Visitors Hit

2647503 Views

 

Soalan: Bilakah waktu yang dimaksudkan dengan waktu yang mustajab pada hari Jumaat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang sahih berkaitan hal tersebut. Hadith tersebut diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan juga imam Muslim di dalam sahihnya dengan lafaz yang sedikit berbeza:

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu”. [Riwayat al-Bukhari (6400)]

 

Melihat kepada hadith di atas, kita memahami bahawa Allah SWT telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut.

 

Pendapat ulama’ dalam memahami hadith tersebut

Dalam masalah ini, terdapat beberapa pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi ketika mensyarahkan hadith ini di dalam sahih Muslim, antaranya:  [Lihat: al-Minhaj Syarah Muslim, 140/6]

 

  • Pertama: Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat. Pendapat ini disokong dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.

 

  • Kedua: Waktunya adalah selepas asar sehingga terbenamnya matahari.

 

  • Ketiga: Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai.

 

  • Keempat: Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat.

 

Di sana terdapat beberapa lagi pendapat yang lain sebagaimana yang dinyatakan Ibn al-Qayyim di dalam karyanya iaitu sebanyak 11 pendapat.

 

Pendapat Ulama’ Dalam Masalah Ini

Setelah melihat pendapat di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan sedikit perbahasan yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dalam menentukan waktu yang mustajab ini:

 

Dalam masalah ini, terdapat dua pendapat yang kuat dan keduanya bersandar pada hadith Nabi SAW. 

 

Pendapat Pertama: Waktu yang dimaksudkan adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat, berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.

 

  • Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu yang mustajab tersebut:

 

أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ شَيْئًا؟ قَالَ: نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: "هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ".

Maksudnya: Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SW berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan”. [Riwayat Muslim (853)]

 

Pendapat ini juga mempunyai beberapa lagi hadith yang menyokong pendapat bahawa waktu mustajab tersebut adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat.

 

Pendapat Kedua: Waktunya adalah selepas asar. Ini adalah pendapat yang lebih kuat berbanding dua pendapat yang kuat ini. Hujah bagi orang yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat imam Ahmad:

 

  • Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar”. [Riwayat Ahmad, (7688)] [Hadith ini adalah sahih dengan syawahidnya dan sanad hadith ini adalah dhaif menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth]

 

  • Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar ”. [Riwayat al-Nasa’ie, (1389)] [Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Nataij al-Afkar, 2/436]

 

Terdapat beberapa lagi hadith yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas daripada asar. Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair daripada Ibn Abbas RA telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat asar sehingga terbenam matahari. Adapun Said bin Jubair apabila beliau menunaikan solat asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari. Ini adalah pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadith yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 377/1]

 

Pendapat Yang Dipilih

Setelah melihat perbahasan dan dalil-dalil yang dikemukan maka kami cenderung untuk memilih pendapat yang kedua iaitu waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari. Ini kerana, dalil-dalil yang dikemukan oleh pihak ini lebih banyak dan kuat. Selain itu juga, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair RA.

 

Penutup

Kesimpulannya, hari Jumaat adalah hari yang mulia dan ia juga mempunyai banyak keistimewaan, kemuliaan dan kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim samada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kesempatan serta mengurniakan kita waktu-waktu yang istimewa seperti ini kepada kita. Amin.

 

Wallahua’lam

Dari Meja Mufti

 

Waktu Solat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Subuh 88:88
Syuruk 88:88
Zohor 88:88
Asar 88:88
Maghrib 88:88
Isyak 88:88
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 
Go to top