Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 99/2026: MENANGANI EKSPLOITASI DALAM KUTIPAN DERMA

TintaMufti.jpg

MENANGANI EKSPLOITASI DALAM KUTIPAN DERMA

Amalan sedekah dan infak merupakan antara ibadah yang sangat dituntut dalam Islam. Amalan ini bukan sahaja dapat membantu golongan yang memerlukan, malah dapat membersihkan hati dan menanam sifat rahmah dalam diri seseorang. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang memuji amalan mulia ini, antaranya firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ

Maksudnya:Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.

[Surah Āl-‘Imrān, 92]

Secara asasnya, seseorang akan mendapat pahala amalan bersedekah mengikut keikhlasannya walaupun wang yang disedekahkan tersebut digunakan pada jalan yang tidak sepatutnya tanpa pengetahuannya. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang menceritakan mengenai seorang lelaki daripada umat terdahulu yang memberikan sedekah, namun tanpa pengetahuannya sedekah tersebut jatuh kepada orang yang tidak selayaknya, lalu dikhabarkan bahawa sedekah tersebut tetap dikira sebagai amalan.[1]

Sungguhpun begitu, namun realiti semasa menunjukkan bahawa fenomena eksploitasi dalam kutipan derma semakin membimbangkan. Pelbagai laporan menunjukkan wujudnya banyak pihak yang mengambil kesempatan atas sifat pemurah masyarakat demi kepentingan peribadi.[2] Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan kesucian amalan sedekah, bahkan boleh menghakis kepercayaan umat Islam terhadap institusi kebajikan.

Sehubungan itu, masyarakat disarankan agar mengamalkan prinsip tabayyun (semakan) sebelum menyalurkan sumbangan. Sikap berhati-hati ini bukanlah menafikan keikhlasan atau pahala dalam bersedekah, tetapi ia merupakan satu bentuk tanggungjawab bagi memastikan sedekah tersebut benar-benar memberi manfaat kepada penerima yang sepatutnya, dan menutup segala ruang-ruang yang boleh membawa kepada penyalahgunaan wang yang disedekahkan.

Dalam menangani isu ini secara lebih menyeluruh, pihak berautoriti seperti agensi agama dan pihak berkuasa tempatan hendaklah memperketat kawal selia terhadap kutipan derma, termasuk mewajibkan pendaftaran dan pemantauan terhadap individu atau NGO yang terlibat. Pada masa yang sama, usaha pendidikan masyarakat perlu diperkasa agar umat Islam tidak mudah terpedaya dengan naratif agama yang dimanipulasi untuk kepentingan tertentu.

Kesimpulannya, Islam menggalakkan sedekah tetapi dalam masa yang sama menuntut integriti dan ketelusan. Keikhlasan perlu disertai dengan kebijaksanaan, manakala semangat memberi mesti diiringi dengan tanggungjawab dalam memastikan sumbangan disalurkan dengan betul. Dengan gabungan peranan individu, masyarakat dan pihak berautoriti, amalan sedekah dapat terus dipelihara kesuciannya serta benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. Saluran yang diyakini seperti institusi zakat, wakaf dan organisasi-organisasi yang berdaftar wajar diutamakan sebagai saluran untuk derma dan sedekah.

WaLlāhu A’lam

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL

12 SYAWAL 1447H / 1 APRIL 2026

 

Rujukan: 

[1] Saidina Abu Hurairah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رَجُلٌ: لَأتَصَدَّقَنَّ بصَدَقةٍ، فخَرَجَ بصَدَقَتِه، فوضَعَها في يَدِ سارِقٍ، فأصبَحوا يَتَحَدَّثونَ: تُصُدِّقَ على سارِقٍ! فقال: اللهُمَّ لكَ الحَمدُ، لَأتَصَدَّقَنَّ بصَدَقةٍ، فخَرَجَ بصَدَقَتِه فوضَعَها في يَدَي زانيةٍ، فأصبَحوا يَتَحَدَّثونَ: تُصُدِّقَ اللَّيلةَ على زانيةٍ! فقال: اللهُمَّ لكَ الحَمدُ، على زانيةٍ؟ لَأتَصَدَّقَنَّ بصَدَقةٍ، فخَرَجَ بصَدَقَتِه، فوضَعَها في يَدَي غَنيٍّ، فأصبَحوا يَتَحَدَّثونَ: تُصُدِّقَ على غَنيٍّ! فقال: اللهُمَّ لكَ الحَمدُ، على سارِقٍ وعلى زانيةٍ وعلى غَنيٍّ! فأُتيَ فقيلَ له: أمَّا صَدَقَتُكَ على سارِقٍ فلَعَلَّه أن يَستَعِفَّ عن سَرِقَتِه، وأمَّا الزَّانيةُ فلَعَلَّها أن تَستَعِفَّ عن زِناها، وأمَّا الغَنيُّ فلَعَلَّه يَعتَبِرُ فيُنفِقُ ممَّا أعطاه اللهُ.
Maksudnya:Terdapat seorang lelaki yang berkata: “Aku akan bersedekah.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan meletakkannya ke tangan seorang pencuri. Pada waktu pagi, orang ramai memperkatakan: “Telah bersedekah kepada seorang pencuri!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala puji. Aku akan bersedekah lagi.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan meletakkannya ke tangan seorang wanita pezina. Pada waktu pagi, orang ramai memperkatakan: “Telah bersedekah malam tadi kepada seorang pezina!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala puji, (walaupun) kepada seorang pezina. Aku akan bersedekah lagi.” Lalu dia keluar membawa sedekahnya dan meletakkannya ke tangan seorang yang kaya. Pada waktu pagi, orang ramai memperkatakan: “Telah bersedekah kepada seorang yang kaya!” Maka dia berkata: “Ya Allah, bagi-Mu segala puji, kepada pencuri, kepada pezina dan kepada orang kaya!” Kemudian dia didatangi (dalam mimpi) lalu dikatakan kepadanya: “Adapun sedekahmu kepada pencuri, mudah-mudahan dia berhenti daripada mencuri; sedekahmu kepada pezina, mudah-mudahan dia berhenti daripada berzina; dan sedekahmu kepada orang kaya, mudah-mudahan dia mengambil pengajaran lalu membelanjakan daripada apa yang Allah berikan kepadanya”.

[Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

[2] https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/03/1524807/peminta-sedekah-moden-kaut-untung-segera