Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

Soalan:

Apakah hukum berlawak jenaka di dalam Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Mukadimah

Hakikatnya, Islam sebagai panduan hidup manusia tidak pernah melarang manusia untuk berhibur dan berjenaka. Hiburan dan jenaka itu adalah fitrah tabiat manusia dan tanpanya kehidupan akan menjadi hambar, sedih dan kurang bermotivasi untuk hidup menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Kami nukilkan hakikat ini lewat kenyataan Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram (ms.543) yang telah kami terjemahkan:

“Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al-Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan berman-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum...”

Kemudia beliau menyebutkan tentang sikap sebahagian para sahabat Nabi SAW yang terlalu takut untuk berhibur dan bergembira bersama keluarga kerana berhati-hati terhadap sifat munafik. Suatu hari, Hanzalah RA datang berjumpa Nabi SAW bersama Abu Bakar RA lalu berkata:  “Hanzalah telah berlaku munafik wahai Rasulullah!” Baginda SAW menjawab: “Mengapa sebegitu?” Jawab Hanzalah: “Wahai Rasulullah! Apabila kami berada di sisimu, kamu sering mengingatkan kami tentang neraka dan syurga, sehingga kami seolah-olah dapat melihatnya di hadapan mata kami. Tetapi apabila kami meninggalkan majlismu, kami telah dilalaikan dengan anak dan isteri serta harta benda kami sehingga kami terlupa kepada peringatanmu itu.”

Maka jawab Rasulullah SAW:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنْ لَوْ تَدُومُونَ عَلَى مَا تَكُونُونَ عِنْدِي، وَفِي الذِّكْرِ، لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلَائِكَةُ عَلَى فُرُشِكُمْ وَفِي طُرُقِكُمْ، وَلَكِنْ يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً -  ثَلَاثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Demi (Zat) yang jiwaku di Tangan-Nya! Sesungguhnya jika kamu menepati keadaan seperti yang kamu biasanya berada di sisiku dan ketika dalam berzikir, nescaya kamu akan berjabat tangan (yakni disamakan) dengan malaikat di tempat-tempat perbaringan kalian dan di jalan-jalan kalian. Tetapi, wahai Hanzalah! Sesaat begini dan sesaat begitu! – Rasulullah menyebut tiga kali”

Riwayat Muslim (2750)

Ertinya, hanya para Malaikat yang memiliki tahap keimanan sedemikian rupanya yang dibayangkan Hanzalah. Mereka sentiasa bertasbih memuji Allah dalam setiap keadaan dan waktu. Sedangkan manusia ada masanya untuk belajar, beribadah dan mendengar peringatan. Ada juga masa untuk rehat dan tidur, dan masa untuk bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga, sedangkan malaikat tidak dijadikan sebegitu.

 

Rasulullah SAW berjenaka

Kenyataan sebelum ini disokong dengan perbuatan dan perkataan Rasulullah SAW sendiri. Ini boleh dilihat dalam kitab al-Syama`il al-Muhammadiyyah yang dihimpunkan oleh Imam al-Tirmidhi (w.297) Rahimahullah, antaranya kisah Rasulullah SAW dilaporkan pernah berjenaka dengan seorang wanita tua.

Daripada al-Hasan RA berkata: “Seorang wanita tuan bertemu dengan Nabi SAW lalu berkata:” Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.” Maka jawab Rasulullah: “Wahai Umm Fulan, Sesungguhnya syurga itu tidak masuk ke dalamnya orang tua.” Perawi menyatakan: Wanita itu lantas berpaling dan menangis lalu Baginda SAW meminta kepada para sahabat: “

أَخْبِرُوهَا أَنَّهَا لَا تَدْخُلُهَا وَهِيَ عَجُوزٌ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَقُولُ: {إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا عُرُبًا أَتْرَابًا}

Maksudnya: “Kalian beritahulah wanita itu bahawa dia tidak akan masuk ke dalam dalam keadaan tua kerana Allah Taala berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh), Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.” (Surah al-Waqi`ah: 35-37)”

Riwayat al-Tirmidhi (241) dalam al-Syama’il al-Muhammadiyyah

Ertinya, Allah SWT akan menjadikan orang tua pun muda kembali apabila di dalam syurga.

Rasulullah SAW juga bergurau dengan kanak-kanak untuk menggembirakan mereka. Daripada Mahmud bin al-Rabi` RAnhuma:

عَقَلْتُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجَّةً مَجَّهَا فِي وَجْهِي وَأَنَا ابْنُ خَمْسِ سِنِينَ مِنْ دَلْوٍ

Maksudnya: “Aku ingat lagi sewaktu umurku lima tahun Nabi SAW pernah menghirup air daripada gayung menggunakan mulutnya lalu menghembuskannya ke mukaku.”

Riwayat al-Bukhari (77)

Berkata Imam Syihabuddin al-Qastalani (w.923) dalam Irsyad al-Sari Li Syarh Sahih al-Bukhari (1/177): “Perbuatan Nabi SAW itu adalah bertujuan untuk bergurau atau tabrik (mendatangkan keberkatan) kepadanya (Mahmud) sepertimana Baginda SAW selalu melakukannya dengan anak-anak sahabat.”

Begitu juga hadis daripada Anas bin Malik RA tentang Rasulullah SAW memujuk anak saudaranya Anas yang kematian burung peliharaan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ - قَالَ: أَحْسِبُهُ - فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْر؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW ialah manusia yang paling baik akhlaknya. Aku (yakni Anas) memiliki seorang adik lelaki, yang Nabi memanggilnya “Abu `Umair”. Umurnya kira-kira baru tamat menyusu. Jika Rasulullah datang, maka Baginda akan bertanya kepadanya: “Wahai Abu `Umair, apa yang Si Nughair buat?” (al-Nughair itu adalah) sejenis burung nughar (yang sedap dan bagus suaranya) yang Abu Umair biasa bermain dengannya.”

Hadis riwayat al-Bukhari (6203)

Namun begitu, sekalipun Rasulullah SAW selalu bergurau dan berjenaka dengan para sahabatnya, beliau tidak menipu dalam bergurau. Daripada Abu Hurairah RA bahawa para sahabat pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Kamu sering bergurau (atau mengusik kami).” Jawab Baginda:

إِنِّي لَا أَقُولُ إِلَا حَقًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak berkata (dalam gurau) melainkan hanya perkara yang benar.”

Riwayat al-Tirmidhi (1990)  dalam Sunannya, dan beliau mengatakan hadisnya hasan.

Begitu juga kita lihat bahawa lawak dan jenaka Rasulullah SAW itu tidak bersifat sia-sia sebaliknya memiliki nilai dan pengajaran supaya lebih terkesan kepada hati dan kefahaman, sesuai dengan keperibadian Nabi SAW yang terpelihara daripada keburukan dan kebodohan. Itulah keperibadiaan yang paling layak dicontohi!

 

Etika Dalam Melawak

Justeru, terdapat beberapa kriteria yang perlu dijadikan pedoman ketika berlawak:

 

  • Tidak melampau batas sehingga meninggalkan tanggungjawab dan kewajipan

Al-Qaradhawi menyebut: “Maka tidak salah bagi seorang Muslim untuk bergurau senda dengan sesuatu yang dapat menenangkan hatinya, tidak salah baginya menghiburkan dirinya dan rakan-rakannya dengan sesuatu hiburan yang ringan. Akan tetapi janganlah sampai menjadi kebiasaan pada setiap masa ingin bergurau sahaja kerana akhirnya ianya akan menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara yang wajib sehingga dia bergurau pada waktu yang sepatutnya dia bersungguh-sungguh. Sebab itu ada pepatah yang mengatakan:

اعطِ الكَلَامَ مِنَ المَزْحِ بِقَدْرِ مَا يُعْطَي الطَّعَامُ مِنَ المِلْحِ

Maksudnya: “Berikanlah bicaramu itu dengan sedikit gurauan, sekadar diberikan pada makanan itu garamnya yang cukup.”

 

  • Tidak menjadikan maruah seseorang itu sebagai gurau senda.

Ini berdasarkan firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Hujurat: 11)

 

  • Tidak Menipu Dalam Lawak

Daripada Bahz bin Hakim (bin Muawiyah bin Haidah al-Qusyairi) berkata: Ayahku menceritakan kepadaku, daripada datukku, yang berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القَوْمَ فَيَكْذِبُ، وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

Maksudnya: “Celakalah bagi orang yang bercakap suatu percakapan agar orang ramai tertawa dengan pembohongan. Celakalah baginya! Celakalah baginya!”

Riwayat al-Tirmidhi (2315)

Syeikh Abu al-Ala al-Mubarakfuri (w.1353H) dalam Tuhfah al-Ahwazi (6/497-498) mensyarahkan hadis ini: “Wail bererti kecelakaan yang besar atau lembah yang dalam; li yudhika… yang daripada kata terbitan idhak (membuat orang tertawa); bihi yakni tertawa dengan perkataannya atau pembohongannya…. Mafhum daripada hadis itu bahawa jika seseorang bercakap dengan perkataan yang benar untuk berlawak dengan satu kaum maka tidak mengapa hal itu seperti mana yang berasal daripada kisah Umar RA bersama Nabi SAW tatkala baginda marah terhadap beberapa orang Ummahat al-Mu’minin (isteri-isteri Nabi). Berkata al-Ghazzali: “Justeru, perlu diketahui bahawa sisi jenaka Rasulullah SAW tidak berlaku melainkan dalam bentuk kebenaran, tidak menyakitkan hati, dan tidak juga melampaui batas.”

 

  • Tidak mempermainkan syiar agama

Ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT seperti berikut :

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya: Dan jauhkanlah diri dari orang-orang Yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.

(Surah Al-An’am: 70)

Firman-Nya lagi:

الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْياَ

Maksudnya: (Tuhan berfirman: orang-orang kafir itu ialah) orang-orang Yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan Yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang Yang telah terpedaya Dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).

(Surah Al-A’raf : 51)

Tafsiran ayat-ayat di atas jelas menunjukkan kepada larangan untuk mempermainkan agama dan membuat sesuatu lawak yang mempunyai kaitan dengan ajaran Islam. Hal ini bertujuan untuk menjaga kehormatan agama Islam itu sendiri sepertimana yang telah digariskan dalam maqosid Islam yang dhoruriyyat iaitu menjaga agama.  Hal ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT seperti berikut :

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ

Maknanya: Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa Yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (Dia lah orang Yang bertaqwa) kerana Sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.

(Surah al-Hajj : 32)

Rujuk Al-Kafi #620 : Berlawak Menggunakan Syiar-Syiar Agama

Kesimpulan

Sikap berlawak jenaka adalah fitrah kehidupan manusia yang diciptakan sebagai masyarakat sosial. Islam tidak melarang aktiviti ini selama mana tujuannya adalah kebaikan yang diiktiraf Syarak dan tidak melanggar etika-etika yang telah ditetapkan. Masalah yang berlaku pada hari ini adalah apabila wujudnya lawak jenaka yang tidak berkualiti, yakni yang memiliki pengajaran dan nilai-nilai baik. Begitu juga lawak yang mengenakan orang lain sehingga mengaibkannya, menfitnah, menipu, dilakukan tanpa keizinan dan mencemarkan maruah dirinya dan kenalannya, sehingga menyebabkan masalah tekanan dan kemurungan, sekalipun pelakunya menyebutnya sebagai gurauan. Inilah yang ditegah oleh Islam kerana Islam meletakkan maqasid syariah itu untuk menjaga diri dan kehormatan seseorang manusia. Kesannya, membiaklah fenomena seni yang tidak berkualiti dan memalukan, budaya buli sama ada secara fizikal ataupun siber, dan lain-lain lagi.

Sebaliknya, daripada lawak jenaka yang bermanfaat, selain menghiburkan, audien akan dirangsang untuk berfikir dan mengambil pengajaran di sebalik lawak jenaka yang dibuat menyentuh dan mengkritik sikap dalam pelbagai lapangan hidup dan dengan pengajaran itu menerbitkan motivasi untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang. Ini jenis lawak yang berlaku dipromosikan mengganti lawak-lawak yang rendah kualiti. Justeru, kami mengatakan bahawa hukum berlawak jenaka adalah diharuskan dalam syarak selagi mana menepati kriteria-kriteria yang kami sebutkan di atas.

Wallahua’lam.