Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

ih124 5c 20 5c 26736410

Soalan: Apakah hukum menghadiri majlis pengebumian jiran yang bukan beragama Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hukum Menghadiri Majlis Pengebumian Bukan Muslim

Para ulama’ berbeza pandangan dalam menentukan hukum mengiringi jenazah bukan Muslim ke perkuburan mereka.

  1. Harus

Diriwayatkan daripada Saidina ‘Ali bin Abi Talib, beliau mengkhabarkan:

قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ عَمَّكَ الشَّيْخَ الضَّالَّ قَدْ مَاتَ. قَالَ: اذْهَبْ فَوَارِ أَبَاكَ، ثُمَّ لَا تُحْدِثَنَّ شَيْئًا حَتَّى تَأْتِيَنِي. فَذَهَبْتُ، فَوَارَيْتُهُ، وَجِئْتُهُ، فَأَمَرَنِي فَاغْتَسَلْتُ، وَدَعَا لِي

Maksudnya: “Aku berkata kepada Nabi SAW: Sesungguhnya, bapa saudaramu yang tua dan sesat telah meninggal dunia. Baginda bersabda: ‘Pergilah dan kuburkanlah bapamu. Dan, jangan lakukan sesuatu sehinggalah aku sampai.’ Maka aku pun pergi, menguburkannya dan pergi kembali kepada Baginda. Lalu Baginda memerintahkan aku untuk mandi dan Baginda mendoakanku.” (Riwayat Abu Daud, no. 3214)

Imam al-Nawawi menukilkan bahawa Imam al-Syafie dalam Muktasar al-Muzani dan para ulama’ Syafi’iyyah menghukumkan harus bagi Muslim untuk mengiringi jenazah kerabat yang kafir dan harus juga menziarahinya menurut pandangan yang diputuskan oleh jumhur ulama’. (Lihat al-Majmu’, 5/144)

Menurut Imam al-Nawawi: “Tidak mengapa seorang Muslim mengiringi jenazah kerabat bukan Muslim.” (Lihat Minhaj al-Talibin, m. 62)

Al-Khatib al-Syarbini menukilkan kata-kata al-Isnawi bahawa tidak ada dalil akan kemutlakan kerabat kerana Ali semasa hidupnya menyara kehidupan bapanya, maka sama juga apabila kematiannya, beliau menjalankan tanggungjawabnya. Dapat difahami daripada perkataan penyusun ini bahawa haram bagi Muslim untuk mengiringi jenazah kafir yang bukan kerabat sebagaimana dijelaskan oleh al-Syasyi. Termasuk juga dalam maksud kerabat adalah isteri dan tawanan sebagaimana pandangan al-Azra’ie. Terdapat perbincangan samada jiran juga termasuk dalam kategori kerabat. Menurut pandangan yang terpilih, jiran dikira juga sebagai kerabat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/48)

Menurut Imam Syamsuddin al-Ramli, tidak mengapa untuk mengiringi jenazah kaum kerabat bukan Muslim dengan berhujahkan hadith di atas. Kerabat di sini adalah yang hampir menurut al-Azra’ie seperti isteri dan tawanan, begitu juga hamba dan jiran tetangga. (Lihat Nihayat al-Muhtaj, 3/187)

Dibolehan bagi Muslim untuk melihat jenazah bukan Muslim dan mengiringinya ke kuburan sekiranya jenazah itu adalah yang hampir kepada seperti ibu, bapa atau saudara atau yang mempunyai hubungan kerabat dengannya.

  1. Haram

Berdasarkan kisah kematian Abu Talib, bapa saudara Nabi yang meninggal dunia dan Baginda SAW bersabda kepada Ali RA:

اذْهَبْ فَوَارِ أَبَاكَ ثُمَّ لاَ تُحْدِثَنَّ شَيْئًا حَتَّى تَأْتِيَنِي

Maksudnya: "Pergilah dan kuburkanlah bapamu. Dan, jangan lakukan sesuatu sehinggalah aku sampai." (Riwayat Abu Daud, no. 3214 & al-Nasa’ie, no. 2006)

Rasulullah SAW hanya mengarahkan Ali RA untuk mengebumikan bapanya (Abu Talib) bahkan Rasulullah SAW tidak pula hadir untuk mengiringi jenazah bapa saudaranya itu dan tidak pula hadir pada hari pengebumiannya.

Ini juga adalah pendapat al-Imam Malik rahimahullah sebagaimana katanya: “Tidaklah seorang muslim itu memandikan jenazah ayahnya jika matinya itu di dalam kafir, tidaklah juga mengiringi jenazahnya, tidaklah juga memasuki ke dalam kuburnya…” (Lihat al-Mudawwanah, 1/261]

Para ulama Hanabilah juga berpegang dengan pandangan sebegini sebagaimana yang dinyatakan: “Tidaklah seorang muslim itu memandikan jenazah orang kafir kerana larangan memberikan kesetiaan kepada mereka kerana di dalamnya terdapat unsur mengagung dan menyucikan mereka. Ianya seperti solat ke atas mereka”.

Seterusnya disebutkan: “Tidaklah dikafankan mereka, tidak disolatkan mereka dan tidak juga mengiringi jenazah mereka”. (Lihat Syarh al-Muntaha al-Iradat, 1/347)

Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah di atas, kami lebih cenderung kepada pandangan mazhab Syafie yang mengharuskan Muslim untuk mengiringi jenazah orang kafir ke kuburan. Jiran juga dikategorikan sebagai kerabat sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Azra’ie. Maka, hukum bagi Muslim menghadiri majlis pengebumian jenazah jiran bukan Muslim adalah harus. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa adab dan garis panduan perlu diberi perhatian.

Antaranya adalah:

  1. Dibolehkan untuk mengucapkan takziah kepada keluarga si mati dengan nasihat dan kata-kata berbentuk sokongan.
  2. Dibolehkan untuk memberi sumbangan kewangan kepada keluarga si mati bagi keperluan seharian seumpama nafkah, kos perubatan dan lain-lain. Sekiranya ia dibelanjakan untuk tujuan-tujuan yang diluar pengetahuan seperti perkara yang melibatkan upacara keagamaan, Muslim tersebut tidaklah berdosa. Ini kerana itu disebut oleh para fuqaha sebagai infikak al-jihah (terpisahnya bahagian). Ini diqiyaskan dengan keharusan hukum jual beli dengan bukan Muslim dan bersedekah kepada mereka, tanpa diketahui ke mana wang tersebut digunakan.
  3. Tidak terlibat dengan sebarang upacara yang bertentangan dengan Syariat Islam.
  4. Tidak menunjukkan pengagungan kepada jenazah seperti menunduk kepada gambar atau jenazah.
  5. Tidak mendoakan keselamatan di akhirat kepada jenazah bukan Muslim kerana keimanan kita dan bukan Muslim adalah berbeza. Justeru, tidak ada keperluan untuk mendoakan sesuatu yang tidak diimani oleh mereka.