Soalan:
Apakah hukum penggunaan ibu tumpang bagi mendapatkan zuriat bagi pasangan yang mengalami masalah untuk mendapatkan zuriat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Tidak dinafikan bahawa di antara maqasid (tujuan) perkahwinan itu adalah untuk mendapatkan zuriat demi meneruskan kelangsungan ahli keluarga serta nasab keturunan. Kini, terdapat pelbagai cara moden bagi menghasilkan zuriat bagi pasangan yang tidak mampu untuk mendapatkan zuriat disebabkan beberapa faktor kesihatan dan lain-lain lagi.
Salah satu caranya adalah dengan menggunakan kaedah ibu tumpang (surrogate mother) yang mana kaedah ini dilakukan dengan mengambil sperma dan juga ovum pasangan terlibat yang disenyawakan di luar dan kemudiannya dipindahkan ke rahim perempuan yang lain. Selalunya akan ada bayaran yang dikenakan bagi proses ‘penyewaan’ rahim tersebut.
Hukum Menggunakan Kaedah Ibu Tumpang Bagi Mendapatkan Zuriat
Kaedah ibu tumpang ini adalah satu kaedah moden yang terhasil melalui kajian dan ianya terbukti dalam menghasilkan zuriat. Namun, bagaimana pandangan Islam terhadap kaedah ini? Adakah ia benar-benar menepati kaedah syariah?
Berdasarkan kaedah ibu tumpang ini, terdapat beberapa gambaran bagaimana kaedah ini dilakukan. Ianya diringkaskan seperti berikut:
- Sperma dan ovum pasangan suami-isteri disenyawakan di luar kemudian dipindahkan ke rahim perempuan ajnabi yang lain.
- Sperma dan ovum pasangan suami-isteri disenyawakan di luar kemudian dipindahkan ke rahim isteri lelaki yang lain (bagi yang berpoligami).
- Sperma dan ovum diambil dari lelaki dan perempuan yang berlainan disenyawakan di luar dan kemudiannya dipindahkan ke rahim perempuan ajnabi yang lain dan apabila telah selamat melahirkan anak, maka diserahkan kepada mereka yang menginginkan zuriat.
- Sperma si suami disenyawakan dengan ovum perempuan ajnabi yang mana perempuan tersebut akan mengandungkan anak tersebut dan apabila selamat melahirkan anak tersebut maka akan diserahkan kepada pasangan bersama wang ganjaran diserahkan kepada perempuan ajnabi tersebut.
- Ovum si isteri akan dimabil bersama sperma dari lelaki ajnabi dan kemudian dipindahkan ke dalam rahim perempuan ajnabi yang lain dan selepas melahirkan anak tersebut maka diserahkan kepada pasangan yang menginginkan anak tersebut beserta bayaran kepada ibu tumpang tersebut.
Jumhur ulama’ dikalangan mu’asirin tidak membenarkan ke lima-lima kaedah ini atau dalam kata lainnya, penggunaan kaedah ini adalah HARAM bagi mendapatkan zuriat.
Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh badan fatwa dunia seperti Majma’ al-Fiqh al-Islami (Arab Saudi) dan juga Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah (Mesir). Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah melalui fatwanya yang telah dikeluarkan melalui Dar al-Ifta al-Misriyyah menyebut:
“Adapun menyewa Rahim hukumnya adalah HARAM pada syara’. Fatwa Majma’ al-Buhuts al-Islamiyyah telah mengeluarkan keputusan nombor 1 pada 29 Mac 2001 yang mengharamkan penyewaan rahim. Para ulama fiqh kontemporari juga sepakat mengenai keharamannya. Salah satu sebabnya adalah karena tidak dapat dipastikan siapa ibu yang sebenarnya bagi bayi itu disebabkan terdapat pihak ketiga (pemilik rahim yang disewa). Sehingga timbul permasalahan tentang siapakah yang lebih berhak menjadi ibu bayi itu. Apakah wanita pemilik sel telur (ovum) yang darinya tercipta janin itu dan yang membawa seluruh sifat, atau wanita yang di dalam rahimnya seluruh proses perkembangan bayi itu berlaku sehingga menjadi janin yang sempurna? Adanya perselisihan dan perdebatan yang besar seperti ini bertentangan dengan tujuan dan maksud syariat Islam yang meraikan kestabilan, ketenteraman dan menghilangkan pertikaian atau membatasinya kadar yang selayaknya.”
Badan fatwa tempatan juga turut mengeluarkan fatwa mengenai isu ini. Antara badan fatwa negeri di Malaysia yang mengharamkan penggunaan khidmat ibu tumpang ini adalah:
- Pahang: Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-2/2008, pada 11 -12 Jun 2008)[1] telah membuat keputusan bahawa hukum menggunakan kaedah ibu tumpang (Surrogate Mother) untuk mendapatkan zuriat adalah seperti berikut :
- Menggunakan kaedah khidmat ibu tumpang adalah haram walaupun sperma dan ovum atau selain daripada keduanya diambil daripada pasangan suami isteri yang sah kerana berlaku kekeliruan dari sudut nasab anak.
- Sumbangan sperma, ovum, embrio, rahim, oleh pihak ketiga atau penggunaan lain-lain kaedah adalah haram di sisi syarak.
- Selangor: Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor telah mengeluarkan hukum bahawa penggunaan khidmat ibu tumpang adalah diharamkan. Ini dapat dilihat melalui keputusan tersebut yang menyebutkan:
“Menggunakan kaedah khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan zuriat adalah diharamkan oleh Islam walaupun sperma dan ovum adalah diambil daripada pasangan suami isteri yang sah kerana ia akan menyebabkan berlakunya kekeliruan nasab anak yang akan dilahirkan”[2]
Kesimpulan
Melihat kepada isu ini, pengharaman bagi kaedah ini adalah bertitik tolak dari maqasid syari’ah iaitu prinsip hifz al-Nasl (menjaga nasab keturunan). Penggunaan kaedah ibu tumpang boleh menyebabkan berlakunya percampuran nasab yang mana boleh menimbulkan keraguan dan juga kecelaruan.
Dengan membenarkan penggunaan khidmat ibu tumpang, sudah barang tentu akan membawa kepada kecelaruan nasab, identiti dan juga keturunan dan lebih besar lagi boleh membawa kepada pergaduhan serta permusuhan jika masing-masing mendakwa anak itu adalah anaknya.
Justeru, kami dengan tegas mengatakan bahawa hukum menggunakan khidmat ibu tumpang adalah HARAM.
Sungguh, anak itu adalah rezeki yang Allah SWT kurniakan kepada siapa yang dia kehendaki bahkan Allah SWT jugalah yang menahannya daripada dikurniakan kepada sesiapa juga yang dikehendaki. Mungkin ianya sebagai ujian yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya untuk melihat sejauh mana seseorang itu mampu untuk bersabar dan reda dengan ketentuan Allah SWT.
Semoga dengan penjelasan ini, dapat memberikan sedikit pencerahan berkaitan hukum menggunakan khidmat ibu tumpang. Wallahu a’lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
26 September 2016 bersamaan 24 Zulhijjah 1437 H.
[1] http://mufti.pahang.gov.my/index.php/2012-12-11-06-41-06/2012-12-11-06-44-13/2012-12-11-06-44-58/2008/16-2-hukum-menggunakan-kaedah-khidmat-ibu-tumpang-untuk-mendapatkan-zuriat
[2] http://www.muftiselangor.gov.my/ms/fatwa-tahunan/2010-terkini/193-hukum-menggunakan-kaedah-khidmat-ibu-tumpang-surrogate-motherhood-untuk-mendapatkan-zuriat