Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1448H/2026M

SELANGOR, 25 Ogos 2026 – Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M telah berlangsung dengan penuh penghayatan di bawah tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, serta turut diserikan dengan kehadiran YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) turut terlibat dalam menjayakan majlis tersebut. Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah memenuhi undangan bagi memimpin bacaan doa dalam majlis berkenaan.

Sambutan Maulidur Rasul SAW pada tahun ini menjadi wadah untuk memperingati dan menghayati perjuangan, sirah serta akhlak mulia Rasulullah SAW, di samping memperkukuh kecintaan umat Islam terhadap Baginda. Tema “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” turut menekankan kepentingan penghayatan nilai-nilai murni dan ajaran Islam dalam membentuk masyarakat yang sejahtera, berintegriti dan saling menghormati.

Penglibatan JMWP dalam majlis ini mencerminkan komitmen Jabatan dalam menyokong usaha memperkukuh penghayatan Islam serta menyemarakkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW dalam kalangan masyarakat. Majlis ini turut menjadi platform untuk memperkukuh kesatuan dan kebersamaan umat Islam dalam membina ummah yang berakhlak, sejahtera dan diberkati.