Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI KE-458: MEMUATNAIK GAMBAR BAYI DI FACEBOOK

Soalan: Salam tuan guru. Boleh ker bayi yang baru lahir tak boleh di tontonkan pada umum? Contohnya di Facebook.

Jawapan:

Larangan sedemikian mungkin disebabkan kerana khuatir bayi berkenaan terkena penyakit ‘ain. Sebelum menjelaskan lebih lanjut akan hal ini, perlu difahami tentang definisi penyakit ‘ain. ‘Ain ialah sejenis penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata. Orang dengki dan jahat, dengan sebab pandangan matanya saja sudah cukup untuk mengenakan orang yang dipandangnya dengan sesuatu penyakit. Pun begitu, pandangan yang disebabkan kagum dan teruja dan disertai dengan sedikit sifat cemburu juga boleh menyebabkan terkena penyakit ‘ain mengikut Ibn Hajar al-‘Asqalani (Lihat Fath al-Bari, 10/200). Ini sebagaimana yang berlaku kepada Sahl bin Hunaif yang terkena ‘ain setelah dipandang oleh Amir bin Rabi’ah.

Dalam sebuah hadith daripada Amrah daripada ‘Aisyah RA berkata, “Pada suatu ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam masuk rumah. Tiba-tiba beliau mendengar anak kecil menangis, lalu Beliau berkata,

مَا لِصَبِيِّكُمْ هَذَا يَبْكِي، هَلَّا اسْتَرْقَيْتُمْ لَهُ مِنَ الْعَيْنِ
Maksudnya: “Kenapa anak kecilmu ini menangis? Tidakkah kamu mencari orang yang boleh mengubatinya daripada penyakit ‘ain?”
(Riwayat Ahmad, no. 24442)

Terdapat juga sebuah hadith lain tentang hal ini:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُهَا أَنْ تَسْتَرْقِيَ مِنَ الْعَيْنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengarahkannya (iaitu Aisyah) untuk mengubati dirinya daripada penyait ‘ain.”
(Riwayat Muslim, no. 2195)

Menurut Ibn al-Qayyim, ”Jiwa orang yang menjadi penyebab ‘ain boleh menimbulkan ‘ain, tanpa hanya dengan penglihatan. Bahkan kadangkala ada orang buta, kemudian diceritakan tentang sesuatu kepadanya lalu jiwanya boleh menimbulkan ‘ain walaupun dia tidak melihat sesuatu itu. Ada banyak penyebab ‘ain yang boleh menyebabkan terjadinya ‘ain, hanya dengan cerita tanpa melihat.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 4/149) Ini bermakna, ‘ain boleh berlaku hanya dengan perasaan tanpa melihat seperti melalui televisyen dan gambar.

Walaubagaimanapun, tidak ada larangan secara khusus untuk memuatnaik foto bayi di dalam media sosial atau dipertontonkan kerana dikhuatiri terkena penyakit ‘ain. Ini kerana, penyakit ‘ain boleh berlaku pada sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa secara berdepan atau melalui gambar. Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa perlu mengambil serius beberapa hal di bawah:

  1. Bagi mereka yang mungkin boleh memberi penyakit ‘ain kepada orang lain, seeloknya mendoakan keberkatan (ucap Barakallahu fik atau tabarakallah) kepada seseorang yang dikaguminya apabila melihat. Ini adalah berdasarkan saranan Nabi SAW dalam hadith Abu Umamah (Riwayat Ibn Majah, no. 3509).
  2. Bagi mengelakkan dan melindungi bayi terkena penyakit ‘ain, bacalah doa yang dibacakan oleh Nabi SAW kepada dua cucunya, Hassan dan Hussain:

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada godaan syaitan, binatang berbisa dan daripada pandangan mata yang bersifat dengki.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 3371)

  1. Tidak melakukan sesuatu yang syirik dan khurafat bagi mengelakkan terkena ‘ain seperti meletakkan gunting dan memakaikan tangkal kepada bayi.