Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #418 : ANGIN YANG KELUAR DARIPADA QUBUL WANITA, ADAKAH MEMBATALKAN WUDUK?

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 418 (28 OKTOBER 2016 M / 27 MUHARRAM 1438 H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum. Apakah hukum perempuan yang kerap kali terkeluarnya angin di bahagian hadapan ( kemaluan) semasa solat, adakah solat batal atau masih sah,, mohon pencerhan yg lebih terperinci.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Isu adakah batal wuduk dengan keluarnya angin daripada faraj atau kemaluan hadapan wanita ini memiliki khilaf dalam kalangan ulama. Sebahagian menganggapnya sebagai membatalkan wuduk dan sebahagian lain menganggap tidak batal.

Pendapat yang mengatakan batal:
Ulama daripada golongan ini berpendapat bahawa angin yang keluar daripada faraj wanita itu adalah sama hukumnya dengan angin yang keluar melalui dubur. Mereka berhujah dengan hadis Rasulullah SAW:

لَا وُضُوءَ إِلَّا مِنْ صَوْتٍ أَوْ رِيحٍ
Maksudnya: Tidak perlu mengambil wuduk melainkan kerana ada bunyi (kentut) atau terdapat bau.

Hadis riwayat al-Tirmidzi (74) dalam Sunan-nya daripada Abu Hurairah. Kata al-Tirmidzi: hadis ini hasan sahih.

Juga hadis hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab baginda:

لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا
Maksudnya: Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.

Hadis riwayat Imam Bukhari (137)

Berkata Imam al-Nawawi daripada ulama Syafie: “Benda yang keluar daripada qubul (kemaluan hadapan) lelaki atau perempuan, atau dubur (kemaluan belakang) kedua mereka, membatalkan wuduk. Sama ada dalam bentuk tinja, kencing, angina, ulat, muntah, darah, batu-batu dan lain-lain. Tiada beza antara keluarnya dengan jarang-jarang berlaku, atau biasa berlaku secara adat. Tiada beza juga antara yang angina yang keluar daripada qubul perempuan atau lelaki, atau dubur kedua mereka. Perkara ini dinaskan oleh al-Syafie Rahimahullah dala kitab al-Umm, dan disepakati itu oleh ashab (Syafieyyah).“

Rujuk al-Majmu’ (2/3) oleh al-Nawawi; dan Tuhfat al-Muhtaj oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami (1/127).

Berkata Imam Ibn Qudamah daripada ulama mazhab Hanbali: “Dinaqalkan daripada Soleh daripada ayahnya isu tentang wanita yang keluar angin daripada farajnya: Apa yang keluar daripada dua jalan maka padanya (yakni, kerananya) hendakla diambil wuduk. Berkata al-Qadhi: keluarnya angin daripada zakar dan qubul perempuan membatalkan wuduk.”

Rujuk al-Mughni (1/125) oleh Ibn Qudamah; al-Insaf oleh Imam al-Mardawi (1/195)

Jelaslah bahawa dalam mazhab Syafie dan Hanbali keluarnya angin dari qubul adalah membatalkan wuduk. Sekalipun begitu jika seseorang itu dibalakan dengan penyakit sentiasa keluar angin, kencing, dan tinja, maka di sini terdapat rukhsah keringanan untuk solat walaupun keluar sesuatu daripada dua jalan kerana dianggap seperti darah istihadah:

  1. Hendaklah sedaya upaya menjaga taharahnya seperti memakai atau meletakkan sesuatu yang boleh menghalang hadasnya.
  2. Hendaklah bersegera mengambil wuduk apabila sudah masuk waktu solat fardu setelah menjaga taharahnya.
  3. Hendaklah bersegera melakukan solat tanpa bertangguh.
  4. Jika bertangguh lama sekira-kira melebihi kadar masa seseorang untuk menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu jamaah, menentukan kiblat, berjalan ke masjid meletakkan penghadang solat (sutrah)

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/123)

Pendapat yang mengatakan tidak batal wuduk:

Mereka berpendapat bahawa angin yang keluar daripada faraj wanita atau qubul lelaki itu tidak berasal daripada najis, sebaliknya berlaku kerana pergerakan otot, justeru ia bukan ‘kentut’, angin najis dalam erti kata sebenar.

Berkata Imam Ibn Abidin daripada Hanafiyyah: “Tidak batal wuduk dengan keluarnya angin daripada qubul dan zakar, kerana sesungguhnya hal itu hanyalah ikhtilaj (pergerakan otot) yakni bukan angin kentut secara hakikatnya, kalau angin ketut sekalipun,

Mufti WP's Channel:
ternyata ia tidak muncul daripada najis, justeru tidak batal wuduk.”

Rujuk al-Bada’i al-Sana’i (1/25) oleh Imam al-Kasani

Berkata Syeikh al-Dardir daripada mazhab Maliki: “Jika keluar sesuatu yang biasa keluar di tempat-tempat yang tidak biasa ia keluar, seperti keluarnya dari mulut, keluarnya kencing daripada dubur, keluarnya angin daripada qubul, meskipun qubul perempuan, atau daripada suatu lubang tebukan (di badan), maka hal itu tidak membatalkan wuduk.”

Rujuk al-Syarh al-Kabir ma’a Hasyiah al-Dusuki (1/118)
Justeru, angin yang keluar daripada qubul tidak membatalkan wuduk di sisi mazhab Hanafi dan Maliki.