Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 97/2026: ADAT RUMAH TERBUKA HARI RAYA: ANTARA BUDAYA DAN AGAMA

TintaMufti.jpg

ADAT RUMAH TERBUKA HARI RAYA: ANTARA BUDAYA DAN AGAMA

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Amalan rumah terbuka pada hari perayaan adalah satu tradisi dan budaya unik yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Adat ini mendorong masyarakat untuk menghidupkan budaya ziarah-menziarahi, sekali gus mengeratkan hubungan yang mungkin jarang dapat dijalinkan pada hari-hari biasa. Hakikatnya, amalan ini adalah satu bentuk perbuatan mulia yang selari dengan tuntutan ajaran Islam.

Dari perspektif syarak, perbuatan memberi jamuan dan memuliakan tetamu ini bertepatan dengan pelbagai dalil daripada al-Quran dan Sunnah. Ia turut menjadi medium menyuburkan amalan sedekah serta memperkukuh hubungan silaturrahim dan kejiranan yang amat dituntut dalam Islam. Oleh itu, amalan rumah terbuka ini wajar dihayati sebagai suatu bentuk ibadah yang mampu menambah ganjaran pahala, dan bukan sekadar dilihat sebagai budaya keraian tahunan semata-mata. Dalam masa yang sama, ia juga perlu dilaksanakan dengan penuh adab dan mematuhi batas syarak agar tidak menjadi sebab berlakunya perkara yang boleh mengurangkan pahala, apatah lagi bertukar menjadi penambah dosa kepada pelakunya.

Amalan-Amalan Yang Mendapat Pahala

Amalan rumah terbuka akan membuahkan pahala yang berlipat ganda apabila dilaksanakan selari dengan anjuran syarak serta tidak melanggar batasan yang telah ditetapkan. Intipati utama amalan ini terletak pada kemuliaan menyediakan juadah Aidilfitri, yang bukan sekadar hidangan buat tetamu, malah merupakan satu bentuk sedekah sukarela yang amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT, terutamanya apabila turut disantuni golongan yang kurang berkemampuan.

Di samping itu, penganjuran majlis seumpama ini bertindak sebagai wasilah yang menghubungkan semula tali silaturahim dan mempererat ukhuwwah sesama saudara mara dan jiran tetangga. Hal ini jelas menunjukkan bahawa tradisi rumah terbuka bukan sekadar keraian budaya, tetapi merupakan manifestasi tuntutan Islam yang amat menganjurkan keharmonisan dan persaudaraan dalam kehidupan bermasyarakat. Hal ini bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

يا أيُّها الناسُ أفشوا السلامَ وأطعِموا الطعامَ وصِلُوا الأرحامَ وصَلُّوا بالليلِ والناسُ نيامٌ تدخلوا الجنةَ بسلامٍ

Maksudnya: Wahai manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan (kepada orang lain), hubungkanlah silaturrahim, dan solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur; nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera (selamat).

(Riwayat al-Tirmidzi)

Begitu juga amalan ini turut merangkumi perbuatan meraikan dan memuliakan tetamu yang sangat dianjurkan di dalam Islam. Islam memandang tinggi perbuatan melayani tetamu kerana ia melibatkan pengorbanan masa, tenaga dan harta demi menggembirakan orang lain.

Apabila seseorang melapangkan dadanya dan membuka pintu rumahnya dengan senyuman, dia sebenarnya sedang mempraktikkan sifat pemurah yang terpuji. Malah kedatangan tetamu akan membawa berkat dan rahmat. Bahkan Rasulullah SAW mengaitkan perbuatan meraikan dan memuliakan tetamu ini dengan keimanan kepada Allah SWT dan Hari Akhirat. Sabda Baginda SAW:

من كان يُؤْمِنُ باللهِ واليومِ الآخرِ فلْيُكْرِمْ ضيفَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Amalan-Amalan Yang Perlu Dielakkan

Walau bagaimanapun, amalan rumah terbuka ini mestilah dipastikan agar tidak dicemari oleh sebarang perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Antara syarat yang paling utama ialah keikhlasan niat semata-mata kerana Allah SWT, di mana penganjurannya tidak seharusnya bertujuan untuk riyak, bermegah-megah mahupun menunjuk-nunjuk kemewahan diri demi meraih pujian manusia. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ تعالى لا يَقْبَلُ مِنَ العملِ إلَّا ما كان له خالصًا، وابْتُغِيَ بِهِ وِجْهَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amal perbuatan melainkan apa yang dilakukan dengan ikhlas bagi-Nya dan bertujuan untuk mencari keredaan-Nya.

(Riwayat al-Nasa’i)

Selain daripada menjaga kesucian niat, aspek kesederhanaan juga perlu dititikberatkan bagi mengelakkan amalan tabzir atau pembaziran makanan yang sangat dilarang dalam Islam. Tuan rumah sewajarnya merancang hidangan mengikut kadar keperluan dan kemampuan, bukannya berlumba-lumba menyediakan menu yang melampaui batas sehingga akhirnya terbuang sia-sia. Islam amat menekankan konsep kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan, termasuklah dalam urusan menjamu tetamu.

Apabila seseorang terjebak dalam budaya bermegah-megah, fokus asal majlis untuk menyambung silaturrahim dan meraih keberkatan akan beralih kepada persaingan material yang sia-sia. Oleh itu, tuan rumah yang bijak adalah mereka yang menghidangkan juadah secara munasabah, di mana kemuliaan majlisnya tidak diukur pada jumlah menu yang mahal, tetapi pada keikhlasan layanan dan keberkatan doa yang ditinggalkan oleh para tetamu.

Di samping itu, seseorang tidak perlu memaksa diri untuk mengadakan rumah terbuka sekiranya tidak berkemampuan sehingga mendatangkan masalah kewangan di masa hadapan. Islam adalah agama yang sangat praktikal dan tidak sesekali membebankan penganutnya dengan amalan yang di luar batas kemampuan. Tindakan berhutang atau menghabiskan simpanan kecemasan semata-mata untuk menjaga imej di mata masyarakat adalah perbuatan yang menyimpang daripada hikmah sebenar Aidilfitri. Dalam hal ini, semua perkara adalah digalakkan dengan syarat tidak membawa kepada kemudaratan kepada hak dan kewajipan diri sendiri.

Adab-Adab Tetamu Menghadiri Rumah Terbuka

Menghadiri rumah terbuka merupakan satu amalan yang mulia, namun ia perlulah diiringi dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syarak agar kehadiran kita membawa rahmat, bukannya bebanan kepada tuan rumah. Berikut adalah beberapa adab-adab tetamu yang perlu diberikan perhatian:

1. Memilih Waktu yang Sesuai

Tetamu hendaklah peka dalam memilih waktu kunjungan dan mengelakkan waktu-waktu privasi seperti lewat petang sehingga maghrib atau terlalu lewat malam yang merupakan waktu untuk berehat. Menghormati waktu tuan rumah adalah perintah Allah SWT agar tidak menimbulkan kesulitan kepada penghuni rumah dalam menguruskan hal peribadi mereka. Hal ini selari dengan firman Allah SWT dalam Surah An-Nur, ayat 58 yang menyebut tentang tiga waktu yang menjadi aurat atau privasi bagi ahli keluarga iaitu waktu sebelum subuh, tengahari dan selepas Isyak. Hal ini mengajar kita agar tidak menceroboh ruang dan waktu peribadi sesebuah keluarga tanpa keperluan yang mendesak, sekali gus mendidik kita supaya sentiasa memiliki sifat empati terhadap keadaan tuan rumah. Walaupun pintu rumah dibuka seluas-luasnya sempena Aidilfitri, itu bukanlah tiket untuk tetamu bersikap mementingkan diri dengan mengabaikan waktu-waktu kritikal yang sepatutnya digunakan oleh penghuni rumah untuk beribadah, menguruskan diri atau berehat bagi memulihkan tenaga.

2. Tidak Berlama-lama Semasa Bertamu

Selain itu, apabila mengunjungi rumah terbuka, tetamu disarankan untuk tidak duduk terlalu lama sehingga mengganggu urusan tuan rumah atau menghalang tetamu lain untuk mendapat tempat duduk. Sikap bertimbang rasa ini sangat dituntut agar tuan rumah tidak merasa terbeban dengan kehadiran kita yang melampaui batas masa yang sepatutnya. Rasulullah SAW pernah memberikan peringatan dalam sebuah hadis:

ولا يَحِلُّ لرَجُلٍ مُسلِمٍ أن يُقيمَ عِندَ أخيه حتَّى يُؤثِمَه، قالوا: يا رَسولَ اللهِ، وكيفَ يُؤثِمُه؟ قال: يُقيمُ عِندَه ولا شيءَ له يَقريه بهِ.

Maksudnya: Tidak halal bagi seorang Muslim untuk tinggal di rumah saudaranya (bertamu) sehingga dia menyebabkan saudaranya itu jatuh berdosa." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana dia menyebabkan saudaranya berdosa?" Baginda menjawab: "Dia tinggal lama di situ sedangkan tuan rumah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dihidangkan kepadanya.

(Riwayat Muslim)

3. Menjaga Lisan dan Menghindari Pertanyaan Yang Sensitif

Sesi bertanya khabar dalam majlis rumah terbuka seharusnya bertujuan untuk mengeratkan kasih sayang, bukannya bukannya menjadi platform bagi mengajukan soalan-soalan peribadi yang sensitif yang mampu menimbulkan rasa kurang selesa. Tetamu perlu menjauhi soalan sensitif berkaitan peribadi, zuriat, kerjaya atau apa sahaja perkara yang boleh menimbulkan rasa kurang senang tuan rumah. Diam daripada bertanya perkara yang tidak perlu adalah sebahagian daripada kesempurnaan Islam seseorang. Rasulullah SAW menekankan kepentingan menjaga lisan melalui sabda Baginda:

ومَن كان يُؤمِنُ باللهِ واليَومِ الآخِرِ فليَقُلْ خَيرًا أو ليَصمُتْ

Maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Menghormati Privasi dan Harta Benda Tuan Rumah

Tetamu juga haruslah menjaga pandangan dan tangan daripada menyentuh atau memasuki ruang privasi rumah seperti bilik tidur tanpa izin serta tidak sewenang-wenangnya mengubah kedudukan barangan di rumah tersebut. Adab meminta izin ini sangat ditekankan dalam Islam bagi memelihara kehormatan penghuni rumah. Memasuki ruang privasi tanpa izin adalah satu bentuk pencerobohan hak. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ بُيُوتِكُمْ حَتَّىٰ تَسْتَأْنِسُوا وَتُسَلِّمُوا عَلَىٰ أَهْلِهَا ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ ‎﴿٢٧﴾

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi adab itu).

(Surah An-Nur: 27)

5. Menjaga Waktu Solat

Keghairahan berziarah dan menjamu selera di rumah terbuka tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan kewajipan solat fardu. Tetamu yang bijak akan merancang waktu kunjungan mereka agar tidak bertembung dengan waktu solat, atau sekurang-kurangnya meminta izin dengan sopan untuk menumpang solat di rumah tersebut sekiranya waktu sudah suntuk. Menjaga solat di tengah-tengah keraian menunjukkan bahawa kita mendahulukan hak Pencipta di atas segala urusan keduniaan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا ‎﴿١٠٣﴾‏

Maksudnya: Sesungguhnya solat itu adalah satu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman.

(Surah An-Nisa': 103)

Kesimpulan

Kesimpulannya, amalan rumah terbuka merupakan satu tradisi yang sarat dengan nilai ibadah sekiranya dilaksanakan berlandaskan syariat Islam. Ia bukan sekadar keraian adat, malahan menjadi platform utama untuk memuliakan tetamu, menyebarkan sedekah melalui jamuan makan, serta memperkukuh tali silaturrahim sesama insan. Dengan menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam menyantuni tetamu, setiap detik majlis tersebut dapat mengundang rahmat Allah dan menjadi asbab kepada pengampunan dosa bagi penghuni rumah.

Di pihak tetamu pula, kesempurnaan adab dan akhlak semasa berkunjung menjadi pelengkap kepada keharmonian rumah terbuka. Menghormati waktu tuan rumah, menjaga lisan daripada soalan yang sensitif serta tidak mengabaikan kewajipan solat fardu adalah tanggungjawab yang perlu dipelihara. Apabila kedua-dua pihak iaitu tuan rumah dan tetamu, saling menghormati hak dan batasan masing-masing, maka amalan rumah terbuka ini akan benar-benar mencapai matlamatnya dalam melahirkan masyarakat yang harmoni, bertaqwa, dan diredai Allah SWT. Semoga setiap kunjung-mengunjung yang dilakukan dengan penuh adab dan keikhlasan ini diterima oleh Allah SWT sebagai amal soleh yang memberatkan timbangan kita di akhirat kelak.

Wallahu a’lam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

10 SYAWAL1447H / 30 MAC 2026