Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

SOALAN

Adakah boleh seseorang pengarah filem muslim itu mengarah filem mengenai perkara ghaib yang akan datang, contohnya mengenai bagaimana situasi semasa hari kiamat atau mengenai yakjuj makjuj? Adakah hukumnya berdosa atau mampu menjadikan iman seseorang Islam itu goyah?

 

JAWAPAN

Perkara ghaib akan datang terbahagi kepada dua. Ada yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dan ada yang tidak. Jika perkara tersebut termasuk yang dikhabarkan maka hal tersebut ada ruang untuk digambarkannya. Tetapi jika tidak, maka ia termasuk perkara ghaib yang tidak diketahui kecuali Allah.

            Saya berpendapat tidak wajar menggambarkan situasi semasa hari kiamat kerana dahsyatnya kiamat seperti yang disebut dalam al-Quran tidak mungkin difilemkan dan dilakukan oleh mana-mana pengarah.

            Di sini dinyatakan nasihat ikhlas kepada pengarah filem supaya lebih berintegriti dan selamat daripada sebarang kekeliruan dan syirik, antaranya:

  • Tidak menggambarkan perkara ghaib seperti seksa dan azab kubur.
  • Lakonan sebagai orang kafir, murtad dan syirik adalah haram bagi orang yang beriman kerana perkara tersebut bergurau pun dianggap bersungguh apatah lagi jika bersungguh.
  • Tidak melakonkan babak dan aksi lucah yang sudah pasti membawa kepada sifat yang tidak datang.
  • Sewajarnya memilih pakaian yang menutup aurat dan beradab sopan selaras dengan sifat ketimuran dan kemelayuan.

 

Kami menutup perbincangan ini dengan memetik kata-kata Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan al-Halal Wa al-Haram berkenaan dengan membanteras kekeliruan dan khurafat. Antara lain katanya: Apabila Rasulullah SAW diutuskan, Baginda mendapati terdapat masyarakat Arab mempunyai beberapa kaum dajjal yang dikenali dengan panggilan kahin, iaitu dukun, dan yang lain dikenali sebagai tukang tilik dan ahli nujum, yang mengaku diri mereka mengetahui perkara-perkara ghaib, baik yang telah terjadi pada masa yang lalu, mahupun yang akan berlaku pada masa hadapan, iaitu dengan perantaraan jin, puaka dan sebagainya.

            Justeru itu, Rasulullah SAW telah mengishtiharkan perang terhadap kepercayaan yang sesat ini, yang tidak disandarkan dengan ilmu pengetahuan yang lurus atau petunjuk dan syariat yang benar. Baginda menyampaikan wahyu  Allah SWT tentang perkara ini dengan membacakan kepada mereka:

قُلْ لاَّ يَعْلَمُ مَنْ فِى السَّمَٰوَٰتِ وَالأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ

Maksudnya: Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah!

(Surah al-Naml: 65)

 

Tegasnya, tiada siapa pun yang tahu mengenai tentang perkara ghaib itu, sama ada malaikat, jin mahupun manusia. Kemudian Baginda menjelaskan tentang perintah Allah itu dalam firman-Nya:

وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Dan kalau Aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) Aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.

(Surah al-A’raf: 188)

 

Kemudian Baginda menjelaskan pula tentang berita kaum jin pada zaman Nabi Sulaiman AS:

أَنْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ

Maksudnya: Bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara yang ghaib, nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.

(Surah Saba’: 14)

 

Sesiapa yang mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib yang hakiki, nescaya dia telah berdusta terhadap Allah SWT dan kepada hakikat kenyataan dan kepada manusia.  

 

Sekian, Wallahu a'lam

 

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

12 Syawal 1436H