قُبِضَ فَكُفِّنَ فِى كَفَنٍ غَيْرِ طَائِلٍ وَقُبِرَ لَيْلاً فَزَجَرَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- أَنْ يُقْبَرَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهِ إِلاَّ أَنْ يُضْطَرَّ إِنْسَانٌ إِلَى ذَلِكَ وَقَالَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا كَفَّنَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيُحَسِّنْ كَفَنَهُ
Maksudnya:”Rasulullah SAW berkhutbah pada satu hari lalu Baginda SAW menyebut tentang seorang sahabat yang telah meninggal dunia.Dia dikafankan dengan kain yang tidak panjang dan dikebumikan pada waktu malam.Lalu Nabi SAW melarang untuk dikebumikan seseorang pada waktu malam sehingga dia disembahyangkan kecuali keadaan mendesaknya berbuat demikian seraya Nabi SAW bersabda:Apabila salah seorang dari kamu mengkafankan saudaranya maka perelokkanlah urusan pengkafanan”
Riwayat Muslim (943)
Hadis riwayat Jabir ini telah dijelaskan melalui jalur sanad yang lain. Daripada Abu Qatadah : Daripada Nabi SAW
مَنْ وَلَّي أَخَاهُ فَلْيُحْسِنْ كَفنَهٌ
Maksudnya:”Sesiapa yang menguruskan (jenazah)saudaranya maka perelokkanlah (urusan)pengkafanan. Kerana mereka saling menziarahi(ketika di dalam kubur)"
Riwayat al-Baihaqi (9268) dalam Syu`ab al-Iman & al-San`ani (6208) dalam Musannaf Abdurrazaq
Imam al-Suyuti (w.911H) ketika berkomentar mengenai hadis ini, beliau berkata: "Hadis ini adalah hadis hasan sohih. Ianya mempunyai jalur sanad yang pelbagai serta syawahid(jalur sanad melalui sahabat yang berbeza)”. Rujuk al-La’ali al-Masnu’ah fi al-Ahadis al-Maudhu’ah (2/366).
Juga di dalam riwayat yang hasan dari jalur sanad Muslim Bin Ibrahim al-Warraq
فِي قُبُورِهِمْ ويتَزَاوَرُونَ يَتَبَاهَونَ فَإِنَّهُم
Maksudnya:”Kerana mereka saling berbangga(dengan kafan tersebut) dan saling berziarah di dalam kubur mereka”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9268)
- Di dalam hadis yang sohih daripada Abu Hurairah r.a :
أَنَّ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : إِذَا حُضِرَ الْمُؤْمِنُ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الرَّحْمَةِ بِحَرِيرَةٍ بَيْضَاءَ ، فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي رَاضِيَةً مَرْضِيًّا عَنْكِ إِلَى رَوْحِ اللهِ ، وَرَيْحَانٍ ، وَرَبٍّ غَيْرِ غَضْبَانَ فَتَخْرُجُ كَأَطْيَبِ رِيحِ مِسْكٍ حَتَّى إِنَّهُ لَيُنَاوِلُهُ بَعْضُهُمْ بَعْضًا حَتَّى يَأْتُوا بِهِ بَابَ يَعْنِي السَّمَاءِ فَيَقُولُونَ : مَا أَطْيَبَ هَذِهِ الرِّيحَ الَّتِي جَاءَتْكُمْ مِنَ الأَرْضِ فَيَأْتُونَ بِهِ أَرْوَاحَ الْمُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشَدُّ فَرَحًا بِهِ مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِهِ يَقْدَمُ عَلَيْهِ فَيَسْأَلُونَهُ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ مَا فَعَلَ فُلاَنٌ ؟ فَيَقُولُونَ : دَعُوهُ فَإِنَّهُ كَانَ فِي غَمِّ الدُّنْيَا فَإِذَا قَالَ أَمَا أَتَاكُمْ ؟ قَالُوا : ذُهِبَ بِهِ إِلَى أُمِّهِ الْهَاوِيَةِ وَإِنَّ الْكَافِرَ إِذَا حُضِرَ أَتَتْهُ مَلاَئِكَةُ الْعَذَابِ بِمِسْحٍ فَيَقُولُونَ : اخْرُجِي سَاخِطَةً مَسْخُوطًا عَلَيْكِ إِلَى عَذَابِ اللهِ فَتَخْرُجُ كَأَنْتَنِ رِيحِ جِيفَةٍ حَتَّى يَأْتُونَ بِهِ بَابَ الأَرْضِ فَيَقُولُونَ : مَا أَنْتَنَ هَذِهِ الرِّيحَ حَتَّى يَأْتُوا بِهِ أَرْوَاحَ الْكُفَّارِ.
Maksudnya: ”Bahawasanya Nabi SAW bersabda:Apabila seorang Mukmin nazak,datang kepadanya malaikat Rahmat dengan membawa sutera putih.Para Malaikat berkata:Keluarlah wahai ruh dalam keadaan redha lagi diredhai kepada Allah,penuh rahmat serta tidak dimurkai Tuhan.Maka Ruh tersebut keluar seperti bau misk(wangian) yang terbaik sehingga bau tersebut sampai ke pintu langit.Para malaikat(di langit) berkata:”wanginya bau yang kamu bawa dari dunia!.Mereka membawa Roh tersebut menemui roh-roh orang yang beriman.(Pada ketika itu) mereka(roh orang mukmin) terlalu gembira dengan kedatangan roh tadi.Mereka bertanya kepadanya apa yang dilakukan oleh fulan ini,apa yang dilakukan oleh fulan ini?.Para Malaikat berkata:Tinggalkan dia.Sesungguhnya dia pernah berada di dalam kesedihan dunia.Lalu ruh itu berkata:Apa yang menyebabkan kamu ke sini?Mereka menjawab:Dia telah dibawa dari ibunya.Ketika mana orang kafir nazak,datang kepadanya malaikat azab dengan membawa guni.Lalu para Malaikat berkata:Keluarkan wahai Ruh dalam keadaan murka lagi dimurkai serta (rasalah) azab Allah.Maka Ruh itu keluar seperti bau nanah(yang keluar dari bangkai mereput) sehingga bau tersebut sampai ke pintu dunia maka Para malaikat berkata:Busuknya bau nanah ini sehingga mereka membawa ruh-ruh orang kafir."
Riwayat al-Nasaie (1972) di dalam Sunan al-Kubra & Ibn Hibban (3078) dalam Sohihnya
Hadis yang panjang ini menjelaskan kepada kita akan perihal roh orang mukmin dan juga roh orang kafir.Juga menjadi dalil bahawa ruh-ruh orang mukmin yang telah mati akan bertemu dengan ruh-ruh orang mukmin yang lain.Ini dapat dilihat melalui pertanyaan ruh-ruh orang mukmin yang telah lama mati akan perihal ahli keluarga mereka yang masih hidup.Berbeza dengan roh orang kafir yang tidak langsung dipertemukan dengan roh-roh lain.
Kata Ibn Qayyim al-Jauziyah: ”Ini adalah satu perbahasan yang mulia lagi besar(untuk membahaskannya).Jawapannya adalah; Roh terbahagi kepada dua. Roh yang diazab dan Roh yang diberi nikmat.Roh yang diazab terlalu sibuk diazab sehinggakan tiada masa bagi mereka untuk saling bertemu dan berziarah antara satu sama lain. Manakala roh yang diberi nikmat tanpa dibelenggu oleh apa-apa, mereka saling bertemu dan saling berziarah antara satu sama lain. Mereka juga saling mengingat antara satu sama lain tentang apa yang telah berlalu di dunia dan apa yang berlaku kepada ahli keluarga mereka yang masih hidup.Setiap ruh(yang diberi nikmat) bersama siapa yang dia ikut dan roh Nabi kita berada di tingkat paling atas sekali. Bertepatan dengan firman Allah SWT
وَمَن يُطِعِ اللَّـهَ وَالرَّسُولَ فَأُولَـٰئِكَ مَعَ الَّذِينَ أَنْعَمَ اللَّـهُ عَلَيْهِم مِّنَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ وَالصَّالِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُولَـٰئِكَ رَفِيقًا ﴿٦٩﴾
Maksudnya:”Sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul maka mereka akan bersama orang yang diberi nikmat oleh Allah dari kalangan Nabi,orang yang benar(imannya),para Syuhada dan juga orang yang soleh.Dan amatlah elok mereka itu menjadi teman rakan(kepada orang taat)”
Kebersamaan ini berlaku sama ada di dunia,di alam barzakh mahupun di hari kiamat kelak. Dan mereka berada bersama siapa yang mereka suka.”
Rujuk Kitab al-Ruh (m/s 17)
al-Imam al-Qurtubi (w.671 H) seakan bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa ruh orang mukmin akan saling bertemu antara satu lain. Pandangan beliau ini boleh didapati di dalam karya beliau yang bertajuk كتاب التذكرة بأحوال الموتى وأمور الأخرة(Kitab peringatan tentang hal kematian dan hari akhirat).Selepas beliau mendatangkan hadis dan athar dari para Tabien beliau menyebut :
“Kesemua khabar ini walaupun ianya disebut secara mauqufah (bukan marfu’) akan tetapi ianya tidak hanya sekadar pandangan peribadi. al-Nasaie[1] meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis. Di antara kandungan hadis tersebut;
فَيَأْتٌونَ بِهِ أَرْواَحَ المُؤْمِنِينَ فَلَهُمْ أَشُّد فَرْحاً مِنْ أَحَدِكُمْ بِغَائِبِكُم يَقْدَمُ عَليه فَيَسْأَلُونَهٌ ما فَعَلَ فُلانٌ مَا فَعَلَتْ فُلاَنَةٌ
Maksudnya:”Mereka didatangkan dengan ruh-ruh orang mukmin.Mereka lebih gembira dengan kedatangan ruh tersebut berbanding kalian yang bersedih kerana pemergiannya. Maka mereka bertanya:apa yang dilakukan oleh orang lelaki ini,apa yang dilakukan oleh orang perempuan ini?”
Kata beliau lagi :”Disebutkan di dalam satu hadis bahawa Nabi SAW bersabda
اَلْأَرْواَحُ جُنُودٌ مُجنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ منْهاَ ائْتَلَفَ ومَا تَناَكَرَتْ منها اخْتَلَفَ
Maksudnya:”Ruh-ruh adalah seperti tentera yang tersusun.Apabila mereka saling mengenali mereka akan bersatu.Apabila mereka saling memungkari mereka akan bercanggah(antara satu sama lain)”[2]
Ini adalah pertemuan antara ruh-ruh. Dan dikatakan ruh saling bertemu ketika tidur dan setelah mati. Allah sahaja Maha Mengetahui”
Rujuk al-Tazkirah bi Ahwal al-Mauta wa Umur al-Akhirah (m/s 233-234)
Ibnu Taimiyyah apabila ditanya: "Adakah Ruh orang yang telah mati akan bertemu semula?" Beliau menjawab :”Ruh orang yang hidup apabila ditarik (mati) akan bertemu dengan ruh orang yang telah lama meninggal dunia.mereka bertanya tentang keadaan orang yang masih hidup”.
Rujuk Majmu’ Al-Fatawa (24/303 & 368)
Adakah sohih hadis roh tidak akan bertemu roh yang lain?
Di sana terdapat hadis yang menyebut bahawa roh orang yang telah mati tidak akan bertemu dengan roh yang lain. Adakah benar hadis ini? Apakah status taraf hadis ini?
Hadis tersebut diriwayatkan oleh Amarah bin Khuzaimah Bin Thabit daripada ayahnya. Beliau (Khuzaimah bin Thabit) berkata:
رَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَسْجُدُ عَلَى جَبْهَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرْتُ بِذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنَّ الرُّوحَ لَا تَلْقَى الرُّوحَ وَأَقْنَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأْسَهُ هَكَذَا فَوَضَعَ جَبْهَتَهُ عَلَى جَبْهَةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maknanya:”Aku melihat di dalam mimpi bahawa aku sujud di atas dahi Nabi SAW. Maka (keesokannya)aku beritahu Nabi SAW tentang apa yang aku mimpi. Lalu Baginda SAW bersabda: Sesungguhnya roh tidak bertemu dengan roh (yang lain). Kata Amarah: Nabi SAW kemudiannya mengangkat kepala Baginda begini.Lantas ayah meletakkan dahinya ke dahi Nabi SAW”.
Riwayat Ahmad (21864,20861 & 21913) di dalam Musnad
Berlaku kesilapan di dalam lafaz hadis ini. iaitu pada perkataan لا تلقى Ini adalah disebabkan kesalahan ketika menyalin manuskrip. Bahkan manuskrip yang mempunyai kesilapan ini digunakan sehinggakan dianggap sebagai masyhur. Jika dikaji satu persatu, tiada masalah dari segi sanad kerana kebanyakan perawi di dalamnya adalah thiqoh(terpercaya)
Di dalam riwayat nasaie menyebut :
إِنَّ الرُّوحَ لَتَلْقَى الرُّوح
Maksudnya: “Sesungguhnya ruh pasti bertemu dengan roh yang lain”
Riwayat al-Nasaie (7631) di dalam Sunan Al-Kubra
Bukan dengan lafaz لا تلقى. Sheikh Shuaib Al-Arnaut ketika memberi komentar mengenai hadis ini beliau juga menyebut bahawa ini adalah kesalahan ketika menyalin manuskrip. Yang betul adalah لتلقى bukan لا تلقى
Rujuk Musnad Ahmad cetakan muassasah Al-Risalah (36/188)
Penutup
Kesimpulannya, berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis-hadis serta penjelasan para ulama maka benarlah dakwaan bahawa roh orang yang telah meninggal dunia boleh bertemu semula roh ahli keluarga yang telah lama mati.Namun perlu diingat hanya roh orang yang beriman sahaja boleh bertemu antara satu sama lain berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah.Marilah kita bersama-sama memohon kepada Allah agar dikurniakan husnul khatimah (kesudahan yang baik) sepertimana Nabi SAW berdoa:
اللّهُمَّ تُوَفِّنا مسلمين وَاحْيِناَ مُسْلِمِينَ وَأَلحِقْناَ بالصالحين
Maksudnya:”Ya Allah matikan kami dalam keadaan kami muslim, hidupkan kami sebagai Muslim dan masukkan kami dalam kalangan orang yang soleh”
Riwayat al-Bukhari (697) dalam Al-Adab Al-Mufrad
Wallahu’alam
Nota hujung:
[1] Riwayat al-Nasaie(1833) di dalam Sunan al-Sughra
[2] Riwayat al-Bukhari (3158) dan Muslim (2638)