Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Jamak Solat Untuk Ibadah Sunat

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 245 (11 APRIL 2016 M / 3 REJAB 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum SS Datuk Dr Mufti, semoga berada dalam keadaan sihat.

Saya ingin bertanya satu soalan berkaitan Ramadhan. Untuk makluman, saya kini menetap di Moscow, Rusia. Ini adalah tahun pertama saya akan menghadapi Ramadhan di bumi Rusia.

Jangkaan waktu Maghrib, Isyak dan Subuh di sini adalah 9.10 PM (Maghrib), 10.57 PM (Isyak) dan 2.01 am (Subuh). Berdasarkan waktu tersebut, selang waktu di antara Isyak dan Subuh adalah lebih kurang 3 jam sahaja.

Soalan: Adakah terdapat kaedah didalam Islam untuk solat Isyak berkenaan dapat diawalkan (jamak atau waktu solat diawalkan - didapati sesetengah Muslim mengamalkannya)? Hal ini bagi membolehkan ruang masa yang cukup dimanfaatkan untuk ibadah sunat yang lain di antara waktu Isyak dan Subuh berkenaan.

Sekian, terima kasih. Semoga SS Datuk Dr. Mufti sentiasa dirahmati Allah

 

JAWAPAN

Waalaikumussalam wbt,

Dalam hal ini terdapat ikhtilaf dalam kalangan ulama perihal waktu solat yang tidak mundabit. Kami cenderung kepada pendapat bahawa diraikan waktu setempat. Ini berdalilkan firman Allah SW:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisa, 4:103)

Ayat ini menunjukkan tanpa masyaqqah dan darurat, waktu solat perlu dijaga dengan solat pada waktunya. Dalam kes saudara, tujuan kerana ingin beramal perkara sunat bukanlah termasuk dalam kategori masyaqqah dan darurat. Sebaiknya, saudara meraikan waktu solat setempat dengan solat pada waktunya.

Wallahua`lam.