
JADILAH PENIAGA YANG BERTANGGUNGJAWAB DAN MENJAGA KESELAMATAN SERTA KUALITI MAKANAN
Mukadimah
Mutakhir ini tular di media sosial sebuah rakaman video berkaitan kejadian keracunan makanan yang berlaku selepas satu majlis berbuka puasa. Kejadian seperti ini bukanlah perkara baharu dan sering berlaku khususnya apabila melibatkan penyediaan makanan secara besar-besaran seperti katering, jamuan atau bazar Ramadan.
Perkara ini sewajarnya dijadikan peringatan kepada semua pihak, khususnya para peniaga makanan, pengusaha katering serta penganjur majlis. Dalam Islam, isu penyediaan makanan bukan sekadar persoalan kesihatan atau peraturan pihak berkuasa, bahkan ia juga berkait rapat dengan amanah, tanggungjawab serta hukum syarak dalam urusan muamalat.
Amanah Dalam Perniagaan Menurut Islam
Islam mengangkat tinggi nilai amanah dalam perniagaan. Peniaga yang jujur dan amanah diberikan kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda:
التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ وَالصِّدِّيقِينَ وَالشُّهَدَاءِ
Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang-orang siddiq dan para syuhada.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini menunjukkan bahawa aktiviti perniagaan boleh menjadi ibadah yang tinggi nilainya apabila dilakukan dengan penuh amanah dan kejujuran.
Sebaliknya, jika seseorang peniaga bersikap cuai atau mengabaikan keselamatan pengguna, sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain, maka perbuatan tersebut termasuk dalam bentuk kezaliman yang ditegah oleh syarak.
Menjaga Kualiti Makanan Merupakan Tuntutan Syariah
Islam juga menegaskan bahawa seseorang peniaga tidak boleh menyembunyikan kecacatan atau kerosakan pada barang yang dijual. Dalam sebuah hadis yang masyhur, Rasulullah SAW pernah melalui seorang penjual makanan lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati bahagian bawahnya basah. Baginda lalu bersabda:
مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kami.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Para ulama menjelaskan bahawa larangan tersebut merangkumi semua bentuk penipuan dalam urusan perniagaan. Oleh itu, hadis ini diletakkan di bawah tajuk bab larangan menipu dalam jual beli.[1] Hal ini termasuk perbuatan menyembunyikan kecacatan barang, menjual makanan yang tidak selamat dimakan, mengabaikan kualiti dan kebersihan makanan serta melakukan perkara yang boleh memudaratkan pengguna.
Dalam konteks semasa, menjaga kualiti makanan menuntut para peniaga memastikan kebersihan dapur dan peralatan memasak sentiasa terpelihara, mengendalikan makanan dengan cara yang betul, menyimpan makanan pada suhu yang sesuai serta menggunakan bahan mentah yang segar dan selamat. Kecuaian dalam aspek-aspek ini boleh menyebabkan keracunan makanan yang akhirnya membahayakan kesihatan orang ramai.
Ihsan Dalam Menangani Kemudaratan
Dalam kejadian yang tular tersebut, tindakan pihak Masjid Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bersedia menanggung kos rawatan mereka yang mengalami keracunan makanan adalah satu sikap yang terpuji.
Tindakan tersebut menggambarkan nilai tanggungjawab, ihsan serta keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat. Ia juga selari dengan prinsip syariah yang menuntut agar kemudaratan yang berlaku diusahakan untuk diperbaiki dan dirawat.
Sikap seperti ini wajar dicontohi oleh semua pihak agar setiap isu yang timbul dapat ditangani dengan penuh tanggungjawab dan hikmah. Amalan terpuji ini selari dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”
(Surah al-Nahl: 90)
Nasihat Kepada Para Peniaga
Sehubungan dengan itu, kami ingin menasihatkan para peniaga makanan agar sentiasa memelihara amanah dalam perniagaan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah:
- Menjaga kebersihan dan keselamatan makanan dalam setiap proses penyediaan.
- Tidak mengambil mudah aspek kesihatan pengguna walaupun dalam keadaan permintaan yang tinggi.
- Mengutamakan keberkatan rezeki berbanding keuntungan semata-mata.
- Sentiasa mengingati pengawasan Allah SWT dalam setiap urusan perniagaan.
- Perniagaan yang dilakukan dengan penuh amanah bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, bahkan menjadi sumber rezeki yang diberkati oleh Allah SWT.
Penutup
Sesungguhnya Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan kejujuran dan amanah dalam urusan muamalat. Peniaga makanan khususnya memikul tanggungjawab yang besar kerana apa yang mereka sediakan akan dimakan oleh orang ramai dan memberi kesan kepada kesihatan mereka.
Oleh itu, setiap peniaga hendaklah memastikan bahawa makanan yang dijual adalah bersih, selamat dan berkualiti. Semoga setiap usaha yang dilakukan dengan penuh amanah akan mendapat keberkatan serta ganjaran yang besar di sisi Allah SWT.
Wallahu a'lam
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
25 RAMADAN 1447H / 15 MAC 2026
Rujukan:
[1] Al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami’ al-Tirmizi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t.), jld. 4: hlm. 453.