Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PROGRAM IHYA' RAMADAN JMWP DI WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

LABUAN, 25 MAC 2025 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) Labuan meneruskan Program Ihya’ Ramadan 1446H dengan pelbagai pengisian bermanfaat, antaranya siaran langsung Segmen Bicara Eksklusif di LabuanFM, Majlis Khatam al-Quran di Musalla al-Kaafiy, serta sesi tazkirah Isyak di masjid-masjid sekitar Labuan. Dalam segmen di LabuanFM, Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, membincangkan pelaksanaan program Ramadan oleh JMWP berlandaskan konsep Malaysia MADANI dan Pelan Al-Falah JAKIM.

Program diteruskan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan yang melibatkan 400 pelajar dan kakitangan dengan sesi soal jawab berkaitan hukum dan fatwa. Pada sebelah petang, Majlis Khatam al-Quran di Musalla al-Kaafiy dihadiri sekali lagi oleh SS Tuan Haji Jamali dan rombongan dari Ibu Pejabat. Program dimulakan dengan solat Asar berjemaah, diikuti dengan khatam al-Quran serta pengisian taujihat MADANI oleh Ustaz Ahmad Noor Syaiful Azmi Mohammad Noor.

Majlis ini turut meraikan para qari yang mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran serta menyantuni ahli kariah yang kehilangan keluarga dan ditimpa musibah banjir dengan pemberian sumbangan. Pada sebelah malam, program Ihya’ Ramadan diakhiri dengan sesi tazkirah selepas solat Isyak di Masjid Jamek Layang-Layangan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan, manakala di Masjid Al-Munawwar Pohon Batu oleh Tuan Haji Mohamad Muslim bin Hashim, Pegawai Hal Ehwal Islam JMWP.

Program ini berjaya mengeratkan hubungan antara masyarakat dan institusi agama dalam menyebarkan kefahaman Islam serta menyemarakkan semangat Ramadan. Semoga usaha ini terus memberi manfaat kepada umat Islam di Wilayah Persekutuan Labuan.