Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI 10: LEMBU KORBAN HASIL SUMBANGAN DARI BUKAN ISLAM

Soalan:

Bolehkah masjid-masjid menerima lembu-lembu untuk dikorbankan dari bukan Islam? Selalunya adalah dari hasil sumbangan ahli politik dan juga ahli perniagaan bukan Islam.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Bagi menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa situasi yang perlu dijelaskan:

  • Pertamanya, sekiranya pemberian tersebut adalah untuk melakukan korban bagi bukan Islam, maka hukumnya tidak sah korban tersebut kerana mereka yang bukan Islam tidak disyariatkan dan tidak mempunyai ahliah untuk melakukan ibadah korban.

  • Adapun yang keduanya, iaitu berbalik kepada persoalan di atas, jika pemberian lembu dari bukan Islam, maka ianya termasuk di dalam hukum hibah (pemberian hadiah) dan Islam tidak melarang seorang muslim itu menerima hadiah daripada bukan muslim bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada golongan bukan Islam. Ini seperti yang terdapat di dalam sebuah hadith al-Bukhari[1] yang mana Rasulullah SAW ada menerima jubbah yang dihadiahkan oleh Ukaidir (seorang Nasrani) dari Dauma.

 

Makanya kita katakan di sini bahawa hukum menerima lembu korban hasil sumbangan daripada bukan Islam adalah harus dan dibolehkan. Lembu yang disumbangkan itu mestilah diuruskan seperti berikut:

  1. Haiwan korban tersebut hendaklah diserahkan kepada jawatankuasa masjid/surau untuk diuruskan.
  2. Pihak jawatankuasa yang dilantik perlu memilih asnaf fakir miskin atau individu bagi mewakili bahagian korban yang diwakili.
  3. Asnaf fakir miskin atau individu yang terpilih disunatkan mengambil daging korban tidak melebihi 1/3 daripada bahagian korban yang disertai.
  4. Sekiranya perlu, pihak jawatankuasa masjid/surau boleh mengenakan kos pengurusan dengan kadar yang berpatutan kepada peserta ibadah korban yang terpilih.

Ini sepertimana yang tertulis di dalam buku Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban, Bilangan 2 bagi tahun 2013 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada halaman 27.

Wallahu a’lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

29 Ogos 2016 bersamaan 26 Zulkaedah 1437 H.

 

[1] Sahih al-Bukhari. Kitab al-Hibah. Bab Qabul al-Hadiyyah min al-Musyrikin. No. Hadith: 2615.