Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

Soalan:

Apakah hukum wanita yang berhaid menguruskan jenazah dan pergi ke kubur?

 

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. 

Memandangkan istilah menguruskan jenazah itu agak umum, maka bagi menjawab persoalan ini, kami bahagikan jawapan kepada tiga bahagian:

  • Hukum wanita berhaid memandikan dan mengkafankan jenazah
  • Hukum wanita berhaid mensolatkan jenazah
  • Hukum wanita berhaid mengikuti dan menziarahi jenazah

Hukum wanita berhaid memandikan dan mengkafankan jenazah

Di dalam matan fiqh seperti Safinah al-Naja ada menyebut 10 perkara yang diharamkan ke atas wnaita berhaid iaitu:

  • Solat
  • Tawaf
  • Menyentuh mushaf al-Quran
  • Membawa mushaf al-Quran
  • Membaca al-Quran
  • Puasa
  • Talak
  • Menetap dalam masjid.
  • Melintasi masjid sekiranya dikhuatiri menitis darah haid.
  • Istimta` (bermesraan secara seksual) antara pusat dan lutut.

Perbuatan memandikan dan mengkafankan jenazah tidak termasuk dalam senarai perkara yang diharamkan bagi wanita berhaid. Para ulama juga tidak menyenaraikan syarat sah mandi dan mengkafankan jenazah mestilah orang yang memandikan dan mengkafankan itu orang yang suci daripada hadas kecil atau hadas besar termasuk wanita berhaid.

Berkenaan hukum wanita memandikan jenazah suaminya, maka hukumnya adalah harus. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 211: Batalkah Wuduk Suami Apabila Memandikan Jenazah Isteri ?

 

Hukum wanita berhaid mensolatkan jenazah

Wanita yang berhaid haram melakukan sebarang solat dan solat yang dilakukan dalam keadaan berhaid adalah tidak sah. Ini berdalil hadith daripada Fatimah binti Abu Hubaish R.Anha, dia kedatangan darah istihadhah, lantas Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَ دَمُ الْحَيْضَةِ فَإِنَّهُ دَمٌ أَسْوَدُ يُعْرَفُ فَإِذَا كَانَ ذَلِكَ فَأَمْسِكِى عَنِ الصَّلاَةِ فَإِذَا كَانَ الآخَرُ فَتَوَضَّئِى وَصَلِّى فَإِنَّمَا هُوَ عِرْقٌ

Maksudnya: “Jika darah haidh, ia biasanya hitam. Jika ia bersifat demikian janganlah bersolat dan jika sebaliknya berwudhu’lah dan dirikan solat, kerana darah itu ialah darah penyakit.”

Riwayat Abu Daud (286)

Justeru solat jenazah yang dilakukan oleh wanita yang berhaid adalah tidak sah dan tidak memadai melepaskan tanggungjawab fardu kidayah satu-satu kawasan.

Hukum wanita berhaid mengikuti dan menziarahi jenazah

Pertama: Secara umumnya, wanita adalah dimakruhkan daripada mengikuti jenazah ke perkuburan, sama ada dia berada dalam keadaan haid atau tidak. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ummu Atiyyah R.Anha, katanya:

نُهِينَا عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا

Maksudnya: “Kami ditegah mengiringi jenazah namun ia bukanlah sebagai perintah kepada kami.”                  

Riwayat al-Bukhari (1219) dan Muslim (938)

Sebahagian ulama berpendapat hukumnya adalah haram terutama mereka yang tidak dipertanggungjawabkan untuk mengurus jenazah. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali RA, katanya:

خَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِذَا نِسْوَةٌ جُلُوسٌ فَقَالَ: مَا يُجْلِسُكُنَّ. قُلْنَ نَنْتَظِرُ الْجِنَازَةَ. قَالَ: هَلْ تَغْسِلْنَ؟ قُلْنَ: لاَ. قَالَ: هَلْ تَحْمِلْنَ؟ قُلْنَ: لاَ. قَالَ: هَلْ تُدْلِينَ فِيمَنْ يُدْلِى؟ قُلْنَ: لاَ. قَالَ فَارْجِعْنَ مَأْزُورَاتٍ غَيْرَ مَأْجُورَاتٍ

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW keluar, tiba-tiba Baginda bertemu beberapa orang orang perempuan yang sedang duduk. Baginda bertanya: Apakah yang menyebabkan kamu duduk? Mereka menjawab: Kami sedang menunggu jenazah. Baginda bertanya lagi: Adakah kamu akan memandikannya? Mereka menjawab: Tidak. Adakah kamu akan mengusungnya? Mereka menjawab: Tidak. Baginda seterusnya bertanya: Adakah kamu akan memasukkannya ke dalam kubur? Mereka menjawab: Tidak. Lalu Baginda bersabda: Baliklah. Kamu dalam keadaan bersalah tanpa mendapat ganjaran.”                                               

 Riwayat Ibn Majah (1645)

Hadith tersebut menunjukkan bahawa mereka berdosa dan tidak mendapat ganjaran dengan perbuatan mereka mengiringi jenazah dan menghadiri pengebumian itu. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/260).

Namun begitu terdapat ulama yang mendaifkan hadis ini seperti Imam al-Nawawi, menjadikan hukumnya kekal sebagai makruh. Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab (5/277).

Adapun wanita yang kematian suami, maka haram baginya untuk mengikuti jenazah suaminya ke kubur kerana mereka wajib melaksanakan iddah melainkan kerana hajat atau darurat. Hal ini berdasarkan hadith daripada Ummu `Atiyyah al-Ansariyyah R.Anha, katanya:

كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا، وَلاَ نَكْتَحِلَ وَلاَ نَتَطَيَّبَ وَلاَ نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلاَّ ثَوْبَ عَصْبٍ، وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ، وَكُنَّا نُنْهَى عَنِ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ

Maksudnya: “Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan kematian suami yang dibenarkan berkabung selama empat bulan sepuluh hari. Kami tidak dibenarkan bercelak, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang cantik, berseri melainkan ‘asb (sejenis pakaian perempuan Arab). Ketika mandi setelah suci daripada haidh, kami dibenarkan menggunakan sedikit minyak wangi. Kami juga dilarang untuk mengiringi jenazah.”

Riwayat al-Bukhari (307) dan Muslim (938)

Dalam satu hadis Jabir bin Abdullah RA:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ، فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ، فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي، أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya: "Makcik sebelah ibuku telah diceraikan oleh suaminya, lalu dia ingin memetik buah kurma, namun dia dilarang oleh seorang lelaki untuk keluar rumah." Lalu makcikku itu berjumpa Nabi SAW menanyakan hal itu, maka Baginda menjawab; "Ya, boleh! Petiklah buah kurmamu, semoga kamu dapat bersedekah atau berbuat kebajikan."

Riwayat Muslim (1483)

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: “Kebun tamar orang Ansar dekat dengan rumah mereka dan waktu menuai adalah waktu siang, lalu Baginda membenarkan hal itu.” Rujuk al-Hawi al-Kabir (11/272)

Difahami juga daripada hadis ini bahawa wanita yang ditalaq bain dan kematian suami yakni yang tidak diberikan nafkah, boleh keluar rumahnya untuk mencari nafkah dirinya dan memenuhi hajat dirinya. Ini termasuklah meminta fatwa daripada orang alim, berbual-bual di rumah jiran untuk menghilangkan kesunyiannya dan bersedekah dalam jarak bersebelahan dan berdekatan dengan rumah pelamin mereka, dengan syarat hendaklah dia bermalam di rumah pelamin dan bukan diluarnya.

Antara perkara yang tidak dimasukkan sebagai hajat ialah ziarah kubur. Berkata Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam Hasyiah-nya: “Dan bukan daripada hajat itu perbuatan ziarah, melawat orang sakit sekalipun ibu bapanya. Maka haram ke atas wanita beriddah itu untuk menziarahi dan melawat ibu bapanya yang sakit. Haram juga ziarah kubur para wali dan orang soleh bahkan kubur suaminya sendiri juga tidak boleh.”

Rujuk Hasyiah al-Baijuri (2/259)

Kedua: wanita juga secara umumnya dilarang secara makruh untuk menziarahi kubur. Ini khususnya jika dikhuatiri wanita tersebut tidak dapat mengawal perasan lalu terjebak dalam perbuatan berdosa ketika di kubur seperti meratap dan mencarik-carik baju. Adapun jika diyakini wanita berkenaan akan melakukan dosa, maka hukum menziarahi kubur itu adalah haram bagi wanita itu. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Malik al-Asy’ari RA, Nabi SAW bersabda:

النَّائِحَةُ إِذَا لَمْ تَتُبْ قَبْلَ مَوْتِهَا تُقَامُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَعَلَيْهَا سِرْبَالٌ مِنْ قَطِرَانٍ وَدِرْعٌ مِنْ جَرَبٍ

Maksudnya: “Perempuan yang meratap dan tidak bertaubat sebelum dia mati, dia akan dibangunkan pada hari Kiamat dalam keadaan badannya penuh dengan kurap yang berminyak-minyak.”  

Riwayat Muslim (935)

Begitu juga hadith, daripada Abdullah bin Mas’ud R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَطَمَ الْخُدُودَ، وَشَقَّ الْجُيُوبَ، وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya: “Bukanlah daripada golongan kami mereka yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyak baju dan meratap sebagimana ratapan orang zaman jahiliyah.”

Riwayat al-Bukhari (1232)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

لَعَنَ اللَّهُ زَائِرَاتِ الْقُبُورِ

Maksudnya: “Allah SWT melaknat wanita-wanita yang menziarahi kubur.

Riwayat Abu Daud (3236)

Namun sekiranya wanita tersebut seorang yang diyakini kuat imannya dan aman daripada melakukan kesalahan yang menyalahi adab menziarahi kubur, maka hukum ziarah kubur bagi wanita sebegini adalah tidaklah haram. Ini berdasarkan hadis riwayat Anas bin Malik RA:

مَرَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِامْرَأَةٍ عِنْدَ قَبْرٍ وَهِيَ تَبْكِي فَقَالَ اتَّقِي اللَّهَ وَاصْبِرِي ‏

Maksudnya: Nabi SAW melalui seorang wanita yang sedang menangis di perkuburan. Lalu Baginda bersabda: “Bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah.”

Riwayat al-Bukhari (1252) dan Muslim (926)

Daripada Aisyah RA, bahawa dia bertanya kepada Rasulullah SAW apa yang perlu dibaca apabila menziarahi Perkuburan Baqi`. Rasulullah SAW bersabda:

قُولِي السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلاَحِقُونَ

Maksudnya: Kamu sebutlah: “Selamat sejahtera ke atas ahli negeri ini (perkuburan Baqi`), daripada kalangan orang yang beriman dan Islam. Semoga Allah merahmati mereka yang pergi lebih awal dan yang akan pergi. Sesungguhnya kami pasti, dengan izin Allah, akan menyusuli kalian.”

Riwayat Muslim (974)

Jika hukumnya berziarah kubur haram bagi wanita, nescaya Rasulullah SAW akan menegur wanita berkenaan dan tidak mengajar isterinya Aisyah doa ketika di kubur.

Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:

Namun sunat bagi mereka menziarahi kubur Rasulullah SAW, para anbiya’ dan orang soleh dengan syarat mereka tidak memperagakan diri, bercampur gaul, bersesak-sesak, bersentuhan dengan kaum lelaki dan meninggikan suara yang mungkin membawa fitnah sebagaimana yang banyak berlaku ketika mereka berziarah.”

Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (1/266)

Sebahagian ulama menyatakan hukum sunat juga bagi wanita untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (1/389). Wallahua’lam.

 

Kesimpulan

Berdasarkan keterangan di atas, kami menyatakan bahawa:

  • Harus bagi wanita yang berhaid untuk memandikan dan mengkafankan mayat.
  • Haram bagi wanita yang berhaid untuk menyolatkan jenazah.
  • Makruh bagi wanita, sama ada sedang haid atau tidak, untuk mengiringi jenazah ke perkuburan.
  • Adapun bagi wanita yang kematian suami, haram mengikuti jenazah suaminya ke kubur, sama ada berhaid atau tidak, kerana waktu iddahnya sudah bermula melainkan jika mempunyai hajat atau darurat dalam pengurusan jenazah. Sebetulnya, waris dan tetangga yang lelaki perlu membantu pengurusan jenazah agar isterinya tidak terbeban dan boleh melaksanakan iddahnya dengan tenang.
  • Makruh bagi wanita untuk menziarahi kubur, sama ada berhaid atau tidak, kecuali kubur Rasulullah SAW, maka hukumnya adalah sunat. Juga kubur orang-orang soleh, dan kaum kerabat dengan syarat menjaga adab-adab ziarah. Pendapat lain pula mengatakan haram. Pendapat lain menyatakan harus sekiranya aman daripada fitnah bagi wanita yang sudah tua berdasarkan hadis-hadis dan ini yang lebih sesuai diamalkan pada masa sekarang dengan syarat dijaga adab-adab ziarah. Begitu juga bagi wanita yang sudah tua. Pendapat lain pula mengatakan haram. 

Semoga jawapan ini memberikan manfaat kepada semua pihak. Wallahua’lam.