Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #702 : HUKUM MENGGUNAKAN DULANG DISADUR PERAK

 

Soalan  :

Assalamualaikum apa hukum berikut :

  1. Apakah hukum menggunakan dulang yang disadur perak untuk menghidang air kepada tetamu?Dulang dibuat dari logam biasa
  2. Apakah hukum menggunakan mangkuk kaca untuk makanan tetapi mangkuk kaca ini ada tudung yang disadur perak. Tudung mangkuk itu dibuat daripada logam biasa

Jawapan :

Waalaikumussalam,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Para Ulama bersepakat bahawa bekas-bekas seperti dulang, mangkuk dan sebagainya yang diperbuat daripada emas dan perak  adalah haram jika tiada hajat yang mendesak. Ini kerana menggunakan bekas-bekas yang diperbuat daripada emas dan perak adalah daripada perbuatan orang yang sombong dan juga meluluhkan hati orang miskin yang tidak mampu memilikinya. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah

مَنْ شَرِبَ فِى إِنَاءٍ مِنْ ذَهَبٍ أَوْ فِضَّةٍ فَإِنَّمَا يُجَرْجِرُ فِى بَطْنِهِ نَارًا مِنْ جَهَنَّمَ

Maksudnya :” Sesiapa yang minum (dan makan atau apa sahaja) daripada bekas (yang diperbuat daripada) emas atau perak. Maka perutnya akan menggelegak disebabkan api neraka.”

Riwayat Muslim (5509)

al-Imam al-Nawawi ketika memberi komentar terhadap hadis ini beliau menyebut :

“Kata Ashab kami telah berlaku ijmak terhadap pengharaman menggunakan bekas-bekas daripada emas dan perak sama ada untuk makan, minum dan sebagainya kecuali di sana terdapat pendapat daripada Daud al-Zahiri dan qaul Qadim al-Imam al-Syafie. Akan tetapi kedua-dua pandangan ini (pandangan Daud al-Zahiri dan Qaul Qadim al-Imam al-Syafie) ditolak berdasarkan nas dan Ijmak.”

Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (14/27)

 

Berbeza hukumnya jika bekas itu disadur sepertimana soalan yang dikemukakan.Para ulama mempunyai pandangan berkenaan hal ini :

  • Mazhab Hanafi : Boleh menggunakan bekas yang disadur emas atau perak dengan syarat bahagian saduran tidak boleh dipisahkan kembali.
  • Mazhab Syafie : Boleh menggunakan jika saduran itu sedikit
  • Mazhab Hanbali : Hukum menggunakan bekas yang disadur emas atau perak sama sahaja seperti menggunakan bekas yang diperbuat dari emas dan perak. Justeru haram menggunakannya.

Secara ringkasnya, para ulama menyatakan :

  • Jika saduran itu sedikit iaitu tidak dapat dipisahkan dari bekas itu maka harus menggunakannya kerana emas atau peraknya telah musnah di dalam logam lain.Ianya dianggap seperti tiada.
  • Jika saduran itu banyak iaitu dapat dipisahkan dari bekas melalui proses lebur dan sebagainya. Maka haram menggunakannya.

Walaupun begitu, kami lebih selesa jika penggunaan dulang tersebut dapat dielakkan kerana kaedah menyebut :

الخُرُوجُ مِنَ الخِلاَفِ مُستَحَبّ

“Keluar daripada khilaf adalah sesuatu yang harus”

Wallahu’alam