Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI SIRI 435 : SIAPAKAH IMAM AL-GHAZALI?

 

SOALAN:

Siapakah Hujjatul Islam Imam al-Ghazali?

JAWAPAN:

Nama sebenar Imam Al-Ghazali ialah Muhamad bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali Al-tusi. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Al-Ghazali iaitu nisbah kepada kampung tempat kelahirannya iaitu ghazalah yg terletak dipinggir bandar Tusi di dalam wilayah KhUrasan, Parsi, (Iran). Panggilan tersebut dinisbahkan kepada bapanya seorang tukang tenun kain bulu yang dalam bahasa Arabnya dikatakan al-Ghazzal.

Imam Al-Ghazali juga digelar Abu Hamid, yang bererti bapa kepada Hamid iaitu dinisbahkan kepada anaknya. Beliau juga digelar Hujjatul Islam iaitu suatu gelaran penghormatan yang diberikan kepadanya kerana kejituan dan kekuatan hujjahnya di dalam membela agama Islam.

Abu Hamid Muhammad Al-Ghazali Altusi adalah seorang tokoh ulama yang luas ilmu pengetahuannya dan merupakan seorang pemikir besar dalam sejarah falsafah Islam dan dunia. Dalam ilmu feqah, beliau bermazhab Syafie sementara dalam ilmu kalam beliau mengikuti aliran Al-Asyaari atau Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Beliau lahir pada tahun 450H bersamaan 1058M.

Bapanya adalah seorang miskin yang soleh, makan dari hasil usaha sendiri menenun pakaian daripada bulu kemudian menjualnya di pekan Tusi. Beliau sangat suka belajar ilmu agama dan mendampingi para ulama sufi. Beliau meninggal dunia semasa Al-Ghazali dan saudaranya yang bernama Ahmad masih kecil tetapi sempat menyerahkan sedikit wang saraan serta mewasiatkan tentang pengurusan pembelajaran kedua anaknya itu kepada sahabatnya yang miskin yang menjadi guru dan ahli tasawwuf.

Sahabatnya itu telah mendidik dan mengajar mereka berdua menulis sehinggalah wang peninggalan bapanya habis. Kemudian sahabat itu telah menasihatkan Al-Ghazali dua bersaudara agar pergi ke Tusi belajar di sebuah sekolah yang didirikan oleh perdana menteri Nizam.

Pada tahun 469H, Al-Ghazali telah melanjutkan pelajarannya ke Jurjan berguru dengan Abu Nasr Al Ismaili. Di sana beliau telah berkahwin kemudian beliau pulang ke Tusi selama tiga tahun. Dalam masa ini beliau belajar tasawwuf daripada Yusuf Annasaj, seorang sufi terkenal.

Pada tahun 471H, Al-Ghazali berangkat menuju ke sekolah tinggi Nizamiyyah di Naisabur. Di sana beliau belajar daripada Abu Almaa'li Diyaauddin al-Juwaini yang terkenal dengan gelaran Imam Haramain. Berbagai cabang ilmu pengetahuan telah dipelajari daripadanya samada ilmu agama seperti feqah dan ilmu kalam atau ilmu falsafah seperti mantik, jidal, hikmah dan lain lain sehingga beliau mengetahui berbagai mazhab, perbezaan pendapat masing masing dan beliau dapat menolak tiap tiap aliran yang dianggap salah. Bahkan beliau dapat mengimbangi keilmuan gurunya itu. Di sini beliau mula mengarang berbagai buku dan berbagai bidang, di antara buku karangannya yang dikagumi gurunya ialah yang dinamakan al-Mankhul.

Kemasyhuran beliau sebagai orang alim, guru serta pemidato yang petah berucap tersebar dengan cepat. Kuliahnya semakin menarik perhatian para pelajarnya, beratus ratus orang kenamaan dan terhormat turut menghadirinya.

Karya dan penulisan Imam al-Ghazali

Sebelum meninggal dunia, Al-Ghazali telah mengarang ratusan buku dalam berbagai bidang antaranya:
• Ihya’ Ulum al-Din
• Bidayah al-Hidayah
• Mizan al-A’mal
• Minhaj al-Abidin
• Al-Mustasfa Min Usul al-Fiqh
• Al-Iqtisad Fi al-I’tiqad.
• dan lain-lain.

Pujian Ulama terhadap Imam al-Ghazali

Tidak dapat dinafikan, Imam al-Ghazali telah menerima ramai pujian daripada ulama selepasnya antaranya:
• Al-Yafi’i berkata: “Kalau wujud nabi selepas Nabi Muhamad pasti orang itu ialah al-Ghazali.”
• Imam Nawawi pula pernah berkata: “Hampir-hampir Kitab Ihya’ mengambil tempat al-Qur’an.”
• Kata al-Subky: “Tidak tahu ada orang selepas al-Ghazali yang sama sepertinya terutama dari segi kadar memiliki ilmu. Pasti tidak ada orang yang akan datang sepertinya.”
• Buya Hamka pernah berkata: “Dan yang lebih penting lagi, sebagai seorang ahli fikir yang bebas dan besar, beliau membebaskan fikirannya dari pengaruh penafsir-penafsir yang terdahulu daripadanya.”

Al-Ghazali meninggal dunia yang fana' di Tusi pada hari Isnin, 14 Jamadilakhir tahun 505H bersamaan 19 Disember 1111M.