Visitors Hit

8912142 Views

 

Soalan: Apakah hadith yang menunjukkan bahawa amalan dibentang pada hari Isnin dan Khamis?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Allah SWT mencipta manusia agar mereka mengabdikan diri mereka kepada Allah SWT. Di samping itu juga, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa melaksanakan setiap tuntutan dan suruhan-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya.

 

  • Firman Allah SWT:

 

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

al-Zariyat : 56

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”

 

  • Firman Allah SWT lagi:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

al-Qaaf : 18

Maksudnya: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”

 

Ayat di atas ini menunjukkan bahawa setiap apa yang dilakukan oleh manusia atau insan ini akan dicatat oleh malaikat dan ia juga akan dibentangkan di hadapan Allah SWT. Berdasarkan persoalan di atas, terdapat beberapa buah hadith sahih yang menceritakan akan hal sedemikian. Antaranya ialah:

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Amalan dibentangkan pada hari Isnin dan Khamis, maka aku kebih suka amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” [Riwayat al-Tirmizi (747)] [Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan gharib]

 

  • Daripada Usamah bin Zaid, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

ذَانِكَ يَوْمَانِ تُعْرَضُ فِيهِمَا الْأَعْمَالُ عَلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ، فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Maksudnya: “Dua hari tersebut akan dibentangkan amalan-amalan kepada Tuhan sekalian alam. Maka aku lebih suka jika amalanku dibentangkan ketika aku sedang berpuasa.” [Riwayat al-Nasa’ie (2358)]

 

Hadith ini tidak menafikan sabda Nabi SAW bahawa diangkat amalan malam sebelum amalan siang dan diangkat amalan siang sebelum amalan malam. Hal ini bagi membezakan antara diangkat dan juga dibentangkan. Ini kerana, amalan-amalan dihimpunkan selama seminggu dan dibentangkan pada dua hari ini (Isnin dan Khamis).

 

Kata Ibn Hajar bahawa tidak dinafikan bahawa diangkatnya amalan pada bulan Sya’ban berdasarkan hadith Nabi SAW bahawa sesungguhnya ia (bulan Sya’ban) adalah bulan yang diangkat padanya amalan dan aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa bagi menunjukkan amalan itu terangkat iaitu amalan mingguan berbentuk terperinci dan manakala amalan tahunan pula berbentuk umum. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 375/3]

 

Antara makna hadith di atas adalah setiap amalan akan diangkat dan dibentangkan kepada Allah SWT, sama ada amalan tahunan yang diangkat pada bulan Sya’ban sebagaimana dikhabarkan oleh Baginda SAW dan juga amalan mingguan yang akan diangkat pada hari Isnin dan Khamis. [Lihat: Hasyiah Ibn al-Qayyim bagi Sunan Abu Daud, 12:313]

 

Antara faedah lain yang boleh diambil daripada hadith di atas adalah kelebihan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Oleh sebab itu, kita disunatkan untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis sebagaimana dinyatakan di dalam mazhab kita iaitu mazhab al-Syafie Rahimahullah berdasarkan apa yang diceritakan oleh isteri Baginda SAW yang tercinta:

 

Daripada Aisyah RA, berkata:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ

Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” [Riwayat al-Tirmizi (745)]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita dituntut untuk berpuasa pada hari Isnin dan Khamis berdasarkan hadith yang kami nyatakan di atas. Antara hikmah kita diminta untuk banyak berpuasa pada hari-hari ini adalah berdasarkan hadith yang kami nyatakan di atas iaitu pada hari-hari ini amalan dibentangkan oleh Malaikat kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT menempatkan kita dalam kalangan orang yang beriman dan juga orang-orang yang sentiasa melakukan ketaatan kepada-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top