Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 42/2025: ISU PENYALAHGUNAAN DANA ZAKAT WAKALAH

TintaMufti.jpg

ISU PENYALAHGUNAAN DANA ZAKAT WAKALAH

Zakat Wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada individu atau entiti yang membayar zakat di Pusat Pungutan Zakat-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.[1]

Dalam hal ini, MAIWP akan mengembalikan kepada pembayar zakat sebahagian daripada dana zakat supaya pembayar zakat tersebut dapat mengagihkan sendiri kepada asnaf yang berkelayakan. Pembayar zakat yang juga merupakan pemegang wakalah bertindak sebagai wakil bagi MAIWP untuk mengagihkan zakat. Oleh itu, pemegang wakalah hendaklah meneliti pengagihan dana tersebut agar ia benar-benar sampai kepada pihak yang layak sahaja.

Walau bagaimanapun, mekanisme Zakat Wakalah ini membuka ruang kepada risiko integriti yang serius terutamanya apabila berlaku bentuk-bentuk penyalahgunaan oleh wakil akibat pelanggaran syarat wakalah. Antara penyalahgunaan yang berlaku ialah pengagihan yang dibuat kepada pihak yang tidak layak menerimanya atau dengan cara yang menguntungkan pihak pembayar zakat sendiri.

Pelanggaran Syarat Pengagihan

Perkara paling asas dalam Wakalah Zakat ialah dana tersebut bukanlah wang derma atau sedekah umum. Ia kekal sebagai wang zakat yang wajib diagihkan kepada asnaf yang layak seperti dalam firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Taubah (60)

Tambahan pula, pemegang wakil wakalah sebagai wakil kepada wajib memenuhi syarat wakalah yang ditetapkan oleh muwakkil iaitu MAIWP. Dalam konteks di Wilayah Persekutuan, asnaf yang layak menerima agihan zakat melalui wakalah adalah seperti berikut:

  1. Fakir
  2. Miskin
  3. Muallaf (Beragama Islam dan bukan beragama Islam yang cenderung hatinya kepada ajaran Islam)
  4. Fisabilillah
  5. Ar-Riqab
  6. Ibnu Sabil[2]

Oleh yang demikian, menyalurkan wang zakat kepada individu yang tidak berkelayakan atau menggunakan dana wakalah untuk perkara umum seperti membiayai tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang bersifat umum, jamuan makan malam syarikat atau hadiah cabutan bertuah merupakan salah satu penyalahgunaan dana zakat kerana ia tidak menepati sasaran asnaf dan dikhuatiri menyebabkan zakat tersebut tidak sah. Penyalahgunaan seperti ini juga bercanggah dengan maqasid utama daripada kewajipan zakat iaitu menyucikan jiwa pembayar zakat. Firman Allah SWT:

خُذۡ مِنۡ أَمۡوَٰلِهِمۡ صَدَقَةٗ تُطَهِّرُهُمۡ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيۡهِمۡۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٞ لَّهُمۡۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ 

Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Selain itu, penyalahgunaan harta zakat juga dikategorikan sebagai ghulul iaitu perbuatan khianat yang dilakukan seseorang dengan mengambil harta secara diam-diam dengan menggelapkannya sebelum proses pembahagian dibuat dan tanpa keizinan pemerintah. Allah SWT telah memberi ancaman kepada mereka yang mengambil sesuatu barang secara ghulul dalam firman-Nya:

وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).”

Surah Ali Imran (161)

Imam al-Zahabi dalam kitabnya “al-Kaba’ir” menyenaraikan ghulul iaitu pengkhiatan terhadap harta baitulmal atau harta zakat termasuk dalam salah satu dosa besar.[3]

Kesimpulan

Para pemegang wakalah dinasihatkan supaya berlaku jujur dan telus. Dana zakat wakalah ialah amanah Allah SWT dan amanah institusi zakat. Setiap sen yang diagihkan hendaklah direkodkan dan dilaporkan kembali kepada MAIWP bagi tujuan audit dan pemantauan. Jangan sesekali mencemarkan ibadah zakat yang suci dengan unsur-unsur penyalahgunaan demi keuntungan duniawi.

WaAllahua’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
18 JAMADILAKHIR 1447H / 9 DISEMBER 2025
 
 

Rujukan: 

[1] Sila lihat: https://www.zakat.com.my/info-zakat/wakalah/

[2] Sila lihat: https://mywakalah.zakat.com.my/faqs

[3] Muhammad bin Ahmad bin Uthman al-Zahabi, al-Kaba’ir (Beirut: Dar al-Nadwah al-Jadidah, t.t), 94.

‌‌الْكَبِيرَة الثَّانِيَة وَالْعشْرُونَ الْغلُول من الْغَنِيمَة وَهِي من بَيت المَال وَمن الزَّكَاة