Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
MEDIA
MUFTI
WILAYAH
PERSEKUTUAN

 

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan doa ini “Ya Allah, akhirilah pengakhiranku ini dengan pengakhiran yang baik”?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Antara tujuan utama penciptaan manusia adalah agar mereka mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Di dalam al-Qur’an ada diceritakan bahawa dunia merupakan tempat persinggahan bagi setiap insan dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke alam akhirat iaitu tempat yang kekal abadi. Berdasarkan firman Allah SWT:

 

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

[al-Syura:20]

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”

 

Walaubagaimanapun, terdapat sebuah hadith yang menunjukkan bahawa setiap amalan itu dilihat atau dinilai pada pengakhiran hidup seseorang itu jika baik maka baiklah dan jika buruk maka buruklah. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam sahihnya:

 

  • Sabda Rasulullah SAW:

 

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.” [Riwayat al-Bukhari (6607)]

 

Berdasarkan soalan di atas, lafaz doa yang dimaksudkan adalah seperti ini:

 

اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة

Maksudnya: “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik) dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

 

Setakat pencarian yang kami lakukan berkaitan status doa ini, maka kami nyatakan bahawa kami tidak mendapati atau menemui nas hadith daripada Nabi SAW berkaitan lafaz doa seperti di atas itu. Akan tetapi, di dalam doa terdapat keluasan dan boleh berdoa dengan apa jua meskipun lafaznya tidak di ajar oleh Nabi SAW selagimana makna doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama.

 

Ini kerana, terdapat sebuah hadith yang makna hadith tersebut sama seperti lafaz doa di atas. Tambahan pula, hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban yang mana ia menunjukkan bahawa Nabi SAW pernah berdoa agar diwafatkan dalam keadaan atau kesudahan hidup yang baik serta agar dijauhkan daripada kehinaan dunia dan juga azab api neraka.

 

  • Daripada Busr bin Arthoh berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

 

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat.” [Riwayat Ibn Hibban (949)]

 

Penutup

Kesimpulannya, doa merupakan salah satu ibadah yang hebat kerana ia berhubung terus kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja walaupun sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang daripada Allah SWT dan Nabi SAW. Kita boleh berdoa dengan apa jua doa sekalipun selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Selain itu juga, kita juga perlu meraikan beberapa adab-adab, syarat-syarat dan garis panduan di dalam berdoa agar doa yang dipanjatkan itu merupakan satu doa yang berkualiti tinggi. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua pengakhiran yang baik serta menjauhkan kita daripada segala kehinaan sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amin.

 

Wallahua’lam

 

 

e fatwa
e kiblat
e tauliah
aktiviti

Bilangan Pelawat

Hari Ini : 934

Minggu Ini : 10122

Bulan Ini : 21869

Keseluruhan : 9813362

  • Kerajaan Malaysia MAMPU JPA JAKIM JAWHAR 1 Malaysia
  • JKSM MSC IIM BPA SPA Tabung Haji