Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+

Soalan: Benarkah ada nabi wanita?

Jawapan:

Apa yang dinyatakan dalam al-Qur’an secara jelas, Rasul itu adalah dalam kalangan lelaki dan bukannya wanita. Inilah pandangan jumhur ulama’ sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, 6/447. Hal ini juga dinukilkan oleh Imam al-Nawawi bahawasanya telah sepakat para ulama’ menurut Imam al-Haramain dalam al-Irsyad bahawa Maryam bukanlah Nabi (al-Azkar, m. 119)

Dalilnya adalah firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar,…”

(Surah Yusuf: 109)

Ayat ini telah menegaskan bahawa Allah SWT tidak mengutuskan nabi dalam kalangan wanita dan juga jin. Walaubagaimanapun, ada beberapa ulama’ yang berpegang bahawa adanya nabi dalam kalangan wanita. Antaranya adalah Imam al-Qurtubi, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Ibn Hazm. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/226). Antara wanita yang dianggap sebagai nabi adalah Maryam, Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa, Sarah dan Hajar.

Menurut John DelHousaye, Bible ada menyebutkan beberapa bukti tentang adanya Nabi wanita. Dalam Perjanjian lama, ada disebutkan nama Maryam (Exodus 15:20), Deborah (Judges 4:4), Huldah (2 Kings 22: 14; Chronicles 34: 22), Noadiah (Nehemiah 6: 14) dan istilah “beberapa nabi wanita” (Isaiah: 8: 3). Manakala dalam Perjanjian Baru ada disebutkan tentang seorang wanita bernama Anna yang digambarkan oleh Lukas sebagai nabi wanita. (Lihat https://www.cbeinternational.org/resources/article/mutuality/q-who-are-women-prophets-bible)

Dalam agama Yahudi pula terdapat 7 orang nabi wanita sebagaimana yang dinyatakan oleh  Rabbi Shlomo Yitzchaki dan juga direkodkan dalam Talmud iaitu Sarah, Maryam, Devorah, Hannah (ibu Nabi Samuel), Avigail (isteri Nabi Daud), Huldah dan Esther. Hal ini juga dihuraikan dengan mendalam di dalam buku Kabbalistic Teachings of the Female Prophets: The Seven Holy Women of Ancient Israel oleh J. Zohara Meyerhoff Hieronimus.

Menurut Imam al-Qurtubi ketika mengulas Surah Yusuf ayat 109:

“Ini adalah kritikan kepada mereka yang berpendapat ‘Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? " (Surah al-An’am: 8) iaitu diutuskan kepada kami dalam kalangan lelaki, tidak ada pada mereka wanita dan juga jin, begitu juga malaikat. Ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.’ (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 9/179)

Tentang penetapan kenabian Maryam: ‘Manusia berbeza pandangan tentang kenabian Maryam. Dikatakan: (i) ‘Kenabiannya adalah kerana malaikat diutuskan kepadanya dan berkomunikasi dengan malaikat. Dikatakan: (ii) Beliau bukan nabi kerana beliau berkomunikasi dengannya sebagaimana manusia, beliau melihat fizikal malaikat sebagai diperlihatkan Jibril dalam sifat fizikal Dihyah (al-Kalbi); ketikamana disoal Nabi SAW tentang iman dan juga Islam. Pandangan (i) adalah yang lebih kuat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 11/62)

Berkenaan hadith yang dibawakan oleh Imam al-Qurtubi iaitu:

إِنَّ فِي النِّسَاءِ أَرْبَعُ نَبِيَّاتٍ حَوَّاءُ وَآسِيَةُ وَأُمُّ مُوسَى وَمَرْيَمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.”

Kami tidak menjumpai teks hadith ini dalam mana-mana kitab hadith.

Ibn Hazm menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui adanya isu berkenaan hal ini kecuali ketika beliau di Cordoba. Beliau membawakan tiga pandangan ulama’ dalam isu ini:

  1. Menolak adanya nabi wanita.
  2. Menerima adanya nabi wanita.
  3. Tidak memberi apa-apa pandangan sehingga datangnya dalil (tawaqquf)

Ibn Hazm menegaskan bahawa kisah Maryam dan ibu Nabi Musa adalah bukti yang jelas tentang kenabian wanita. (al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa al-Nihal, 5/12). Kisah Maryam tersebut adalah peristiwa Jibril datang kepadanya. Bagi beliau, antara ciri kenabian adalah didatangi malaikat. Manakala kisah ibu Nabi Musa pula adalah tentang ilham yang Allah SWT berikan terus kepada beliau untuk menghanyutkan Nabi Musa di Sungai Nil. Pandangan Ibn Hazm berkenaan kenabian Maryam ini juga dinukilkan oleh Imam al-‘Aini. Walaubagaimanapun, bagi beliau Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari bersama-sama dengan ulama’ lain dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam isu ini iaitu Nabi hanya dalam kalangan lelaki. (Lihat ‘Umdat al-Qari, 4/194).

Pada hakikatnya, tidak bermakna seseorang itu boleh dianggap sebagai Nabi jika didatangi malaikat kerana jika dilihat pada sabda Nabi SAW ini, malaikat juga datang kepada orang biasa:

أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى، فَأَرْصَدَ اللهُ لَهُ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ، قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ، قَالَ: هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا؟ قَالَ: لَا، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ، بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Maksudnya: "Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; 'Hendak pergi ke mana kamu? ' Orang itu menjawab; 'Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.' Malaikat itu terus bertanya kepadanya; 'Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ' Lelaki itu menjawab; 'Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.' Akhirnya malaikat itu berkata; 'Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahukan kepadamu bahawasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.'

(Riwayat Muslim, no. 4656)

Selain itu, apa yang terjadi kepada ibu Nabi Musa seperti dalam ayat:

وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ

Maksudnya: "Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia;..."

Bukanlah bermaksud wahyu yang diturunkan kepada Nabi tetapi ilham yang dinamakan ilham fitri. Al-Qur'an juga merekodkan lebah yang menerima "wahyu" yang diistilahkan sebagai ilham gharizi. Firman Allah SWT:

وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُون

Maksudnya: "Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia."

(Surah al-Nahl: 68)

Maka, adalah tidak tepat untuk kita katakan lebah turut menerima wahyu dalam ertikata, menjadi Nabi.

Kesimpulannya, jumhur ulama’ menjelaskan bahawa Nabi hanya dalam kalangan lelaki sahaja. Allah SWT juga menegaskan:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka.”

(Surah al-Nahl: 43)

Semoga penjelasan ini dapat menambahkan pemahaman kita dalam agama dan membawa kita kepada jalan yang diredhai-Nya. Wallahu a'lam.