Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #693 : HUKUM PERKAHWINAN BERWALIKAN SEORANG PEROKOK

Soalan:

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, adakah sah pernikahan yang berwalikan seorang bapa yang merupakan perokok ? Mohon pencerahan dari Tuan.

Jawapan:

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Pernikahan di dalam Islam mempunyai beberapa rukun yang perlu dilaksanakan dalam memastikan ianya diiktiraf sebagai sah. Di antara rukunnya adalah keberadaan wali.

Definisi wali seperti mana yang disebutkan di dalam kitab al-Feqh al-Manhaji adalah : Seseorang yang melaksanakan sesuatu ucapan bagi pihak orang lain. Iaitu: Seseorang yang lemah (ada kekurangan), ataupun orang gila. Ini seperti yang disebutkan di dalam al-Quran, bahawa Allah S.W.T berfirman:

فَإِنْ كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ

Maksudnya : Maka sekiranya seseorang yang mempunyai hak ke atas nya itu merupakan safih (tidak mampu menguruskan harta), ataupun seorang yang lemah, atau dia tidak mampu untuk melaksanakannya, maka hendaklah walinya melaksanakan bagi pihaknya secara adil.

Surah al-Baqarah (282)

Maka seseorang yang diberikan hak wilayah oleh syarak, dia dinamakan sebagai wali. Kewujudan seorang wali merupakan suatu tuntutan dalam proses perkahwinan.

Terdapat beberapa dalil yang menjadi sokongan kuat bagi kenyataan ini. Di antaranya adalah firman Allah S.W.T :

وَإِذَا طَلَّقْتُمُ النِّساء فَبَلَغْنَ أَجَلُهُنَّ فَلَا تَعْضُلُوهُنَّ أنْ يَنْكِحْنَ أَزْوَاجَهُنَّ إِذَا تَرَاضَوا بَيْنَهُمْ بالمعْرُوفِ

Maksudnya: Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu, lalu telah habis tempoh (iddah) mereka, maka janganlah kamu (para wali nikah) menghalang mereka dari berkahwin semula dengan (bekas) suami-suami mereka, apabila telah terdapat keredhaan di antara keduanya dengan cara yang makruf.

Surah al-Baqarah (232)

Kata Imam al-Syafie Rahimahullah apabila mengulas ayat ini: Ayat ini merupakan dalil yang paling sarih (jelas) dalam mengambil kira peranan wali. Kerana, kalaulah peranannya tidak diambil kira, necayalah halangannya (kepada anak-anak perempuan untuk berkahwin semula) tidak memberi sebarang makna.

Begitu juga sebuah hadis yang merupakan dalil dalam menjadikan wali sebagai syarat sah bagi nikah adalah sabda Nabi S.A.W :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَلَا بِشَاهِدَي عَدْلٍ

Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.

Riwayat al-Tirmizi (1102).

Mazhab al-Imam al-Syafie dan selainnya berpendapat bahawa penafian yang terdapat di dalam hadis tersebut merupakan penafian terhadap kesahihan nikah, atau di dalam bahasa arabnya disebut نفي الصحة. Justeru, tanpa adanya wali ia membawa kepada implikasi tidak sahnya sesebuah pernikahan.

Di samping itu, terdapat beberapa ciri atau kriteria yang perlu ada pada diri seorang wali. Kami nyatakan beberapa syaratnya seperti berikut :

1. Islam

Seorang wali dalam nikah hendaklah merupakan seorang yang beragama Islam. Ini kerana, Islam tidak menjadikan orang bukan Islam menguasai atau menjadi penentu dalam keputusan orang Islam. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَلَنْ يجْعَلَ اللهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلا

Maksudnya: Dan Allah tidak menjadikan ke atas orang kafir itu penguasaan terhadap orang orang yang beriman.

Surah al-Nisa’ (141)

2. ‘Adalah (Keadilan)

Di dalam mazhab al-Imam al-Syafie, disyaratkan bahawa seorang wali juga perlulah bersifat dengan sifat ‘adil. Ini membawa erti, dia tidak boleh berciri dengan sifat fasiq. Seperti kata al-Imam al-Bujairimi Rahimahullah dari kalangan al-Syafi’eyyah:

فَإِنَّ صِحَّةَ النِّكَاحِ تتَوَقَّفُ عَلَى حُضُورِ الشُّهُود وَعدَالتهم وَعَدَالَة الوَلِيِّ

Maksudnya: Sesungguhnya sahnya pernikahan itu terhenti ke atas hadirnya saksi-saksi yang ‘adil, juga keadilan seorang wali.

Rujuk Hasyiah al-Bujairimi (15/135).

Kami nyatakan definisi ‘adalah seperti berikut: Tidak melakukan sebarang dosa besar, dan tidak berterusan melakukan dosa kecil. Serta tidak melakukan sebarang perbuatan yang mencemarkan maruah seperti kencing di jalanan, dan seumpamanya.

Kami juga bersetuju dengan kata-kata Imam Ibn Hamdan Rahimahullah : Setiap perbuatan dosa besar, sekali sahaja melakukannya telah menjadikan seorang itu jatuh fasiq. Manakala perbuatan dosa kecil, seseorang itu dikira sebagai fasiq sekiranya melakukannya sebanyak tiga kali. Rujuk Ibn Hamdan, Sifat al-Fatwa wal-Mufti (Hlm. 13).

Pernikahan Berwalikan Perokok

Justeru, menjawab persoalan yang dikemukakan, seseorang wali yang juga merupakan perokok mempunyai kekurangan kepada sifat ‘adalah (keadilan) mereka.

Ini sama sahaja keadaannya sama ada merokok itu dikategorikan sebagai dosa besar mahupun dosa kecil.
Bagi yang ingin mengetahui keburukan merokok, mudarat, dan cara-cara penyelesaian darinya, kami mencadangkan supaya membaca penulisan kami ini yang telah disiarkan di dalam ruangan Bayan Linnas Siri Ke- 19 di pautan berikut :

http://www.muftiwp.gov.my/…/619-merokok-hukum-dan-penyelesa…

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, sifat ‘adalah mahupun fasiq, bukanlah suatu yang bersifat kekal sehingga hari kematian seseorang itu. Ini kerana, iman seseorang itu bertambah dan berkurang. Ia bertambah dengan amal ketaatan dan ia berkurang dengan amal kemaksiatan. Maka bagi seseorang yang melakukan dosa-dosa yang boleh menjadikan dirinya sebagai seorang fasiq, dengan cara bertaubat daripada melakukannya menjadikan dirinya berubah kepada sifat 'adalah.

Justeru, kami cenderung bahawa pernikahan yang berwalikan seorang perokok itu adalah sah. Dengan syarat, wali tersebut terlebih dahulu memperbanyakkan amal soleh dan juga taubat, sehinggalah tiba hari pernikahan.

Kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat lagi benar kepada kita semua dalam beragama. Ameen.