Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 98 : PELAJAR PEREMPUAN DI LUAR NEGARA, SIAPA YANG BAYAR ZAKAT FITRAHNYA?

 

Soalan: 

Assalamualaikum wa rahmatullah.  

Saya pelajar perempuan jurusan agama di timur tengah yang ditaja penuh zakat sebuah negeri setiap tahun pengajian. Soalan saya:  

1- Adakah saya wajib membayar zakat sendiri yakni bukan wali saya yang bayarkan? 

Jika saya wajib bayar sendiri, maka, 

2- Bagaimanakah caranya untuk saya bayar sendiri kepada faqir miskin? Apakah kaifiyah nya? 

Terima kasih. 

 

Jawapan: 

Waalaikumussalam wbt,  

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat. 

Zakat fitrah adalah juga dikenali sebagai zakat badan merupakan satu bentuk zakat yang wajib atas setiap individu Muslim menunaikannya setiap tahun. Daripada Ibn Umar R.Anhuma  dia berkata: 

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الفِطْرِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى العَبْدِ وَالحُرِّ، وَالذَّكَرِ وَالأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ وَالكَبِيرِ مِنَ المُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلاَةِ 

Maksudnya: Rasulullah SAW mewajibkan pelaksanaan zakat fitrah dengan segantang tamaratau segantang barli ke atas hamba dan orang yang merdekalelaki dan perempuan,yang muda dan yang tuadaripada kalangan Muslimindan baginda menyuruh agar ditunaikan sebelum manusia keluar menuju solat (Hari Raya).” 

Riwayat al-Bukhari (1503) 

Ada tiga syarat wajib zakat fitrah: 

  1. Islam 
  2. Waktu, yakni selepas maghrib hari terakhir Ramadhan dan bermulanya malam raya. 
  3. Al-yasar (berkemampuan).  

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/97-98) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili hafizhahullah 

 

Jika seseorang itu menafkahi (menanggung) seseorang atas sebab nikah (isteri, anak-anak), kaum kerabat (ibu ayah, saudara) dan khidmat (hamba) maka wajib seseorang itu membayarkan zakat fitrah bagi tanggungannya jua. Kaedah menyatakan: 

كُلُّ مَن تَلْزَمُهُ نَفْقَةُ غَيْرِهِ تَلْزَمُهُ فِطْرَتُهُ 

Maksudnya: Barangsiapa yang wajib menafkahi seseorang, wajib jua menunaikan fitrahnya.  

Rujuk Taqrirat al-Sadidah - Qism Ibadah (Hal. 419) oleh Syeikh Hasan al-Kaf hafizhahullah 

Justeru secara umumnya wajib ke atas usul (ayah, datuk, ibu, nenek dan hingga ke atas) untuk membayarkan zakat anak perempuannya.  

Namun begitu, ini tertakluk kepada tiga syarat wajib [al-Mu`tamad (4/288-289)]: 

  1. Usul berkemampuan daripada segi ekonomi. 
  2. Furu` (anak-anak) masih lagi kecil, belum baligh 
  3. Furu` ialah seorang yang faqir tidak mampu berkerja.  

Maka, jika seorang anak perempuan tidak memenuhi syarat-syarat wajib ini maka tidak wajib ke atas ayahnya untuk menafkahinya seterusnya membayarkan zakat fitrah bagi pihaknya.  

Justeru, dalam kes di atas, kami cenderung kepada pandangan bahawa saudari yang bertanya wajib membayar sendiri zakat fitrah jika saudari berkemampuan khususnya kerana saudari mendapat tajaan penuh. Berdasarkan pengalaman kami, menjadi kebiasaan untuk para pelajar Malaysia yang belajar di Timur Tengah membayar sendiri zakat fitrah mereka. Apatahlagi jumlah zakat fitrah tidaklah mahal sekadar 2.6-2.75kg daripada makanan ruji kebiasaan setempat (ghalib qut al-balad).  Namun, jika bapa saudari mahu membayarkan maka hukumnya adalah harus dan sah tetapi dengan keizinan saudari.  Rujuk al-Mu`tamad 2/102). 

Daripada segi hukum, zakat fitrah sah dibayar sendiri kepada asnaf, atau menggunakan wakil. Wajib disertakan niat ketika menyerahkan kepada asnaf, atau wakil dengan sighah seperti: Ini fardhu zakat daripada hartaku, Ini fardu sedekah daripada hartaku, inilah dia zakat daripada hartaku yang difardukan, atau yang diwajibkan. Ini bagi membezakan dengan sedekah sunat, nazar dan kafarah. Rujuk al-Mu`tamad (2/127-128). 

Adapun bagaimana cara hendak bayar sebaiknya berhubung dengan persatuan pelajar Malaysia tentang kebiasaan yang dilakukan di sana. Cara ini lebih memudahkan khususnya untuk mengetahui saluran yang betul seperti mengenalpasti asnaf dan cara membayarnya. 

Wallahua’lam.