Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 64/2026: AUTORITI FATWA, KEPERLUAN MERUJUK MUFTI DALAM ERA ARTIFICIAL INTELLIGENCE (AI)

TintaMufti.jpg

 

AUTORITI FATWA, KEPERLUAN MERUJUK MUFTI DALAM ERA ARTIFICIAL INTELLIGENCE (AI)

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Keupayaan kecerdasan buatan (AI) berkembang pesat dan telah diaplikasi dalam banyak aspek kehidupan termasuk dalam konteks keagamaan dan kefatwaan. Walau bagaimanapun, dalam aspek kefatwaan seseorang tidak boleh hanya bergantung kepada aplikasi AI sahaja seperti ChatGPT, Gemini dan seumpamanya. Hal ini kerana semua aplikasi tersebut tidak mempunyai keupayaan yang ada pada manusia dan ia hanyalah alat bantu untuk memudahkan dan mempercepat kerja-kerja penghimpunan dan analisa sahaja.

Dalam hal ini, AI tidak layak untuk mengambil sepenuhnya peranan mufti sebenar kerana beberapa aspek iaitu ia bukan mukallaf, ia tidak memiliki niat, amanah dan tanggungjawab syarie, serta ia tidak boleh berijtihad dalam makna yang sebenar. Selain daripada itu, fatwa bukan sekadar jawapan hukum berdasarka data dan fakta semata-mata, bahkan ia melibatkan hubungan dan sentuhan kemanusiaan seperti empati, pertimbangan keadaan individu, darurat, tekanan jiwa dan implikasi sosial. Sudah tentu AI tidak akan mampu memahami dimensi ini kerana tidak termasuk dalam pemprosesan maklumatnya.

Disamping itu juga, AI terdedah kepada banyak kelemahan dan kesalahan. Apatah lagi sekiranya input teks dan soalan adalah tidak jelas maka ia berisiko menghasilkan rujukan palsu, menisbahkan pandangan kepada ulama tanpa sumber sahih atau mengubah konteks nas dan dalil. Hal ini jika tiada rujukan silang dan semakan daripada seseorang yang berautoriti dalam bidang agama akan menyebabkan kekeliruan dan kesalahfahaman yang besar. Oleh yang demikian, AI secara bersendiriannya tidak boleh untuk dijadikan satu-satunya rujukan dalam mengambil hukum syarak, bahkan wajib untuk merujuk kepada mufti yang sebenar.

Namun, tidak dinafikan bahawa AI juga memberi bantuan dan berfungsi sebagai alat sokongan yang penting kepada mufti dan institusi fatwa. Antara kelebihan utamanya ialah:

  • Membantu Tasawwur Masalah

Dalam kaedah Fiqh menyatakan bahawa ‘hukum ke atas sesuatu adalah cabang daripada tasawwur yang tepat’. Oleh yang demikian, AI mampu menganalisis data besar, laporan dan realiti semasa bagi membantu mufti memahami isu secara menyeluruh sebelum mengeluarkan hukum

  • Memudahkan Penyelidikan dan Rujukan

Dalam hal ini, AI mampu untuk Mengklasifikasikan fatwa dan pandangan ulama mengikut topik dan mazhab, menyaring teks fiqh, hadis dan tafsir untuk mengenal pasti dalil dan khilaf, menjejaki perkembangan pandangan fiqh dari masa ke masa. Ini menjimatkan masa dan membolehkan mufti memberi tumpuan kepada analisis, tarjih dan pertimbangan maqasid.

  • Memperbaiki Penyampaian Fatwa

Dalam aspek ini pula, AI boleh membantu mempersembahkan fatwa dalam bentuk yang lebih mudah difahami, interaktif dan sesuai dengan tahap pendidikan dan latar belakang masyarakat, tanpa mengubah kandungan hukum. Oleh itu, fatwa yang dikeluarkan dapat menarik perhatian masyarakat untuk dibaca dan dirujuk dalam menyelesaikan permasalahan seharian yang dilalui.

Kesimpulan

Kesimpulannya, autoriti dalam memberikan fatwa adalah mufti sebenar yang merupaka seorang mukallaf dan mempunyai sentuhan manusiawi yang sangat penting dalam mempertimbangkan sesuatu hukum. Oleh yang demikian, masyarakat tidak boleh untuk hanya bergantung dan bersandarkan jawapan hukum yang dikeluarkan oleh aplikasi AI kerana ia tidak berautoriti, mempunyai banyak kelemahan dan berisiko besar membawa kepada penyelewengan. Namun begitu, AI tetap mempunyai fungsi dan manfaatnya yang tersendiri dalam membantu mufti dan institusi fatwa dalam mengeluarkan fatwa. Oleh itu, setiap perkara hendaklah diletakkan pada mizannya yang tepat dan tidak menyalahgunakan pada bukan tempat yang betul.

Waallahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

25 REJAB 1447H / 15 JANUARI 2026