Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #742 : HUKUM MEWARNAKAN RAMBUT DENGAN WARNA HITAM

Soalan:

Assalamualaikum tuan mufti,

Semoga tuan mufti sentiasa dalam keadaan sihat dan dlm redha Allah SWT:

Di sini saya ada 1 persoalan mengenai hukum fiqh.diharap tuan mufti dpt memberi sedikit penerangan dan penjelasan. Saya berumur 32tahun mempunyai masalah uban yg agak kritikal. boleh ke saya mewarnakan rambut saya menggunakan inai/pewarna hitam. Ada sesetengah ustaz menasihati saya mewarna rambut saya warna merah(inai) tapi saya agak malu jika warna rambut saya berwarna merah, tambahan saya berkerja di sekolah, agak mewujudkan suasana pelik di kalangan pelajar.

Harap tuan mufti dpt menjawab persoalan saya

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam isu ini kami naqalkan keterangan para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji:

“Haram bagi lelaki dan perempuan mewarnakan janggut dan rambut dengan warna hitam. Namun, sunat mewarnakan uban dan rambut dengan warna yang lain sama ada kuning atau merah.

Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA, katanya: Abu Quhafah (bapa kepada Abu Bakar, nama sebenarnya Uthman dan memeluk Islam semasa pembukaan Makkah) yang rambutnya putih bak bunga kemboja (الثغامة), dibawa menemui Rasulullah SAW pada hari penawanan kota Makkah, lalu Baginda bersabda:

غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ

Maksudnya: “Ubahlah warna uban rambutnya ini dengan sesuatu dan elakkanlah dari warna hitam.”

Riwayat Muslim (2102)

Dan hadith daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Maksudnya: “Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (1752)

Begitu juga hadith daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (5559) dan Muslim (2103)

 

Perbuatan menghitamkan uban mengandungi unsur-unsur pemalsuan dan mengubah keadaan yang sebenar. Dengan celupan warna hitam, seseorang dewasa kelihatan seperti remaja, orang tua kelihatan muda kepada pandangan orang ramai. Hal ini menyebabkan sangkaan mereka berlainan daripada keadaan yang sebenar. Adapun warna yang lain tidaklah sampai ke tahap pengubahan, penipuan dan pemalsuan.”

Inilah pendapat mazhab al-Syafie. Adapun di sisi mazhab Maliki, Hanafi dan Hanabilah, hukum mewarnakan rambut dengan warna hitam adalah makruh dan diharuskan semasa perang. Imam Abu Yusuf daripada Hanafiyyah mengharuskan secara mutlak. Rujuk al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (2/281).

Berkata Imam al-Syaukani:

 “Sebahagian Jemaah (ulama salaf) mewarnakan rambut mereka dengan warna hitam. Diriwayatkan hal ini daripada (para sahabat seperti) Uthman (bin `Affan), al-Hasan dan al-Hussein anak-anak (Saidina) Ali, `Uqbah bin `Amir dan Ibn Sirin, Abi Burdah dan lain-lain.”

Rujuk Nail al-Autar (2/281)

Prof. Dr Yusuf al-Qadhawi dalam karyanya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hal. 117) menyebut:

“Manakala orang yang tidak setua Abu Quhafah tidak mengapa jiialau dia mewarnakan rambutnya dengan warna hitam. Dalam hal ini al-Zuhri (seorang Tabien) mengatakan: “Kami menginai rambut dengan warna hitam jiikalau wajah masih kelihatan muda. Apabila wajah sudah berkedut dan gigi sudah bergoyang kami meninggalkannya.”

Kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang ingin mewarnakan rambut, hendaklah dia mewarnakan rambut atau uban dengan warna apa pun selain warna hitam, atau warna dan gaya yang menyerupai syiar agama lain. Ini bagi meraikan mazhab al-Syafie yang merupakan mazhab yang diamalkan di Malaysia. Namun begitu, kami tidak mengingkari pendapat-pendapat lain yang memakruhkan bahkan mengharuskan pewarna hitam, khususnya jika tidak melibatkan penipuan. Adapun kerisauan penanya tentang persepsi pelajar sekolah yang mungkin mewujudkan suasana pelik, sepatutnya tidak berlaku keadaan fitnah dan pelik apabila telah diterangkan kepada para hukum sebenar mewarnakan rambut mengikut Syarak. Namun jika pelajar-pelajar itu bersekolah menengah dan melibatkan jantina lelaki, maka wajiblah penanya berkenaan untuk menutup rambutnya kerana hukumnya adalah aurat dan perhiasan yang perlu ditutup.

Wallahuha’lam.