Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #308 : HUKUM MANDI KETIKA BERPUASA

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 308 (29 JUN 2016 M / 24 RAMADHAN 1437 H)

SOALAN:

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.maaf boleh saya dapat pencerahan tentang larangan mandi selepas asar ketika bulan puasa?ada seorang rakan saya mengatakan ianya makruh.namun saya tak pernah mengikut arahannya yang demikian.betul ke? saya agak ragu-ragu dengan pernyataan dia.terima kasih

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Diharuskan mandi untuk menyejukkan badan semasa berpuasa berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Bakar bin Abdurrahman RA:

حدثني مَنْ رَأَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمِ صائف يصب على رأسه الماء من شدة الحر والعطش وهو صائم

Maksudnya: “Telah menceritakan kepadaku seseorang yang pernah melihat Nabi SAW pada hari Saif menyiram air ke atas kepada Baginda kerana sangat panas dan dahaga sedangkan dia berpuasa.”

Hadith ini diriwayatkan oleh Malik dalam Muwatta’, Ahmad bin Hanbal dalam Musnafnya, Abu Daud, Al-Nasaie dalam Sunan masing-masing, al-Hakim dalam Mustadrak ‘ala al-Sahihain, al-Baihaqi dan selain mereka dengan sanad yang sahih.

Juga berdasarkan sebuah hadith sahih bahawa Rasulullah SAW:

كَانَ يُصْبِحُ جُنُبًا وَهُوَ صَائِمٌ ثُمَّ يَغْتَسِلُ

Maksudnya: Pernah bangun pagi dalam keadaan berjunub sedangkan dia berpuasa lalu dia mandi.

Rujuk al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab (6/378-347)

Adapun sebahagian ulama seperti Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari al-Syafie menulis di dalam Sabil al-Muhtadin (2/137):

“Dan tiada dimakruhkan bagi yang berpuasa mandi dan berminyak dan bercelak, hanya yang demikian itu KHILAF AULA ertinya menyalahi yang terutamanya, maka yang terutama bagi yang berpuasa bahawa jangan ia mandi dan berminyak dan bercelak kerana pada mazhab Imam Malik batal puasa kerana bercelak.”

Wallahua’lam.