Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 40/2025: KEPENTINGAN MAQASID IFHAM DAN WUDUH DALAM DASAR PENGGUNAAN BAHASA MELAYU OLEH INSTITUSI KEWANGAN

 TintaMufti.jpg

 

KEPENTINGAN MAQASID IFHAM DAN WUDUH DALAM DASAR PENGGUNAAN BAHASA MELAYU OLEH INSTITUSI KEWANGAN

 

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan arahan tegas agar semua institusi kewangan di negara ini mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu dalam menzahirkan maklumat produk kepada pengguna. Arahan ini, pada zahirnya, adalah dasar pentadbiran dan bahasa. Namun dari sudut syariah, ia mengandungi hikmah yang besar, selari dengan maqasid syariah, khususnya dalam aspek maqasid al-ifham dan al-wuduh iaitu memastikan kefahaman yang jelas terhadap sesuatu hukum, akad dan maklumat. Dalam ruangan Tinta Mufti ini, kami menyoroti kepentingan dasar ini menurut neraca maqasid syariah serta implikasinya terhadap keadilan, kemaslahatan dan kebaikan untuk pengguna.

Tujuan besar syariah ialah membawa maslahah kepada manusia dan mengangkat segala bentuk kesulitan. Syariah tidak diturunkan untuk membebankan, tetapi untuk memandu manusia dengan kefahaman yang jelas, mudah dan mampu diamalkan. Apabila akad, kontrak dan produk kewangan disampaikan dalam bahasa yang pengguna tidak benar-benar mengerti, maka berlakulah kekeliruan, salah faham, kerugian dan potensi kezaliman. Ini bercanggah dengan maqasid syariah khususnya dalam aspek hifz al-mal dan hifz al-‘aql.

Maqasid al-Ifham dan al-wuduh ialah antara cabang maqasid yang menekankan bahawa syariat dan maklumat mesti disampaikan dengan bahasa dan gaya yang boleh difahami oleh semua. Dalam tradisi ulama, konsep ini berpaksi pada kaedah:

مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِب
Maksudnya:
“Perkara yang tidak sempurna sesuatu kewajiban melainkan dengannya, maka ia juga menjadi wajib.”

Dalam konteks urusan kewangan pengguna wajib memahami akad, terma, caj dan risiko. Kefahaman ini tidak tercapai tanpa bahasa yang dekat dengan jiwa dan pemikiran mereka. Justeru penzahiran maklumat dalam Bahasa Melayu adalah wasilah yang wajib bagi mencapai tujuan syariah iaitu keadilan dan perlindungan harta.

Arahan BNM ini sangat bertepatan dengan semangat maqasid syariah kerana ia Menghapuskan kekeliruan dan menguatkan kefahaman (رفع الجهالة). Ramai pengguna di luar bandar, warga emas, golongan berpendapatan rendah atau pertengahan lebih selesa dengan Bahasa Melayu. Dengan BM sebagai medium utama, maklumat tidak lagi menjadi kabur atau bersifat eksklusif.

Penggunaan BM dalam produk kewangan menjadikan institusi kewangan lebih mesra pengguna, lebih bertanggungjawab dan lebih inklusif. Dalam Islam, pemartabatan bahasa yang difahami umum adalah bentuk maslahat yang sangat digalakkan. Bagi memastikan dasar ini benar-benar mencapai tujuan maqasid al-ifham dan al-wuduh, beberapa perkara disarankan iaitu semua dokumen rasmi hendaklah mempunyai versi BM yang lengkap dan bukan ringkasan. Selain itu, Istilah kewangan syariah perlu distandardkan dalam bahasa Malaysia.

Langkah yang diambil oleh BNM ini amat dialu-alukan dan wajar dipuji kerana berpotensi membawa manfaat besar kepada tadbir urus kewangan selaras dengan kerangka maqasid syariah dalam konteks kewangan moden. Penggunaan Bahasa Melayu dalam penzahiran produk kewangan bukanlah isu bahasa semata-mata, tetapi ia berkait rapat dengan kefahaman dan menjaga hak pengguna di samping memartabatkan bahasa kebangsaan. Semoga dasar ini membawa kebaikan berpanjangan kepada rakyat dan memperkukuh integriti sektor kewangan negara selaras dengan tuntutan syariah.

Wallahu A‘lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
17 JAMADILAKHIR 1447H / 8 DISEMBER 2025